BTC USD 63,782.2 Gold USD 4,333.35
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hukum Nyanyian dalam Islam

surfer957

Super Active Member
Messages
7,974
Joined
Mar 30, 2008
Messages
7,974
Reaction score
26
Points
70
Muzik dan nyanyian dalam Islam

SOALAN: Bolehkah Prof. beri komen mengenai petikan ini: ”Imam Syafii dalam kitabnya Al-Qadha’ berkata: “Nyanyian adalah kesia-siaan yang dibenci, bahkan menyerupai perkara batil. Barang siapa memperbanyak nyanyian maka dia adalah orang dungu, syahadat (kesaksiannya) tidak dapat diterima.”

Semua nyanyian hampir sama, bahkan nyanyian-nyanyian yang bernafaskan Islam sekalipun tidak akan lepas dari kemungkaran. Di antara pelbagai alat muzik yang dibolehkan hanya rebana. Itupun terbatas hanya saat pesta pernikahan dan khusus bagi wanita. Kaum lelaki sama sekali tidak dibolehkan memakainya. Sebab Rasulullah SAW tidak memakainya, demikian pula halnya dengan para sahabat baginda.

– Myra Mome

JAWAPAN: Menarik untuk diperhatikan, Islam adalah agama yang menghidupkan perasaan keindahan dan menyokong segala bentuk seni yang indah, tetapi dengan syarat tertentu. Islam agama yang mengutamakan kebaikan berbanding perkara yang merosakkan, membina dan bukan meruntuhkan. Itulah mukadimah awal untuk memahami duduk perkara dalam soalan anda ini.

Seni sama juga dengan ilmu. Ia boleh digunakan untuk kebaikan dan ada orang yang menggunakannya untuk keburukan. Namun sikap orang ramai terhadapnya terutama orang Islam, ada beberapa pendapat. Al-Qaradhawi misalnya, menyebut ada mereka yang terperangkap dengan sikap ekstrem menerima apa sahaja hiburan dan ada pula yang sebaliknya, menolak segala-galanya kerana bernama hiburan.

Barangkali, jika diambil sikap bersederhana di antara dua sikap melampau itu adalah lebih baik. Islam bukan agama yang menyeru kita 24 jam di atas tikar sembahyang, sampai tidak boleh tersenyum dan berhibur. Islam agama fitrah yang ada masanya kita boleh bergembira dan pula hari kita bersedih.

Ini tidak bermaksud Islam membenarkan kita berhibur 24 jam sehingga mengurangkan aktiviti berfaedah dan produktiviti sehingga merugikan bangsa dan agama. Pada saya, seni boleh menghidupkan jiwa. Orang seni dapat menikmati keindahan. Dalam al-Quran mengungkapkan banyak tempat dan ayat di mana ada perkara yang boleh dan baik apabila ada unsur bermanfaat, indah, malah ada kedua-dua unsur tersebut. Surah al-A‘raf: 31 menyatakan “Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan kepada hamba-Nya dan rezeki yang baik-baik”?

Pada dasarnya, jika Allah menyuruh kita menikmati keindahan alam dengan langit, bumi, awan gemawan, tumbuh-

tumbuhan, binatang dan sebagainya, kenapa kita haramkan bunyi-bunyianan dan nyanyian yang bersih dan bermanfaat? Kita tidak bercakap dengan seni dan bunyian yang sudah dilacurkan. Marilah kita mendengar bacaan al-Quran secara bertarannum dan berlagu bukan hanya tuntutan agama agar al-Quran dibaca secara yang baik, tetapi sedap telinga mendengar kerana ada seninya yang tinggi.

Seni sastera yang baik, syair dan sajak yang indah dan membawa makna yang mendalam adalah baik. Ramai ulama besar pada masa silam sebenarnya terdiri daripada penyair termasuk Imam al-Shafii. Bunyi-bunyian yang mengiringi senikata, berirama, bagaimana hukumnya?

Pertama sekali dalam Islam: Asal sesuatu itu halal. Kecuali ada nas yang mengatakannya haram. Maka haramlah. Sabda nabi SAW: Apa yang dihalal dalam kitab, hukumnya halal. Apa yang diharam, maka hukumnya haramlah. Kalau tidak disebut halal atau haram, dimaafkan. Bukannya Allah terlupa. Ertinya ruang kemaafan itu amat luas.

Bagi mereka yang mengharamkan bunyi-bunyian muzik ini mereka berpegang kepada surah Luqman ayat 7 “Di antara manusia yang bercakap secara lalai untuk menyesatkan manusia...” Percakapan lalai inilah yang dimaksud oleh mereka sebagai nyanyian.

