BTC USD 54,851.4 Gold USD 2,498.30
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Info tentang Penyakit

Sponsored Post

Batuk

Batuk adalah antara penyakit yang sering berlaku pada kita. Selalunya batuk akan hilang dengan sendirinya selepas lebih kurang seminggu. Bagaimanapun, oleh kerana sakit yang dideritai agak kuat, kebanyakan kita akan mencari ubat untuk melegakan batuk kita. Batuk juga kerap berlaku semasa kita selsema.

Sebenarnya, batuk adalah tindakbalas normal yang baik untuk kita. Tindakbalas ini dikenali sebagai tindakbalas refleks, di mana batuk berlaku secara automatik untuk melegakan rongga pernafasan yang tersekat atau terkena bahan-bahan irritant (penganggu).

Ada dua jenis batuk yang utama:

*batuk yang berkahak (productive cough)
*batuk yang tidak berkahak (non-productive cough atau unproductive cough)

Kedua-dua jenis batuk ini adalah berbeza dari segi sebab berlakunya dan juga ubatnya. Oleh itu adalah penting untuk anda mengenalpasti jenis batuk yang anda alami supaya ubat yang diberi memberikan kesan yang sepatutnya.

Pesakit asma (lelah) kerap mengalami batuk kerana saluran pernafasan mereka yang menjadi sempit. Bagi pesakit asma, pengambilan ubat asma yang diberikan adalah penting untuk melegakan batuknya.

Ada juga orang yang batuk kerana pengambilan ubat tertentu seperti Zestril dan Renitec (untuk darah tinggi). Dapatkan nasihat doktor anda untuk menukar dengan jenis ubat darah tinggi yang lain.



Batuk yang berkahak

Batuk yang berkahak selalunya bermula di bahagian dada. Warna kahak perlu dikenalpasti untuk mengetahui jenis batuk / penyakit yang dialami.

*Kahak yang putih atau jernih menunjukkan tidak ada penyakit-penyakit lain yang merbahaya.
*Kahak yang berwarna putih tetapi berbuih mungkin disebabkan oleh penyedutan asap rokok yang kronik (jangkamasa lama). Ia juga berlaku pada mereka yang menghidapi penyakit bronkitis.
*Kahak yang berwarna hijau atau coklat menunjukkan adanya jangkitan dalam paru-paru. Contoh batuk jenis ini ialah sakit bronkitis dan pneumonia (sukar bernafas, demam). Selalunya ia disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria.
*Kahak berdarah atau berwarna gelap seperti karat menunjukkan sesuatu yang lebih serius lagi. Ia mungkin disebabkan oleh kanser, batuk kering (TB), dsb. Segera dapatkan rawatan lanjut.

Untuk melegakan batuk berkahak, anda boleh mengambil ubat dari jenis expectorant (memecahkan kahak) seperti:

*guaifenesin (Breacol)
*carbocisteine (Rhinothiol)
*ambroxol (Mucosolvan)
*cyclidrol (Mucoflux)
*herba seperti Ibu dan Anak, Cofcare, dsb.

Ubat yang lebih kuat boleh didapati dari farmasi atau klinik. Selalunya ubat ini mengandungi anti-histamine iaitu sejenis ubat allergik yang boleh membantu mengeringkan kahak. Bagaimanapun ubat dari jenis ini boleh menyebabkan anda mengantuk, oleh itu tidak sesuai untuk yang berkerja. Antara jenama yang selalu diberi ialah Benadryl (original) dan pelbagai jenama generik seperti Bena, Bencodyl dsb. Sila lihat generik.htm. Jenama lain yang juga popular ialah Actifed Expectorant dan Rhinathiol Promethazine.

Sekiranya ada jangkitan kuman bakteria, anda perlu mengambil antibiotik. Sila buat pemeriksaan lanjut dengan doktor anda. Sila lihat artikel penting di antibiotik.htm.



Batuk tidak berkahak


Batuk yang tidak berkahak dirasakan kering, gatal dan perit yang berlaku di bahagian tekak. Batuk jenis ini selalunya disebabkan oleh jangkitan virus. Ia selalunya akan pulih tanpa pengambilan ubat dalam masa seminggu. Pengambilan antibiotik tidak boleh membantu pesakit batuk jenis ini.

Pengambilan ubat perlu untuk mengawal rasa pedih yang dirasai. Antara jenama yang popular ialah Cofcare. Jenama yang lebih kuat pula boleh didapati di farmasi atau klinik. Pastikan anda dapatkan penerangan yang lengkap sebelum mengambilnya. Ubat batuk jenis yang tidak bekahak yang lebih kuat ini (ubat ini dikenali sebagai anti-tussive) adalah seperti codeine, pholcodine, dextromethorphan dan clobutinol.

