Kad raya bercorak eksklusif dan menampakkan ciri-ciri korporat lebih mendapat sambutan berbanding kad yang bercorak kartun
Najwa bersama salah satu kad raya yang dijual di kedainya.
SEBELUM berakhirnya Ramadan dan menjelangnya Syawal, kad raya merupakan salah satu perkara yang sering menjadi perhatian buat mereka yang ingin mengirimkan ucapan buat teman mahupun keluarga tersayang.
Namun, dek kerana pertumbuhan teknologi yang semakin pesat, kad raya semakin dipandang sepi dan dilupakan.
Buktinya, jualan kad raya menjelang lebaran semakin merosot dan amat mengecewakan.
Jika terdapat sebarang kenaikan sekalipun, ia hanya melibatkan peratusan yang minimal sahaja.
Menurut pemilik Zainab Store Sdn Bhd, Mohd Arif Abdullah, jualan kad raya di kedainya semakin merosot.
"Pada empat atau lima tahun yang lepas, saya berjaya menjual hampir 20,000 keping kad raya.
"Tetapi sekarang, jualannya amat mengecewakan. Sejak awal Ramadan, saya sudah mula menjual kad raya dan sehingga sekarang hanya dua atau tiga orang pelanggan sahaja yang datang beli," katanya yang sudah menjalankan perniagaan sejak 1983.
Beliau tidak menafikan kewujudan teknologi yang serba canggih pada zaman sekarang antara salah satu faktor jualan kad raya semakin menurun dari tahun ke tahun.
"Dulu sangat menyeronokkan. Orang ramai akan berebut-rebut untuk mendapatkan kad raya. Kalau lambat sikit, kad raya akan habis dijual.
"Zaman sekarang, terutama anak-anak muda dah tak pandang kad raya. Mereka lebih suka hantar ucapan melalui alam maya sahaja. Kad ucapan biasa seperti kad ucapan hari lahir pun dah tak laku," katanya.
Mohd Arif menambah, kad raya yang tidak habis dijual akan disimpan dan dijual kembali pada tahun hadapan.
"Pembekal sudah tidak mahu ambil kembali kad raya yang tak habis dijual. Jadi, saya terpaksa simpan dan jual kembali pada tahun hadapan, itu pun jika mendapat permintaan daripada pelanggan.
"Semasa jualan sangat memberangsangkan pada empat atau lima tahun dahulu, bilangan pembekal kad raya mencecah sehingga 18 orang. Ramai pembekal yang datang bekalkan kad raya di kedai saya. Tetapi sekarang, seorang pembekal pun tidak mahu bekalkan kad
raya lagi," katanya.
Situasi yang sama turut dirasai oleh MBO Book Centre Sdn Bhd.
Pekerja kedai tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Zubaidah berkata, jualan kad raya di kedai tersebut menurun sebanyak 30 peratus berbanding pada tahun lalu.
"Setiap tahun jualan kad raya mesti menurun. Tak pernah lagi saya lihat jualannya meningkat pada satu-satu tahun.
"Mungkin dengan pertumbuhan teknologi canggih pada zaman sekarang yang menyebabkan kad raya dipandang sepi dan secara tak langsung jualannya semakin merosot," katanya yang menjual kad raya pelbagai saiz dengan harga yang berbeza.
"Kami jual kad raya dalam pelbagai corak. Corak yang eksklusif dan menampakkan ciri-ciri korporat lebih mendapat sambutan berbanding kad yang bercorak kartun. Kalau yang datang beli kad corak kartun pun hanya beli dalam beberapa keping sahaja.
"Kebanyakan yang datang cari kad raya corak eksklusif ialah penjawat awam atau swasta. Mereka beli untuk diagihkan kepada rakan-rakan pejabat masing-masing," katanya.
Zubaidah menjelaskan walaupun jualan tidak menunjukkan sebarang peningkatan, MBO Book Centre tetap mengambilnya daripada pembekal dan jual kepada pelanggan.
"Kalau kad raya tidak habis dijual, pembekal akan datang ambil dan akan menghantarnya semula untuk dijual dengan harga yang lebih murah pada tahun hadapan," katanya.
Tidak semua kedai catat penurunan
Namun, situasi sebaliknya dialami oleh kedai Memory Lane cawangan Shah Alam Convention Centre (SACC).
Pekerja kedai tersebut, Najwa Nahirah Kamaroddin berkata, jualan kad raya meningkat sebanyak 10 peratus berbanding pada tahun lalu.
"Kedai ini dibuka pada 2004 dan sejak itu kami mengambil stok kad raya daripada pembekal untuk dijual kepada pelanggan.
"Boleh dikatakan jualannya semakin meningkat dan tidak pernah mengalami sebarang penurunan," katanya yang menjual kad raya yang berharga RM2.30 sehingga RM26.80.
Walaupun dunia kini dihujani dengan pelbagai teknologi yang serba canggih, namun beliau tidak menafikan sambutan dan jualan terhadap kad raya semakin memberangsangkan.
"Stok kad raya yang bersaiz kecil dan dijual dalam paket sudah habis dijual dan permintaan terhadap kad tersebut masih tinggi sebab masih ada pelanggan yang datang mencarinya. Kad raya tersebut mendapat sambutan sebab saiznya yang kecil dan harganya yang
berpatutan.
"Pelanggan yang datang ke kedai kami mengakui kad raya dapat disimpan untuk dibuat kenangan berbanding dengan ucapan yang dihantar melalui alam maya atau SMS yang akhirnya akan dipadam juga," katanya.
Najwa berkata, sekiranya stok kad raya tidak dapat dihabiskan pada tahun ini, pembekal akan datang mengambilnya semula.
"Kalau tak habis jual, pembekal datang ambil kembali dan akan dihantar ke ibu pejabat.
"Kad raya itu akan dijual kembali pada tahun depan dan akan dihantar ke cawangan-cawangan lain yang lebih mendapat sambutan," katanya.
Promosi Pos Malaysia galak orang ramai guna kad raya
Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kad raya untuk menghantar ucapan kepada orang tersayang dan sekali gus merangsang pertumbuhan jualan kad raya, pihak Pos Malaysia menawarkan kadar caj pengeposan istimewa kad ucapan sehingga 31 Julai 2014.
Menurut jurucakap Pos Malaysia, promosi yang diadakan ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai meneruskan tradisi menghantar kad ucapan sempena musim perayaan.
"Promosi istimewa ini menawarkan caj serendah RM0.50 untuk pengeposan kad raya tidak kira saiz, bentuk dan warna serta boleh dipos ke mana-mana destinasi di seluruh Malaysia.
"Bagi melancarkan urusan pengeposan kad raya supaya ia sampai sebelum Hari Raya Aidilfitri, pihak kami menasihatkan agar para pelanggan membuat urusan pengeposan kad ucapan hari raya sebelum 22 Julai 2014," katanya.
Untuk rekod, promosi kadar caj pengeposan istimewa yang ditawarkan oleh Pos Malaysia kepada pelanggannya itu sudah memasuki tahun yang kesembilan berturut-turut.