Gabungan Johor, Lebah mampu beri impak baru
Oleh Lokman Zainal Abidin dan Rizar Mohd Noor
PENGGABUNGAN Johor dan Johor FC pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dilihat mampu memberi impak baru kepada transformasi bola sepak Johor yang sekian lama merudum.Naib Presiden 1 Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Abd Aziz Sapian (gambar) berkata, rombakan besar-besaran akan dilakukan bagi mewujudkan satu pasukan bola sepak negeri yang lebih mantap dan tiada lagi dua pasukan dari satu negeri bersaing antara satu sama lain.
Katanya, satu mesyuarat antara pengurusan PBNJ dan Johor FC sudah diadakan dan ia berjalan lancar dengan kedua-dua pengurusan juga tampak positif apabila melihat betapa perlunya dua pasukan itu digabung.
“Pengurusan tertinggi PBNJ tidak mahu lagi wujud konflik antara Johor dan Johor FC. Biar ia digabung menjadi satu pasukan bagi menghadapi saingan Liga M sekali gus memberi sinar baru kepada bola sepak Johor.
“Menerusi penggabungan itu kelak, saya yakin tiada lagi jurang malah pemain beraksi hanya untuk satu pasukan. Mengenai siapa yang menguruskan pasukan satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi untuk menentukan sama ada pengurusan PBNJ atau Johor FC mengendalikan skuad Johor.
“Jika semuanya lancar, pengurusan tertinggi PBNJ akan menghantar surat kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk memaklumkan penggabungan Johor dan Johor FC dan saya yakin tidak masalah dari badan bola sepak negara menerima penggabungan berkenaan,” katanya.
Berhubung siapa yang bakal membimbing skuad gabungan itu, Abd Aziz berkata, panel jurulatih akan dilantik untuk mengenal pasti calon sesuai dan pastinya tumpuan terarah kepada jurulatih dari Johor manakala pemain yang diserapkan juga lebih tertumpu kepada pemain tempatan.
Katanya lagi, setiap pemain antara Johor dan Johor FC yang masih memiliki kontrak akan dikaji semula dan jika perlu disambung, pihak PBNJ dan Johor FC akan menentukan kelak bagi mengelak berlaku kekeliruan,” kata Abd Aziz lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh PBNJ sebaik permohonan bergabung dengan Johor FC itu diterima nanti.
“Buat masa ini, saya belum boleh membuat sebarang kenyataan kerana kami perlu meneliti dan melihat terlebih dulu apa cadangan mereka. Soal penggabungan itu adalah hak mereka dan FAM tidak akan menghalang.
“Yang menjadi ahli gabungan FAM ialah PBNJ manakala Johor FC pula adalah ahli gabungan PBNJ. Johor FC dibenarkan bertanding di dalam Liga-M atas kapasiti kelab yang dibenarkan. Secara dasarnya, tidak ada masalah dengan apa yang mereka mahu lakukan itu. “Bagaimanapun, saya perlu menunggu surat rasmi PBNJ berhubung hasrat mereka untuk bergabung,” katanya