ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
YUSMAT MOHAMAT @ Ahmad (depan) dan Mohamed Fauzi Hashim (dua dari kanan) dibawa oleh anggota SPRM ke mahkamah atas pertuduhan meminta rasuah daripada seorang lelaki di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
KUALA TERENGGANU 17 Ogos – Seorang juruteknik dan penyelia kilang ais dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan menipu seorang bapa kononnya bagi menyelesaikan kes dadah anaknya membabitkan kerugian berjumlah RM71,000, empat tahun lalu.
Yusmat Mohamat@Ahmad, 47, mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan manakala Mohamed Fauzi Hashim, 44, membuat pengakuan sama bagi sembilan pertuduhan yang dihadapinya.
Mereka didakwa memperdaya Yusof Abd. Ghani, 52, untuk menyerahkan wang berjumlah antara RM1,500 dan RM22,500 kepada mereka di sekitar Kemaman antara Julai dan September 2011.
Kedua-duanya didakwa menipu Yusof untuk mempercayai bahawa mereka boleh membantu lelaki itu menyelesaikan kes anaknya, Khairul Yuzie Yusof, 28, yang berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Kemaman.
Penipuan itu didakwa dilakukan dengan cara mereka kononnya akan memberikan wang kepada pegawai di Jabatan Kimia dan timbalan pendakwa raya bagi menurunkan seksyen pertuduhan dan mengurangkan hukuman ke atas Khairul Yuzie.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Hakim Murtazadi Amran membenarkan Yusmat diikat jamin RM22,000 dan jaminan RM19,000 terhadap Mohamed Fauzi, masing-masing dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 1 Oktober ini.
Kedua-dua tertuduh ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, semalam.