Sudahkah kita menjamu makan orang yang berpuasa
Kebiasaannya pada bulan Ramadan kita akan banyak menerima pesanan ringkas atau iklan melalui media sosial rayuan Ramadan untuk memberi makan orang berbuka. Kita telah melalui lebih separuh puasa bulan Ramadan, adakah kita telah merebut peluang ini.
Terdapat riwayat hadis dari Rasulullah menunjukkan bahawa adalah disunatkan kita menjamu dan memberi makan orang yang berpuasa. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Ibn Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.
Ganjaran pahala yang diperolehi seumpama orang yang berpuasa dan tidak berkurang walau sedikit. Bayangkan kalua kita dapat menjamu beberapa orang untuk berbuka.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’
.
Ada pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menjamu orang berbuka dan pelbagai bentuk makanan. Sehingga Rasulullah menyebut walau sekadar air atau sebiji kurma.
1. Menyumbang wang pada masjid yang ada menyediakan makanan untuk orang berbuka.
2. Menghantar makanan yang dimasak pada jiran dan sahabat yang berhampiran.
3. Membeli kurma secara borong dan boleh dibungkus semula untuk diedarkan kepada sahabat dan saudara mara.
4. Boleh buat pindahan wang untuk berbuka ke dalam akaun orang yang kita kehendaki.
5. Buat pesanan makanan
melalui khidmat grabfood dan seumpamanya untuk dihantar kepada yang berkenaan. Walaupun orang tersebut duduk jauh masih lagi boleh untuk bersedekah makanan berbuka.
Ada berbaki beberapa hari lagi, jangan bertangguh lagi. Apatah lagi jika kita boleh memberinya kepada orang miskin dan anak yatim. Allah SWT memuji orang-orang yang bersedekah seperti dalam bentuk makanan sebagaimana dalam firman-Nya:
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
Maksudnya:
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.
Berkongsi mutiara ilmu dan hikmah. Moga bermanfaat buat semua. Rasulullah SAW bersabda; خير الناس أنفعهم للناس Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat buat manusia.
t.me