Dextromethorphan boleh didapati dalam bentuk sirap, pil dan juga gula-gula untuk dikemam. Ia adalah antara jenis yang popular dan jenama yang ada termasuklah Actifed DM, Sedilix DM, Cofdex (pil), Tussil (gula-gula) dsb. Jenama Duro-tuss pula mengandungi pholcodine dan ia sesuai untuk pesakit kencing manis kerana ia tidak mengandungi gula. Pholcodine tidaklah menyebabkan ketagihan seperti codeine. Jenama yang mengandungi codeine hendaklah dijauhi sekiranya boleh kerana ada alternatif lain seperti yang dinyatakan di atas. Codeine boleh menyebabkan ketagihan. (Tambahan: Mulai tahun 2003, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pembuatan ubat batuk yang mengandungi kodein (codeine) diberhentikan.)

Kesemua ubat di atas mungkin menyebabkan pengambilnya mengantuk dan khayal (codeine). Ubat yang mengandungi clobutinol seperti Silomat tidak menyebabkan rasa mengantuk.

Sekiranya anda merasa sakit tekak yang teruk, ubat seperti Dequadin, Strepsil dsb. boleh membantu. Untuk yang lebih kuat lagi, dapatkan dari farmasi atau klinik, seperti Difflam dan Strepsil Dual Action.



Perkara-perkara lain

Selain daripada pengambilan ubat, anda boleh juga lakukan langkah-langkah berikut ini:

*minum air suam atau panas dengan banyak. Ia membantu memecahkan dan membuang kahak.
*pengambilan bahan-bahan yang menambah lendir seperti bahan tenusu, daging, makanan segera, gula dan makanan manis, tepung putih dsb hendaklah dikurangkan.
*sekiranya anda merokok, mungkin inilah masa yang sesuai untuk terus berhenti merokok.
*persekitaran yang berhabuk, berasap toksik dan sebagainya boleh menyebabkan batuk. Oleh itu cuba jauhkan diri anda dari kawasan ini.
*sedut stim contohnya dari air yang mendidih. Ia membantu menghilangkan hidung yang tersumbat.
*hembus dengan kuat untuk membuang kahak dan hingus.


Selain itu, perkara-perkara ini haruslah diperhatikan:

*ada sesetengah ubat batuk yang didapati di farmasi dan klinik mengandungi pseudoephedrine, yang boleh menambah tekanan darah. Orang yang ada tekanan darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat jenis ini. Dapatkan penerangan lanjut dari farmasi atau klinik.
*kebanyakan persediaan adalah dalam bentuk sirap dan ia mengandungi gula. Pesakit kencing manis harus mengelakkan pengambilannya sekiranya boleh.
*sekiranya batuk anda tidak baik dalam masa seminggu, atau ada tanda-tanda yang lebih serius seperti batuk berdarah, rawatan lanjut diperlukan.
*batuk yang berlaku pada waktu malam sahaja (semasa baring sahaja) mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Dapatkan rawatan selanjutnya.

 
Sembelit

Sembelit berlaku bila:

*anda susah membuang air besar, kerana sebab-sebab tertentu seperti najis terlalu keras
*anda jarang membuang air besar

Ramai orang keliru bila dikatakan "jarang membuang air besar". Ini kerana setiap individu adalah berlainan. Ada orang yang membuang air besar sekali sehari, ada yang beberapa kali sahaja seminggu. Ramai yang beranggapan mereka mengalami sembelit, tetapi sebenarnya mereka tidak sembelit. Statistik di Amerika Syarikat mendapati kes sembelit ini berlaku dan berlarutan kepada 10% hingga 15% populasi.

Bagaimanapun, sembelit bolehlah dikatakan terjadi sekiranya anda pergi ke tandas kurang daripada tiga kali seminggu (Berdasarkan kriteria Rome II - sila lihat http://www.romecriteria.org/index.html).

Sembelit bukanlah satu penyakit, tetapi ia hanyalah satu tanda penyakit (symptom). Orang yang sembelit juga selalunya merasa sakit perut dan mengalami angin (sendawa dan kentut). Bagaimanapun ia perlulah dirawat supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk atau berlakunya masalah lain seperti kanser usus, buasir, dsb.

Perempuan, budak kecil dan orang tua (melebihi 65 tahun) lebih kerap mengalami sembelit.



