4 syarikat Bumiputera disenarai di Bursa Malaysia
SJJB bantu 4 syarikat Bumiputera disenarai di Bursa Malaysia
2011/01/17
SKIM Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan akan membantu empat syarikat milik Bumiputera yang mempunyai nilai pasaran sebanyak RM500 juta untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata keempat-empat syarikat berkenaan sudah diluluskan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebagai syarikat berpotensi berdaya maju.
Syarikat itu ialah Ascendsys Sdn Bhd, Pelasari Corporation Sdn Bhd, Taiace Engineering Sdn Bhd dan FASK Capital Group Sdn Bhd.
“Ia mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu perjumpaan yang turut dihadiri agensi kerajaan yang berkaitan di Kuala Lumpur,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 210 murid miskin di Bachok, kelmarin.
Awang Adek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja SJJB berkata, sebanyak 20 syarikat milik Bumiputera lagi akan dipertimbangkan untuk disenaraikan di bursa berkenaan yang kini dalam semakan SC supaya mereka dapat diketengahkan ke skop lebih luas lagi.