kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Hina, Ancam Kerabat Diraja Terengganu Dalam Aplikasi X, Lelaki Dipenjara Tiga Bulan
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau serta mengancam terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi aplikasi X.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Azman Hakim Hassanuddin, 35, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh reman, iaitu pada 24 Jun lepas.
Beliau menegaskan kesalahan yang menyentuh institusi diraja, agama dan sensitiviti kaum perlu dipandang serius kerana kesannya boleh merebak luas dalam masyarakat.
Ahmad Fuad berkata prinsip Kesopanan dan Kesusilaan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara perlu dihormati.
“Jadi dengan Raja ini kita sensitif. Kita hormati Raja kita. Ertinya kita melindungi Raja kita dan kita letakkan di tempat yang tinggi. Apabila kamu lakukan perbuatan ini, ia merendahkan maruah Raja-Raja," katanya.
Beliau berkata kesalahan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) juga berpotensi mencetuskan kesan berantai apabila penghinaan terhadap agama atau kaum boleh menimbulkan kemarahan pihak yang terkesan, manakala penghinaan terhadap institusi diraja boleh menyebabkan maruah dan kedudukannya dipandang rendah.
Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 10 Ogos lepas, tertuduh yang juga seorang pesakit mental, didapati layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta berupaya membela diri.
Pada 24 Jun lepas, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon agar lelaki itu dihantar ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian serta penilaian psikiatrik bagi menentukan sama ada layak dibicarakan.
Dalam rayuan, tertuduh memohon mahkamah agar beliau dikenakan hukuman denda memandangkan dia memerlukan rawatan berterusan termasuk pengambilan ubat setiap hari.