Felda Global ke bursa ikut jadual
KUALA LUMPUR 27 Dis. – Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVH) hari ini mengesahkan bahawa syarikat itu berada dalam landasan yang betul untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada
April 2012.
Presiden dan Ketua Eksekutif FGVH, Datuk Sabri Ahmad berkata, perancangan syarikat masih lagi konsisten dengan cadangannya untuk disenaraikan.
‘‘Kami bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan yang boleh memperbaiki proses penyenaraian dan mengoptimumkan penilaian, Lembaga Pengarah FGVH pula masih dalam misinya untuk menyenaraikan syarikat ini pada April tahun depan.
‘‘Kami tidak berganjak daripada cadangan penyenaraian FGVH dan amat jelas penyenaraian ini akan membawa faedah-faedah dan mewujudkan satu situasi menang-menang untuk semua,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Kenyataan itu sekali gus menjawab persoalan yang timbul tentang status cadangan penyenaraian FGVH.
Sabri menambah, FGVH dimiliki sepenuhnya oleh Lembaga Felda dan keputusan supaya Koperasi Permodalan Felda memiliki sejumlah besar saham dalam FGVH membolehkan segala faedah dapat disalurkan terus kepada para peneroka Felda, yang juga ahli kepada koperasi tersebut.
Jelas beliau, penyenaraian FGVH tidak boleh mempunyai campur tangan pihak-pihak luar yang tidak memiliki kepentingan dalam syarikat itu atau tanpa kedudukan dalam pentadbiran.
‘‘Keputusan untuk menyenaraikan syarikat ini telah dibuat dengan teliti. Prosesnya telah dimulakan pada 2009 sebagai sebahagian daripada program transformasi Felda.
‘‘Peranan FGVH adalah meluaskan perniagaan antarabangsa dan mengintai peluang baharu bagi memastikan pertumbuhan stabil.
‘‘Pihak luar tidak boleh menjejaskan pelan ini semata-mata untuk melaksanakan agenda masing-masing dan Lembaga Pengarah FGVH masih mengekalkan cadangan penyenaraian ini,’’ tegas Sabri.
Sumber: UtusanOnline
p/s: simpan2 duit utk cuba IPO ni nnti..
