Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,877
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,877
- Reaction score
- 290
- Points
- 146
Hari Terbuka Parlimen Platform Merakyatkan Institusi Demokrasi - Johari
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 di Parlimen hari ini.
Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 yang berlangsung hari ini dan esok menjadi platform untuk mendekatkan institusi Parlimen dengan rakyat, selain memberi peluang kepada masyarakat melihat serta memahami fungsi dan proses yang berlaku dalam “rumah demokrasi” itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata minat masyarakat untuk mengenali peranan institusi itu dapat dilihat dalam kalangan pengunjung yang tiba seawal 7.30 pagi, termasuk pengunjung dari luar negara.
“Rakyat dapat datang dan lihat, bukan sahaja bangunan Parlimen tetapi inti sari apa yang berlaku di dalam Parlimen. Kalau pada dua tahun lepas kita ada 10,000 pengunjung (untuk dua hari), saya rasa hari ini (sahaja) mungkin 10,000,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 di sini hari ini.
Program dua hari itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-67 Parlimen dan Bulan Kebangsaan, dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran, jualan, pertandingan sukan, pocket talk, tayangan filem Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan persembahan pentas.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah dan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.
Sementara itu, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Dr Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata konsep “merakyatkan Parlimen” bukan sekadar membawa lebih ramai pengunjung ke bangunan bersejarah itu, sebaliknya berteraskan prinsip bahawa institusi demokrasi perlu sentiasa dekat dengan rakyat.
Beliau berkata rakyat berhak memahami bagaimana Parlimen berfungsi, memandangkan kekuatan institusi itu turut bergantung kepada sejauh mana rakyat menghayati, mempercayai dan merasakan Parlimen adalah milik mereka.
“Usaha melakukan reformasi institusi juga tidak boleh terhenti pada aspek undang-undang, struktur atau pentadbiran semata-mata, sebaliknya perubahan yang dilakukan perlu dapat dirasai rakyat,” katanya.
Bagi pengunjung, Athirah Amalin Ahmad Daud, 28, lawatan ke Parlimen memberi peluang kepadanya melihat sendiri suasana di dalam institusi berkenaan selain memahami dengan lebih dekat fungsi institusi itu.