Luqmanul Hakim
CG Top Poster Club

- Messages
- 23,318
- Joined
- Mar 17, 2010
- Messages
- 23,318
- Reaction score
- 4,848
- Points
- 196
Hayati nilai kemerdekaan
TAHUN ini majlis pelancaran Program Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 dengan tema ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ mencatatkan sejarah baru apabila buat julung kalinya diadakan serentak di tiga lokasi berlainan iaitu, Brickfields, Kampung Baru dan Jalan Petaling.
Majlis ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Little India, Brickfields, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Jalan Petaling.
Tahun ini juga sekali lagi kita meraikan sambutan bulan kemerdekaan dalam bulan Ramadan yang mulia sama seperti beberapa tahun sejak kebelakangan ini. Sambutan bulan kemerdekaan seumpama ini sudah pun menjadi tradisi di negara kita setiap tahun demi memperingati semula detik kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957.
Tarikh keramat ini juga menjadi saksi betapa pengorbanan wira negara, pejuang bangsa dan bekas perajurit yang berjuang tanpa mengenal erti takut dan putus asa akhirnya menjelmakan kebebasan yang mutlak kepada negara kita daripada penjajah.
Tanpa mereka tidak mungkin kita akan mengecapi nikmat kebebasan dan kemerdekaan yang ada pada hari ini. Jasa dan sumbangan mereka bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan begitu saja, malah ia adalah terlalu besar dari segi nilai dan harganya kepada generasi sekarang.
Justeru, segala pengorbanan mereka tidak boleh disia-siakan begitu saja. Untuk itu apa yang ingin dikupas oleh penulis ialah adakah selama ini kita benar-benar ikhlas menyanjung segala pengorbanan wira negara tersebut.
Dalam konteks ini dua perkara sering menjadi persoalan utama ialah aspek keikhlasan dan penghayatan dalam kita menyambut sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan setiap tahun sebagai memperingati detik sejarah negara yang terlakar hasil pengorbanan wira negara.
Ini kerana keikhlasan kita dalam memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan boleh dilihat sebagai hadiah terbaik kepada semua pejuang kemerdekaan tanah air.
Penulis berpendapat, satu daripada cara terbaik untuk kita menunjukkan tanda penghargaan kepada pejuang serta membuktikan bahawa kita menghargai nilai kemerdekaan yang diwariskan ialah dengan cara kita menzahirkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dengan penuh ikhlas serta penghayatan yang mendalam.
Hanya dengan cara inilah kita dapat membalas segala jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air.
Dalam konteks ini, Ogos perlu dilihat sebagai bulan yang cukup penting dan bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia. Kehadiran bulan ini perlu disemarakkan sepenuhnya.
Hal ini adalah kerana kita tidak mahu bulan Ogos dan tarikh 31 Ogos datang dan pergi begitu saja sekadar memenuhi kalendar tahunan kita. Ia perlu disambut dan diraikan secara ikhlas dengan penuh penghayatan mendalam, terutama oleh generasi pasca merdeka yang tidak mengenal erti kesusahan dan kepayahan dijajah orang luar.
Ini penting kerana pengamatan kita pada tahun-tahun yang lalu menunjukkan bahawa walaupun kita tidak pernah ketinggalan melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang setiap tahun, namun sambutan dan kemeriahan dalam kalangan masyarakat masih rendah, malah ada kalanya kita merasakan ia berada pada tahap cukup mendukacitakan.
Misalnya, bilangan premis kerajaan mahupun organisasi korporat yang mengibarkan Jalur Gemilang secara relatifnya masih sedikit. Jumlah kenderaan yang memasang Jalur Gemilang juga dilihat tidak begitu memberangsangkan. Kebanyakan daripada kita hanya akan memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing apabila diberikan secara percuma.
Tidak ramai sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli Jalur Gemilang walaupun kosnya cukup rendah dan murah. Maka persoalan yang timbul di sini ialah di manakah nilai keikhlasan dan penghayatan kita terhadap kempen dan sambutan itu? Ini juga membuktikan bahawa keikhlasan dan penghayatan kita dalam meraikan kemerdekaan negara kita masih meragukan dan boleh dipersoalkan.
Dalam isu ini, kita tidak menafikan mungkin ada kebenaran pada hujah segelintir masyarakat bahawa tindakan tidak memasang bendera tidak bererti tidak sayang negara tetapi adakah kita mempunyai cara lain lebih senang dan mudah untuk menzahirkan perasaan sayang kita kepada ibu pertiwi? Sama-samalah kita fikirkan.
Bukankah sewajarnya kita berbangga dengan bendera kita kerana ia payung negara. Kalau bendera pun tidak boleh dikibarkan, apatah lagi hal lain yang menuntut pengorbanan lebih besar seperti toleransi antara kaum. Justeru, kita perlu ikhlas dan benar-benar menghayati sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda kita sayang dan cintakan negara ini.
Tahap kesedaran untuk menghayati nilai kemerdekaan dalam kalangan generasi muda dilihat belum lagi mantap dan boleh dikatakan kurang meresapi jiwa mereka.
Maka kita perlu berusaha untuk memupuk nilai kasih dan sayang kepada negara ke dalam sanubari mereka secara mendalam dengan penuh penghayatan supaya mereka akan sedar dan seterusnya akan mempertahankan kemerdekaan.
Untuk itu, di samping memupuk budaya cintakan negara melalui sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang, kita juga wajar memikirkan cara lain melalui pendekatan berbeza agar keikhlasan dan penghayatan dapat diterjemahkan seperti diharapkan.
Kumpulan pelajar sekolah dan pelajar IPT yang bakal menjadi pewaris negara wajar diberi perhatian yang lebih. Kumpulan ini perlu disedarkan kepentingan untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan kita.
Walaupun pihak sekolah dan IPT sering menganjurkan pelbagai program kesedaran sepanjang Ogos, namun sudah tiba masanya untuk kita menilai semula serta memberi nafas baharu kepada program dianjurkan itu agar dapat memberi impak seperti pertandingan drama atau teater kemerdekaan, pertandingan debat dan perbahasan kemerdekaan serta tayangan drama dan filem yang menceritakan kisah perjuangan pejuang kemerdekaan.
Budaya acuh tak acuh serta sekadar melepaskan batuk di tangga perlu dikikis dan digantikan dengan budaya keikhlasan dan penghayatan yang mendalam. Usahlah pula kedatangan bulan Ramadan dijadikan halangan mahupun alasan untuk tidak memeriahkan sambutan.
Percayalah bahawa hanya melalui keikhlasan dan penghayatan yang mendalam, kita mampu memperoleh hasil melalui sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dan itulah juga cara terbaik untuk kita membalas segala pengorbanan pejuang kemerdekaan yang gugur dalam mempertahankan tanah air tercinta ini.
Penulis Ketua Bahagian Perancangan Korporat UPM berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat
sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hayatinilaikemerdekaan/Article/index_html