combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Jelajah Cakna Pertahanan Di Pulau Banggi Perkasa Komuniti Setempat - MINDEF
Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengadakan Program Jelajah Cakna Pertahanan di Pulau Banggi, bagi memperkukuh literasi pertahanan masyarakat di kawasan yang mempunyai nilai geostrategik tinggi terhadap landskap keselamatan negara.
MINDEF dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program tiga hari bermula Rabu (22 Julai) itu, dilaksanakan menerusi Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) di bawah pimpinan Ketua Eksekutif Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar.
Menurut kenyataan itu, pemilihan Pulau Banggi amat signifikan memandangkan kedudukannya sebagai pulau terbesar di Malaysia, selain terletak di perbatasan paling utara Sabah yang bersempadan dengan perairan maritim Filipina.
“Antara pengisian utama program ialah penganjuran Sesi Townhall bertemakan ‘Kedaulatan Pulau Banggi: Memperkasakan Komuniti Sempadan, Mempertahankan Kedaulatan Negara’ untuk memperkukuh pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS).
Dialog dua hala itu, menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa dan awam, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Bagi memperkasakan institusi kekeluargaan dan pendidikan, Program Bicara Pertahanan yang membawa tema “Bicara Pertahanan Bermula dari Rumah” turut diadakan dengan penyertaan 290 ibu bapa dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi.
Sebanyak 100 murid berusia antara lima hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Tohog pula, didedahkan dengan “Program Misi Cilik: Sayangi Negara”, yang menggunakan pendekatan interaktif bagi menyemai semangat cintakan negara pada peringkat awal.
Mengakhiri program jelajah itu, filem PASKAL ditayangkan kepada pelajar SMK Banggi dan penduduk tempatan, sebagai usaha menterjemahkan mesej cakna pertahanan melalui medium hiburan yang berilmiah.
Menurut kenyataan MINDEF itu secara keseluruhannya, penganjuran program jelajah tersebut bukan sahaja menjayakan kerangka WoGos, malah memperkukuh secara langsung elemen Kerjasama Awam Tentera (CIMIC).