afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,245
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,245
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Imigresen periksa 266 warga asing berkait isu Network School
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata semakan dan siasatan lanjut sedang diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan undang-undang. (Gambar Bernama)
Naziran imigresen merujuk pemeriksaan bagi menilai pematuhan individu, premis atau organisasi terhadap undang-undang, syarat dan peraturan, termasuk semakan dokumen, rekod serta status imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata pemeriksaan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor serta polis itu mendapati semua individu diperiksa memiliki dokumen imigresen sah berdasarkan rekod semasa.
“Semakan dan siasatan lanjut sedang diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Kontroversi berhubung Network School tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan program itu di Forest City dengan mendakwa ia menarik usahawan asing, termasuk warga Israel yang menggunakan pasport negara kedua.
Antara dakwaan tular ialah soalan temu duga kepada bakal peserta menyentuh isu berkaitan Israel, teknologi ketenteraan dan politik, selain dakwaan inisiatif itu berpotensi menjadikan Forest City sebagai lokasi pertemuan usahawan mempunyai kaitan dengan Tel Aviv.
Susulan itu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi semalam menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi program berkenaan.
Zakaria berkata, kemasukan setiap warga asing ke Malaysia tertakluk kepada undang-undang imigresen, dengan pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan dikemukakan, semakan terhadap pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan tersedia.
“Imigresen akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas dikeluarkan.
“Imigresen tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen,” katanya sambil menambah individu didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang.
Jelasnya, imigresen akan bekerjasama rapat dengan KDN dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional serta berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.