ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Keratan laporan Sinar Harian semalam mengenai kenyataan Exco Kerajaan Negeri berkaitan kes HFMD.
JOHOR BAHRU - Masyarakat diminta tidak panik dengan kejadian melibatkan 12 daripada 252 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chien Chi, Plentong, di sini yang dikesan mempunyai gejala penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Guru Besar SJKC Chien Chi, Peh Hun Kee berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mengambil langkah pencegahan seperti membersihkan bilik darjah, tandas dan pusat aktiviti ko-kurikulum di sekolah terbabit sejak Isnin lalu.
Menurutnya, sepanjang sesi persekolahan pagi dan petang, kira-kira 2,300 murid di sekolah itu turut diarahkan untuk mencuci tangan sekurang-kurangnya dua kali sebelum pulang ke rumah masing-masing.
"Saya amat berharap ibu bapa tidak panik kerana pihak sekolah sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kesihatan Johor dalam melakukan pemantauan dan juga pemeriksaan kesihatan.
"Pada masa sama, pihak sekolah mengambil segala langkah pencegahan termasuk aspek pencegahan selain masih menunggu keputusan penuh laporan perubatan membabitkan 12 murid berkenaan, " katanya pada sidang media di sekolah berkenaan, semalam.
Turut hadir, Ketua Masyarakat Kampung Baru Plentong, Chan San San.
Hun Kee berkata, pihak sekolah juga sentiasa berhubungan dengan keluarga 12 murid sekolah terbabit dari semasa ke semasa bagi mengetahui perkembangan terkini kesihatan mereka.
"Pada Sabtu ini, pihak sekolah juga sekali lagi akan mengadakan pembersihan secara besar-besaran bersama NGO dan ibu bapa sebagai langkah pencegahan secara berterusan," katanya.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat memberitahu aktiviti kawalan dan pencegahan HFMD dilakukan terhadap dua sesi persekolahan SJKC Chein Chu itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Jumaat lalu, seorang murid perempuan Tahun Satu sekolah itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas mendapatkan rawatan susulan demam yang berpanjangan.