Namun menurut Yusuf al-Qaradhawi, mengatakan ayat ini tertuju khas kepada penyanyi tidak kena tempat. Justeru kalau orang baca al-Quran bertujuan menyesat orang lain daripada jalan Allah itu pun termasuk yang dicela dalam ayat tersebut. Ayat lain selalu digunakan juga oleh mereka yang mengharamkan nyanyian adalah ayat 55 surah al-Qasas bermaksud: Orang beriman jika mereka mendengar perkataan lalai (lagha) mereka berpaling daripadanya. Sekali lagi, perkataan lagha juga termasuk mengumpat, mengeji, memfitnah dan sebagainya sama sahaja.

Bagi saya, daripada segi senikata lagu, dilihat pada persoalan, adakah ia berfaedah atau tidak? Jika melalaikan tidaklah boleh tetapi jika seperti nasyid dan sebagainya yang tidak melalaikan, bolehlah digunakan.

Imam al-Ghazali secara tegas menyatakan, apa yang tidak dibolehkan itu adalah penyanyi wanita (jariah) yang menyanyikan lagu dalam majlis-majlis bercampur dengan minuman arak dan sebagainya termasuk majlis orang fasiq.

Kebanyakan hadis yang digunakan oleh pendapat yang mengharamkan nyanyian, kebanyakan hadis tidak terang atau tidak sahih atau kedua-duanya sekali. Demikian simpul al-Qaradhawi dalam bukunya al-Islam wa al-Fann (Islam dan Seni). Malah Rasulullah SAW membenarkan hiburan (tentunya yang bersopan) terutama semasa perayaan seperti perkahwinan. Ini juga bergantung kepada ‘uruf/adat kebiasaan kaum. Mungkin uruf di Saudi Arabia dan di Mesir berbeza dengan negara Arab lain. Lebih berbeza lagi di Malaysia.

Isu nyanyian ini lebih kepada persoalan pokok, adakah ia melalaikan atau tidak. Surah al-Jumaat ayat 11, menggandingkan hiburan dengan perniagaan. Kalau berniaga sampai melalaikan tidak dibenarkan sama dengan hiburan.

Daripada segi ruh syariah, nyanyian termasuk perkara indah yang jiwa manusia suka kepadanya. Jika bersopan, akal kata baik dan jiwa pun kata manis. Itulah fitrahnya. Sama juga dengan makanan yang sedap disukai oleh semua orang. Orang Yahudi mengharamkan apa yang dihalal kepada mereka. Sebaliknya mereka halalkan pula riba yang sepatutnya diharamkan. Bandingkan keburukan riba yang diamalkan masa kini jauh lebih buruk berbanding dengan nyanyian, mana yang lebih berbahaya kepada umat Islam?

Anehnya, kanak-kanak kecil yang sedang menangis tiba-tiba terhenti apabila mendengar lagu atau nyanyian. Ada pihak merujuk bunyi-bunyian seperti serunai dengan peristiwa pada zaman nabi Daud AS. lagi.

Hiburan adalah ubat bagi jiwa yang jemu. Berehat menguatkan diri setelah penat bekerja. Hiburan rakyat seperti dikir barat adalah seni yang sepatutnya digalakkan dengan lebih ilmiah dan bermaruah, bukannya mematikan. Paling tidak, katakan sahaja ianya “harus”.

Para sufi, penduduk Madinah dari mazhab Zahiri mengharuskan nyanyian. Meskipun menggunakan gambus. Imam al-Mawardi daripada mazhab Shafii turut mengharuskan penggunaan gambus.

Hanya patut diberi perhatian, tidak semua nyanyian itu halal, jika ia menggugat asas iman. Puisi tahun 60an mengatakan “dan Tuhan sudah mati..” satu contoh puisi yang tidak dibenarkan. Baru-baru ini seorang liberalis wanita Mesir menulis buku yang hampir sama maksudnya berbunyi “Apabila Tuhan meletakkan jawatan” adalah contoh pemikiran yang tidak diterima oleh ulama Islam walau atas nama seni. Atau jika ada senikata lagu berbunyi “Oh Tuhan ku, cabutlah nyawaku, dari ku hidup baik ku mati” dan sebagainya.

Perbincangan lain yang diberikan perhatian, bagaimana cara dan gaya menyampaikan lagu itu. Beberapa bulan lalu Mufti Perlis menegur artis yang dilihatnya melampau. Begitu juga penyanyi yang mendedah tubuh badan, menaikkan ghairah dan nafsu syahwat, itu persoaln lain patut dibincangkan. Apa yang kita bincangkan di sini, semata-mata mendengar lagu. Umpamanya dari corong radio atau dari TV.

Apa-apa pun, Islam mengharamkan sebarang perkataan, perlakuan yang melampau tanpa mengira seseorang itu artis atau bukan artis.. Wallahualam.


p/s: Dipetik dari www.utusan.com.my:)
 
Ada cabang Islam kata Muzik dan Nyanyian itu tidak apa

Ada cabang Islam kata Muzik dan Nyanian itu haram

Bagimu caramu, bagiku caraku...
 
Back
Top
Log in Register