Sebab-sebab berlakunya sembelit

*kurang fibre tetapi lebih makanan berlemak dan gula
*kurang minum air
*selalu menahan diri daripada membuang air besar
*kurang bersenam atau pergerakan, contohnya selepas kemalangan
*sebab-sebab emosional seperti tekanan perasaan
*berkaitan dengan hormon seperti mengandung dan datang haid. Bagi yang mengandung - hormon progesterone yang tinggi meregangkan otot-otot usus menyebabkan berlakunya sembelit. Di samping itu, janin yang menekan bahagian usus juga menyebabkan sembelit
* penyakit-penyakit seperti lupus, sclerosis, parkinson dan penyakit endocrine (kencing manis, hypothyroidism)
*ubat-ubatan seperti ubat narcotik seperti ubat batuk yang mengandungi codeine, diuretik, anti-histamine, anti-depressant, ubat gastrik yang mengandungi aluminium atau kalsium
*makanan tambahan seperti zat besi (iron supplement)
*irritable bowel syndrome / spastic colon (selalunya orang yang menghadapi masalah ini juga mengalami cirit-birit)
*penggunaan laxative (ubat sembelit) yang berlebihan boleh menyebabkan berlakunya sembelit. Ubat ini selalu digunakan oleh mereka yang ingin mengurangkan berat badan mereka. Contoh ubat ialah senna (Senokot) dan bisacodyl (Dulcolax)
*penyakit-penyakit usus seperti diverticulitis. Selalunya ia berlaku bersama-sama dengan demam dan sakit perut (bahagian bawah)
*untuk bayi - penggunaan tidak mengikut arahan (terkurang air). Ini menyebabkan berlakunya sembelit
*untuk orang tua - otot-otot perut dan usus menjadi semakin lemah bila usia meningkat. Di samping itu, orang tua juga selalunya kurang melakukan aktiviti seperti senaman

Apa yang boleh anda lakukan

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah mengenalpasti sebab-sebab berlakunya sembelit. Antara perkara-perkara yang boleh anda lakukan ialah:

*minum air yang banyak, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ambil air lemon suam sebelum makan
*makan banyak buah-buahan (prune, epal, nanas, pisang dsb), sayur-sayuran dan essential fatty acids seperti kekacang dan ikan
*kurangkan kopi, teh, susu, makanan dari sumber susu dan makanan berlemak dari haiwan (saturated fats).
*tukar gaya hidup dengan melebihkan senaman. Senaman atau pergerakan badan akan menyebabkan pergerakan otot-otot usus anda
*Ambil ubat:
oStimulant laxative seperti senna dan bisacodyl (Dulcolax). Pengambilannya tidak boleh diamalkan (sila lihat di atas). Ada ubat ini jenis yang dimakan dan ada juga yang dimasukkan ke dalam dubur (ubat jenis ini dipanggil suppository)
oBulk fibre / osmotic laxative. Fiber atau serat akan menarik air ke dalam usus dan melembutkan najis anda. Penggunaan yang banyak adalah tidak digalakkan sekiranya anda mengalami sakit jantung atau sakit buah pinggang. Pengambilan ubatan yang mengandungi macrogol seperti Forlax atau lactulose (Duphalac) adalah lebih digalakkan. Macrogol dan lactulose merupakan osmotic laxative pilihan yang disarankan oleh American College of Gastroenterology (ACG). Kajian baru-baru ini juga mendapati Forlax selamat untuk penggunaan kepada bayi dan kanak-kanak (walaupun begitu ia masih belum di"gazet"kan). Lactulose telah sedia diketahui selamat untuk bayi.
*Pelincir glycerine seperti enema yang dimasukkan ke dalam dubur. Ia memudahkan pembuangan air besar
*Penggunaan mineral oil telah banyak berkurangan sekarang ini kerana kesan-kesan sampingannya
*ambil vitamin C sekurang-kurangnya 1,000mg
*ambil mineral magnesium
*ambil bawang putih
*ambil acidophilus dan bakteria baik lain sebelum makan (bakteria baik - probiotik- yang banyak terdapat di dalam yogurt atau persediaan kapsul / tablet yang dijual di farmasi)
*antara herba yang digunakan selain daripada senna (lihat di atas) ialah cascara sagrada, sliperry elm, marshmellow dan peppermint

Untuk mereka yang mengandung, jangan ambil ubat-ubatan termasuk ubat herba. Ada ubat-ubat herba ini menyebabkan kontraksi (contraction).
 
