ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Walaupun baharu bertemu buat kali pertama dengan gadis ini, sudah cukup membuatkan saya berasa dekat dan mengenali keperibadiannya, yang tidak salah jika dikatakan boleh dicontohi anak muda di luar sana.
Sentiasa merendah diri, kata Madeehah Nazneen Md. Najib, tiada apa yang istimewa tentang dirinya untuk dikongsi dengan pembaca.
Namun, jika pengalaman mendekati komuniti jalanan boleh membuka mata masyarakat tentang pentingnya ikatan persaudaraan tanpa mengenal darjat mahupun pangkat, dia ingin menjadi suara yang boleh didengari supaya golongan tersebut boleh diberi ruang sewajarnya sama seperti warga lain.
Memang tidak dinafikan, jika diminta menawarkan diri untuk melakukan kerja sukarela, pasti ramai daripada kita yang akan berfikir panjang.
Apa tidaknya, tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran dan kerap kali tiada penghargaan.
Namun, ramai juga individu seperti Madeehah atau lebih senang membahasakan diri sebagai Neen, yang merasakan kerja sebagai sukarelawan memberikan kepuasan kepadanya.
Gadis ini bergiat aktif menjalankan kerja kesukarelawan di jalanan secara bersendirian tanpa terikat dengan mana-mana organisasi.
Baginya, golongan tidak bernasib baik yang tinggal di jalanan seperti ibu tunggal, warga emas, kanak-kanak, serta orang kurang berkemampuan bukan sahaja perlu dibantu dari segi keperluan makanan dan kebendaan, bahkan sokongan dari segi pekerjaan, cara membawa diri dan pergaulan yang tiada perbezaan taraf.
“Inspirasi datang dari jalanan. Apa yang Neen lihat pada persekitaran akan refleks kepada diri sendiri. Jika kita fikirkan kembali, kesukaran itu tidak menyakitkan tetapi banyak memberi pengajaran kepada kita tentang realiti kehidupan.
“Neen mahu keluar dari zon selesa dan cuba menyelami perasaan mereka. Kini, Neen lebih bersyukur kerana kalau kita fikir kita susah, masih ada orang lain yang lebih susah. Sebenarnya kerja ini melatih diri untuk menghargai setiap pemberian yang dikurniakan,” ujarnya.
Berusia 26 tahun dan masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Komunikasi Sains Kemanusiaan, penglibatannya dalam kerja kesukarelawan bermula apabila dia diminta menjadi penterjemah oleh komuniti kebajikan, Convoy of Friendship.
Komuniti tersebut dianggotai oleh sekumpulan pelajar antarabangsa UIAM yang menghadapi masalah bahasa dan komunikasi untuk membantu golongan jalanan di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
Bermula dari situ, dia membangkitkan persoalan dalam diri mengapa orang luar pula yang menghulurkan tangan kepada bangsa sendiri dan kenapa tidak orang tempatan yang memulakan dahulu.
Dia tidak menafikan terdapat pelbagai badan sukarelawan dan kebajikan aktif mengadakan program pemberian makanan kepada komuniti jalanan, namun jarang yang datang membantu dari segi pembawaan diri supaya golongan tersebut boleh diterima dalam sektor pekerjaan.
Kini, dia bergerak secara sendiri sambil ditemani rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.
Katanya, kos dan dana tidak menjadi masalah kepada kumpulannya untuk menjayakan misi kebajikan kerana banyak medium boleh digunakan bagi mendapatkan wang, seperti melalui perkongsian di Facebook atau mendapatkannya melalui badan-badan korporat.
“UIAM sendiri mempunyai peruntukan untuk pelajarnya melakukan aktiviti. Neen dan rakan-rakan tidak kisah untuk naik turun pejabat semata-mata untuk mengambil peluang tersebut malah kami juga akan mewakili mereka menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerja-kerja sebegini,” katanya yang turut menjalankan perniagaan barangan terpakai secara carboot sale untuk mendapatkan dana.
Gambar NOORADZRENE MOHAMMED NOOR Reka bentuk Mastika mohamed Solekan : YUN SAMAT, @beeblush_beauty (019-3858400)
Sungguhpun anak tunggal perempuan dalam keluarga, Madeehah Nazneen Md. Najib atau Neen bukanlah seorang anak manja yang perlu dituruti segala kemahuannya.
