ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KUALA LUMPUR 15 April - Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia ( IBFIM) yakin dapat menembusi pasaran ASEAN untuk program Perancang Kewangan Islam (IFP) melalui kerjasama dengan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM).
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Datuk Dr. Adnan Alias berkata, kerjasama tersebut merupakan batu loncatan untuk IBFIM mengeksport kepakarannya dalam menyediakan khusus-khusus latihan terutamanya IFP ke pasaran luar negara.
Beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan program persijilan lesen untuk amalan profesional dalam perkhidmatan pengurusan kekayaan Islam itu di Brunei dan seterusnya mengembangkan ke Indonesia menjelang hujung tahun ini.
“Kami juga bercadang untuk menembusi pasaran Singapura, namun masih lagi dalam proses perbincangan.
“Apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) semakin rancak, kami akan memperluaskan lagi IFP ini ke negara-negara ASEAN yang lain. Kami mahu IFP berada di peringkat global dan IBFIM merupakan institusi pertama di dunia yang mengeluarkan persijilan sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara IBFIM dan FPAM di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden FPAM, Sharifatul Hanizah Said Ali.
Sementara itu, Adnan berkata, buat masa ini, institusi tersebut masih lagi dalam peringkat mewujudkan kesedaran mengenai pengurusan kekayaan Islam.
“IFP telah diperkenalkan kira-kira tujuh tahun lalu dan sehingga kini kita hanya mempunyai 720 pengamal pengurusan kekayaan Islam dengan persijilan IFP. Jumlah tersebut adalah sesuatu yang kecil jika dibandingkan dengan nisbah penduduk di negara ini.
“Antara inisiatif yang akan dilakukan bagi mempertingkatkan kesedaran ini termasuklah mengadakan siri jelajah di seluruh negara,” ujarnya.
Menurutnya, program IFP turut ditawarkan di lima institusi pengajian tinggi (IPT) negara seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan politeknik.
Tambah beliau, IPT seterusnya yang bakal menawarkan program ini adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).