BTC USD 84,168.0 Gold USD 4,266.82
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-26/12

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
UNDANG-UNDANG PERAIRAN DAERAH KRIAN DIKUATKUASAKAN-Tarikh Peristiwa pada 26-12-1905

Pada hari ini dalam tahun 1905, Undang-undang Pengairan Krian telah dikuatkuasakan. Ia juga dikenali dengan nama Enakmen Pengairan Krian 1905. Enakmen ini mempunyai beberapa peraturan, larangan dan hukuman yang berkaitan dengan pengairan di Krian. Undang-undang tersebut dilaksanakan untuk memudahkan pentadbiran dan pembangunan yang dijalankan selain menjaga keadilan kepada masyarakat awam. Enakmen ini meliputi Daerah Krian sahaja di mana ia memperuntukan perkara-perkara berkaitan kuasa dan tanggungjawab Residen dengan persetujuan Residen Jeneral. Pengumuman dalam Warta Kerajaan digunakan untuk mengenal pasti tanah-tanah dalam pengairan tersebut sama ada diusahakan atau tidak. Sekiranya diusahakan, kadar air tahunan akan dikenakan. Jika tidak, sebarang perusahaan, penanaman dan lain-lain tujuan tidak akan dibenarkan. Aktiviti tanpa persetujuan pegawai, boleh dikenakan tindakan iaitu penjara 6 bulan atau denda seratus ringgit atau kedua-duanya sekali. Berikutan penguatkuasaan enakmen in, ia dapat mengawal dan menjaga sistem pengairan secara lebih sempurna. Secara tidak langsung, aktiviti pertanian dapat dijalankan dengan lebih teratur dan hasil keluaran dapat ditingkatkan.
 
YM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ DISAHKAN PERLANTIKAN SEBAGAI SETIAUSAHA AGONG SEKRETARIAT ISLAM YANG PERTAMA-Tarikh Peristiwa pada 26-12-1970

Pada hari ini 26.12.1970, YM Tunku Abdul Rahman bekas Perdana Menteri Malaysia telah disahkan perlantikan sebagai Setiausaha Agung pertama bagi Sekretariat Islam. Pengesahan perlantikan tersebut telah dibuat dalam Persidangan Menteri-menteri Luar Negara-negara Islam di Karachi, Pakistan. Persidangan tersebut yang berlangsung selama tiga hari telah dibuka oleh Presiden Jeneral Asha Mohammed Yahya Khan. Sebanyak 23 buah negara Islam menghadiri persidangan ini yang akan membincangkan perkara-perkara yang telah disusun dalam sidang di Jeddah pada bulan Mac yang lalu. Menurut peraturan-peraturan yang dibuat, Setiausaha Agung yang dilantik akan berkhidmat dalam tempoh dua tahun dan boleh dilantik semula sekali sahaja. Setiausaha Agung juga akan mempunyai kedudukan sebagai kakitangan awam antarabangsa di kalangan negara-negara anggota. Setiausaha Agung yang dilantik mestilah tidak membiarkan dirinya dipengaruhi oleh sebarang tekanan politik dari negara-negara anggota. Beliau juga mestilah bersikap bebas dalam membuat keputusan-keputusan mengenai masalah-masalah pentadbiran dan kewangan Sekretariat. Persidangan Menteri-menteri Luar Negara-negara Islam yang berlangsung ini akan membincangkan beberapa agenda penting yang bertujuan untuk meninggikan kedudukan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan Islam. Sidang ini juga diharap dapat menyelaraskan kegiatan-kegiatan dan keperluan-keperluan negara-negara Islam sesuai dengan perkembangan dunia. Di antara perkara-perkara yang termasuk dalam agenda ialah krisis Timur Tengah, rumusan damai Rogers, cadangan Pakistan supaya ditubuhkan Bank Perdagangan dan Pembangunan Islam dan cadangan Malaysia supaya ditubuhkan sebuah agensi berita bersama di kalangan negara-negara anggota. YM Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya menyatakan bahawa banyak perkara yang dapat dicapai oleh negara-negara Islam sekiranya negara-negara Islam dapat bersatu serta jujur dalam menyelesaikan masalah-masalah secara kolektif. Perlantikan YM Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Setiausaha Agung yang pertama bagi Sekretariat Islam pada hari ini dalam tahun 1970 sesungguhnya memberi penghormatan yang tinggi kepada Malaysia walaupun negara ini sebuah negara Islam yang kecil.
 
KONVENSYEN PEMBANGUNAN NEGERI KEDAH (KPNK)-Tarikh Peristiwa pada 26-12-1983

Melalui seminar, konvensyen dan sebagainya akan dapat menghasil idea-idea dan keputusan yang bernas dan berkesan untuk kepentingan sesebuah organisasi. Pada hari ini 26.12.1983, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan Konvensyen Pembangunan Negeri Kedah, bertempat di Dewan Seminar Bangunan Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Seminar itu telah diadakan selama 4 hari dan dianjurkan bersama oleh Persatuan Kebajikan Mahasiswa Kedah, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah. Konvensyen tersebut telah dihadiri oleh 400 peserta dari UKM, UPM, UM, UTM, USM, Ketua-ketua Jabatan Negeri, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta wakil-wakil agensi Kerajaan dan swasta. Pelbagai program telah diadakan dalam konvensyen itu, diantaranya ialah pembentangan 7 kertas kerja, diskusi dan bengkel, lawatan dan taklimat projek pembangunan, ucapan khas pembangunan, dialog umum pembangunan dan lain-lain.

Di antara tujuan utama konvensyen di adakan ialah:

Untuk memaparkan kepada masyarakat Negeri Kedah dan Kerajaan negeri tentang permasalahan yang dihadapi oleh negeri Kedah.

Mencari penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan yang dihadapi dalam usaha membangunkan negeri dan masyarakat.

Menyatakan keadaan sebenar yang wujud di negeri Kedah di samping memberi penjelasan dan penerangan kepada masyarakat kampus universiti-universiti tempatan, badan-badan kerajaan, separuh kerajaan dan swasta.

Memberi kesempatan dan pengetahuan kepada para peserta dalam menganalisa sesuatu fenomina yang berhubung dengan pembangunan negeri keseluruhannya, serta membuat resolusi, cadangan dan pandangan penyelesaiannya kepada Negeri Kedah.

Mempereratkan hubungan kerjasama mahasiswa antara universiti-universiti tempatan dengan kerajaan negeri.

Sesungguhnya dengan adanya konvensyen itu diharap akan memberi kesedaran dan keinsafan kepada para peserta terhadap masalah yang sebenar dihadapi oleh Kerajaan Negeri Kedah dalam usaha-usaha pembangunannya. Di samping itu juga konvensyen itu diharap akan melahirkan pelbagai integrasi tenaga dan fikiran ke arah meningkatkan lagi keberkesanan pembangunan negeri Kedah.
 
26.12.2004 Tsunami melanda di Aceh dan beberapa negara lain termasuk Malaysia.
 
Back
Top
Log in Register