Malah dia mengakui, ibu dan bapanya mendidik sama seperti didikan kepada adik-beradik lelakinya.
Pernah terpilih sebagai wirawati Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 200, katanya, penyertaan dalam program tersebut merupakan kali pertama berjauhan dari keluarga dalam tempoh agak lama.
Ujarnya, PLKN membuatkan dirinya berjaya keluar dari zon selesa dan banyak mengajarnya erti kesusahan dan berdikari dalam segala hal.
“Neen terdedah dengan pelbagai latar belakang manusia sepanjang mengikuti program PLKN. Dari situ Neen tahu setiap orang perlu mempunyai sifat tanggungjawab dan toleransi antara satu sama lain, selain memberi pendedahan tentang kerja kesukarelawan dan kebajikan.
“Program itu juga memberi peluang kepada Neen untuk menimba pengalaman hidup berdikari dan menambah keyakinan berhadapan dengan orang ramai atau sebarang kemungkinan atau masalah.
“Pergaulan dengan rakan-rakan mengajar Neen tentang perkongsian dan cara berkomunikasi dengan baik,” katanya yang ditempatkan di Kem Cheneh, Kemaman, Terengganu.
Nyata program tersebut telah menyuntik sifat-sifat positif apabila bermula sejak itu dia memberanikan diri ‘keluar’ dari dunianya sendiri dan memandang jauh ke hadapan untuk menghadapi realiti dunia sebenar.
Menanamkan dalam diri supaya jangan takut jika jatuh dan sentiasa menoleh ke hadapan dalam apa juga keadaan, Neen mencabar diri berkhidmat untuk negara dengan cara membantu golongan tidak berkemampuan terutama yang tinggal di jalanan.
Mempunyai impian menubuhkan sebuah organisasi kecil bagi menempatkan golongan tersebut, namun Neen berkata, jika tidak mampu melakukannya sekurang-kurangnya dia akan membuka sebuah restoran yang kesemua pekerjanya adalah golongan tidak bernasib baik yang mahu mencari ruang untuk mencari rezeki.
“Suatu hari nanti mungkin selepas berkeluarga, Neen teringin untuk mewariskan sifat ini kepada anak-anak supaya mereka tidak takut untuk hidup susah dan mempelajari erti kesusahan melalui pengalaman golongan ini.
“Neen juga ingin membuka mata masyarakat di luar sana supaya tidak sekalipun merasakan penglibatan dalam kerja sukarela sebagai satu beban kerana sebenarnya dapat melatih diri membuat kerja tanpa menunggu balasan,” katanya.
Jika gadis lain lebih gemar memandu kereta semata-mata demi keselesaan, lain pula ceritanya dengan Madeehah Nazneen Md. Najib atau Neen yang gemar menaiki pengangkutan awam untuk ke destinasi yang ingin dituju.
Dia tidak kisah untuk berhimpit-himpit menaiki bas, teksi, transit aliran ringan (LRT), atau komuter bersama pengguna yang lain, malah dapat lebih mengenal sifat manusia melalui pelbagai ragam yang ditunjukkan.
“Neen gemar menjalinkan persahabatan dengan kenalan baru yang ditemui dalam pengangkutan awam. Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan apabila berpeluang berkongsi cerita bersama seorang wanita dari Greece di dalam sebuah tren yang bertanyakan tentang selendang yang Neen pakai ketika itu. Dia pelik dengan wanita di sini yang memakai kain untuk menutup kepala.
“Neen mengajarnya cara memakai selendang dan katanya, tidak sangka bahawa cara memakainya begitu mudah. Sebelum meninggalkannya, Neen sempat menghadiahkan sehelai selendang dan dia kelihatan begitu gembira dengan pemberian tersebut,” ceritanya.
Selain pengalaman manis dia juga pernah melalui detik mendebarkan ketika menggunakan pengangkutan awam.
Antaranya, dia pernah diikuti orang asing ketika berjalan berseorangan di sebuah perhentian bas.
Namun, Neen tidak menjadikan pengalaman itu sebagai halangan untuk berasa takut, malah mendidiknya untuk lebih berani dan sentiasa peka dengan keselamatan diri.
Oleh NURSYAMIMI SAIDI
nursyamimi.saidi@utusan. com.my