BTC USD 84,024.3 Gold USD 4,279.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 29/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERASMIAN PUSAT SAINS NEGARA-Tarikh Peristiwa pada 29-11-1996

Pada hari ini dalam tahun 1996, Pusat Sains Negara yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur telah dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Pusat ini mempunyai reka bentuk bangunan yang unik iaitu menyerupai sebuah kon yang terpotong kemuncaknya dan ditutupi dengan sebuah kubah geodesik hasil daya kreatif dan inovatif Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksananya. Konsep penubuhan Pusat Sains Negara telah diilhamkan pada awal tahun 1980an. Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara telah memainkan peranan dalam mengkonsepsikan penubuhan Pusat ini. Penubuhan Pusat Sains Negara yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan kefahaman sains dan teknologi di kalangan rakyat telah melalui proses penyelidikan dan perancangan yang rapi. Pada peringkat awal, Pusat Sains sementera telah ditubuhkan dan beroperasi selama satu dekad bermula tahun 1986. Projek Pusat Sains Negara telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-5 dan kerja pembinaan bangunan serta infrastruktur asas telah dimulakan pada November 1991. Pusat Sains Negara menyediakan berbagai jenis bahan pameran yang ditempatkan di dua buah galeri. Sesungguhnya, penubuhan pusat ini telah mencetus dan menyemai minat rakyat Malaysia ke arah pembelajaran sains dan teknologi sepanjang hayat.
 
SEKOLAH MENENGAH DATO’ ABDUL RAZAK, TANJUNG MALIM-Tarikh Peristiwa pada 29-11-1958

Pada hari ini dalam tahun 1958, Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari telah mengisytiharkan nama baru Sekolah Menengah Melayu, Tanjung Malim sebagai Sekolah Dato’ Abdul Razak. Penamaan semula sekolah tersebut telah mengambil sempena nama Timbalan Perdana Menteri Dato’ Abdul Razak bin Hussein yang juga merupakan Menteri Pelajaran yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Bangunan baru sekolah yang terletak di Tanjung Malim, Perak ini telah siap dibina pada 5 Januari 1958 dengan kos sebanyak $ 1.5 juta, merupakan salah sebuah sekolah yang termoden di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu. Sekolah ini telah menempatkan seramai 238 pelajar yang terdiri daripada anak-anak Melayu yang datang daripada kampung-kampung dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Encik Ariffin Mohd. Nam telah dilantik sebagai Guru Besar yang pertama untuk mentadbir sekolah dengan bantuan 11 orang guru. Sesungguhnya Penubuhan sekolah ini adalah didasarkan kepada cadangan-cadangan yang termaktub dalam Penyata Razak 1956 yang bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid Melayu di sekolah-sekolah rendah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat menengah.
 
PENUBUHAN RASMI KAMPUNG GURU, KANGAR, PERLIS-Tarikh Peristiwa pada 29-11-1976

Peranan membantu masyarakat bukan sahaja terletak kepada pihak Kerajaan semata-mata. Koperasi, persatuan dan masyarakat boleh memainkan peranan penting bagi membantu ahli-ahli masing-masing. Bagi Koperasi Perumahan Guru-Guru Melayu Perlis, usaha membantu ahli-ahli dilaksanakan dengan pembinaan rumah kepada ahli-ahlinya. Sempena dengan majlis pembukaan rumah yang didirikan telah dilakukan oleh Y.A.B. Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia. Projek Perumahan ini yang dikenali dengan Kampung Guru-guru Perlis Berhad terletak di Kangar, Perlis. Sebanyak 53 buah rumah telah dibina dengan kos berjuta-juta ringgit. Berucap semasa perasmian Kampung Guru tersebut, Dr. Mahathir Mohamad berharap Syarikat-syarikat Kerjasama memasuki bidang perusahaan yang lebih canggih seperti perkilangan yang banyak menggunakan modal, kepakaran dan tenaga kerja dan bagi mendapatkan modal yang lebih besar beliau mencadangkan supaya syarikat-syarikat kerjasama bergabung. Pembinaan kemudahan perumahan yang dilaksanakan oleh Koperasi Guru-Guru Melayu Perlis Berhad ini sudah pasti akan dapat membantu para guru mendapatkan salah satu kemudahan yang cukup penting sekali pada masa ini iaitu rumah.
 
PERASMIAN PENUBUHAN `THE SULTAN IDRIS TRAINING COLLEGE FOR MALAY TEACHERS’ (SITC)-Tarikh Peristiwa pada 29-11-1992

Perubahan taraf pendidikan negara sentiasa dialu-alukan. Tujuan perubahan dibuat adalah bagi memenuhi keperluan pendidikan dari semasa ke semasa. Penaikkan taraf sesebuah institusi pendidikan pula adalah bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa. Sebuah institusi pendidikan yang tertua di negara ini yang dikenal sebagai `The Sultan Idris Training College for Malay Teachers’ atau lebih popular dengan nama SITC telah dirasmikan pembukaannya pada hari ini 29 November 1922. Dari sebuah maktab perguruan yang menerima kemasukan pelajar permulaannya seramai 120 orang ketika itu, SITC telah mengalami sejarah perkembangannya yang pesat apabila pada 1 Mei 1997 ianya telah dinaikkan taraf menjadi sebuah Universiti Perguruan yang pertama di negara ini.