Last edited:
Jangkitan salur kencing

UTI (Urinary Tract Infection) adalah jangkitan yang berlaku di saluran kencing. Ini selalunya disebabkan oleh kuman, terutamanya E.coli. Antara jenis-jenis yang kerap berlaku ialah (sila rujuk kepada gambar di bawah):

*ureteritis - jangkitan pada ureter
*sistitis - jangkitan pada pundi kencing. Jangkitan ini adalah yang paling kerap berlaku
*uretritis - jangkitan pada uretra
*pielonefritis - jangkitan pada ginjal / buah pinggang

uti2h.jpg




Tanda-tanda


*kerap kencing sepanjang hari (siang dan malam)
*rasa ingin kencing yang keterlaluan, tetapi bila kencing, hanya setitik dua sahaja yang keluar
*rasa pedih atau sakit semasa kencing
*air kencing tidak bersih seperti berwarna keruh atau gelap. Ada juga kemungkinan darah keluar sekali
*air kencing berbau kuat
*sakit di bahagian bawah perut, belakang atau rusuk. Dapatkan rawatan segera. Ia mungkin disebabkan oleh jangkitan yang serius di bahagian buah pinggang
*demam. Dapatkan rawatan lanjut
*rasa loya atau muntah



Siapa yang berisiko tinggi mendapatnya

* wanita berusia 15 - 45 tahun adalah lapan kali ganda lebih terdedah kepada jangkitan kuman ini berbanding lelaki risiko akan meningkat kepada mereka yang aktif dari segi seks
*4 - 10 peratus wanita hamil mengalami kehadiran bakteria di dalam air kencing. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan lanjut, sehingga 40% daripada mereka ini akan mengalami UTI
*orang yang sedang berbulan madu. Hubungan seks yang kerap pada masa tersebut mungkin menyebabkan luka kecil yang akan menyebabkan kehadiran kuman. Selain daripada itu, kebersihan perlulah dijaga dengan baik, contohnya basuh kemaluan setiap kali selepas mengadakan hubungan kelamin dengan pasangan
*bed-ridden iaitu orang atau pesakit yang jarang bergerak seperti terlantar sakit dsb
*struktur saluran kencing yang tidak normal
*pesakit-pesakit yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah seperti pesakit barah atau kerana penggunaan steroid yang lama
*penggunaan tiub di dalam saluran kencing
*penggunaan diaphragm. Sila buat pemeriksaan untuk memastikan bahawa diaphragm dipasang atau berada dalam kedudukan yang betul
*penyakit-penyakit lain seperti pesakit yang menghadapi BPH (Benign Prostate Hyperplasia), batu karang, dsb.
*pakaian yang telalu ketat yang memerangkap lembapan, menyebabkan bakteria lebih mudah membiak
*sebab-sebab lain seperti penggunaan tampon terutamanya menggunakan tangan yang tidak dibasuh



Langkah-langkah pencegahan

*minum air yang banyak setiap hari. Bakteria boleh dibuang melalui kencing yang kerap
*jaga kebersihan. Buang air kencing sebelum dan selepas melakukan hubungan seks. Basuh bahagian terbabit dengan bersih. Sekiranya anda menggunakan tisu, anda hendaklah mengesat dari depan ke belakang. Ini bertujuan menghalang jangkitan kuman dari bahagian dubur
*penggunaan tampon hendaklah diberhentikan. Tukar kepada tuala wanita biasa
*jangan tahan kencing
*kurangkan pengambilan minuman berkafein, bergas atau coklat. Makanan yang diproses dan gula biasa juga hendaklah dikurangkan / diberhentikan
*jangan gunakan pakaian dalam dari nylon. Gunakan pakaian yang berasaskan cotton supaya peredaran udara menjadi lebih baik



Rawatan tanpa ubat-ubatan


*gunakan hot-water bottle yang diisikan dengan air panas dan tuamkan pada bahagian yang sakit
*amalkan dan lebihkan pengambilan celery (saderi), persley dan tembikai
*duduk berendam di dalam air yang agak panas (tambah sedikit cuka di dalamnya) selama lebih kurang 20 minit.
*jauhkan dari perhubungan seks



Rawatan melibatkan pengambilan ubat


*bahan pengalkali air kencing seperti Potassium Citrate (Pot-Cit) atau Ural hendaklah diambil sebagai langkah segera untuk mengawal jangkitan kuman. Air kencing yang bersifat alkali akan membantutkan pertumbuhan kuman
* ambil ubat tahan sakit sekiranya sekiranya sakit
*pengambilan antibiotik mungkin diperlukan. Antara yang kerap diberi ialah Bactrim. Untuk yang lebih kuat lagi ubat seperti Augmentin (Curam) mungkin akan diberikan.
 
Sponsored Post

CG Sponsors




Back
Top
Log in Register