Upacara perasmian pembukaannya yang gilang gemilang pada tahun 1922 itu telah disempurnakan oleh Sir W. George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara. Turut hadir di majlis tersebut ialah Raja-Raja Melayu, Pembesar-pembesar Perak dan kakitangan kerajaan. Secara simboliknya pembukaan Maktab Perguruan dibuat apabila Sir George Maxwell menggunakan kunci yang diperbuat dari Perak untuk membuka pintu maktab tersebut. Pada sebelah kunci perak ini diukir pengisytiharan pembukaan SITC dan di sebelah lagi tertulis perkataan-perkataan ‘Maktab Sultan Idris Bagi Melatihi Guru Melayu’. Cadangan penubuhan Maktab tersebut bermula apabila R.O. Winstedt, Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu mengumumkan cadangannya di `Conference of Residents’ pada 10 Mei 1917 - antara lain cadangan ini adalah untuk memusatkan maktab-maktab perguruan Melayu.

Cadangan tersebut mendapat sokongan dan persetujuan penuh Sultan Perak, Sultan Abd. Jalil, baginda juga mencadangkan sebuah kawasan seluas 63 ekar di Tanjung Malim untuk didirikan sebuah Maktab Perguruan Melayu. Peruntukan kewangan sebanyak RM 49,000.00 telah dicadangkan untuk tujuan pembinaan bangunan maktab. Kontrak untuk pembinaan telah dimulakan pada bulan Ogos 1919. Bangunan Maktab telah dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air bagi kemudahan penuntut-penuntut ketika itu. Bangunan Maktab yang dibina berupaya menumpang 300 penuntut pada satu masa. Antara mata pelajaran yang diajar sepanjang 3 tahun kursus di SITC ketika itu ialah: Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Perdagangan dan Ilmu Alam, Tawarikh dan Hikayat, Ilmu Kira-kira, Kesihatan, Sains Pertanian dan Perkebunan, Kelas Lukisan, Muzik, Anyaman dan Kerja Tangan, serta kaedah mengajar secara teori dan praktikal.

Tenaga pengajar yang bertugas ketika itu terdiri dari 3 orang guru bangsa Eropah, 7 orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina. Pengetua pertamanya ialah O.T. Dussek iaitu seorang yang banyak berjasa dalam memajukan SITC terutama diawal-awal penubuhannya. Beliau berkhidmat dari tahun 1922-1936. Sehingga hari ini SITC telah melalui satu perjalanan sejarah yang panjang. Dari sebuah Maktab Perguruan Melayu dengan nama SITC telah ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris atau MPSI pada 1957 dan kemudian pada 1987 telah dinaikkan taraf sebagai Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) dan pada 1 Mei 1997 tarafnya telah dinaikkan pula kepada Universiti Perguruan Sultan Idris. Penaikkan taraf ini bersesuaian dengan peningkatan dalam sistem pendidikan negara serta sesuai dengan keunggulan institusi pendidikan tertua di negara ini. Sewajarnya ianya dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti dengan mengekalkan ciri-ciri utamanya yang menyediakan golongan intelek Melayu di negara kita.
 
RANG UNDANG-UNDANG BARU MENGENAI PERIKANAN-Tarikh Peristiwa pada 29-11-1962

Kerajaan sentiasa menitik beratkan masalah kebajikan dan keselamatan para nelayan yang menjalankan perusahaan perikanan di negara ini. Salah satu usaha kerajaan untuk menjamin perusahaan menangkap ikan di negara ini ialah dengan mengadakan undang-undang baru perikanan. Pada hari ini 29.11.1962 Dewan Rakyat telah meluluskan sebuah rang undang-undang baharu mengenai perikanan di Malaya. Undang-undang perikanan itu memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengawal cara-cara menangkap ikan di laut perairan Malaya dan di muara-muara sungai.

Undang-undang itu juga antara lain menentukan hukuman ke atas seseorang yang dengan sengaja merosakkan belat atau jala atau alat-alat menangkap ikan atau seseorang yang menggunakan racun atau ubat bedil waktu menangkap ikan tanpa izin. Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang tersebut boleh didenda tidak kurang dari RM1000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. Sebarang kapal atau perahu atau motobot ataupun perahu yang digunakan untuk melakukan satu-satu kesalahan disisi undang-undang boleh dirampas oleh Pengarah Perikanan.

Yang Di Pertuan Agong boleh melantik seorang Pengarah Perikanan dan Timbalannya untuk menjalankan aturan undang-undang dan mengawasi semua hal-hal perikanan di seluruh persekutuan. Kerajaan Negeri diberikuasa untuk melantik pegawai perikanan dalam negeri untuk mengawal cara-cara menangkap ikan di sungai-sungai. Menurut Menteri Pertanian dan Kerjasama Encik Khir Johari, sebuah suruhanjaya penyiasat telah ditubuhkan untuk meneliti masalah belat pok dan perlunya diadakan kawalan ke atas penggunaan belat pok demi untuk mengelakkan pertelagahan yang sering berlaku di antara pihak yang menggunakan belat pok dan kaum nelayan.

Sesungguhnya dengan adanya sebuah rang undang-undang baru perikanan diharap akan dapat menjamin masalah kebajikan dan keselamatan para nelayan yang menjalankan perusahaan perikanan di negara ini. Di samping itu para nelayan diharap akan dapat meningkatkan lagi pendapatan mereka ke tahap yang lebih baik.
 
Back
Top
Log in Register