BTC USD 84,397.0 Gold USD 4,278.58
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 19/09

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERJANJIAN PERTAHANAN BERSAMA TANAH MELAYU – BRITAIN-Tarikh Peristiwa pada 19-09-1957

Pada hari ini dalam tahun 1957, Kertas putih yang mengandungi Perjanjian Pertahanan antara Britain dengan Kerajaan Persekutuan telah diterbitkan serentak. Kandungan perjanjian yang mengandungi 12 fasal ini telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Undangan setelah dibahaskan selama dua hari. Perjanjian ini telah menggariskan bantuan-bantuan yang akan diberikan oleh pihak kerajaan Britain kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Antara kandungannya ialah Britain bersetuju untuk memberi bantuan yang dikehendaki bagi pertahanan luarnya dan membantu serta berusaha untuk memajukan anggota pasukan bersenjata Persekutuan. Berikutan daripada itu juga pihak kerajaan Persekutuan pula, bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kerajaan Britain untuk menempatkan tentera darat, laut dan udaranya termasuk tentera khas Komanwel ke negara ini. Dato’ Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Persekutuan dalam kenyatannya telah menyatakan bahawa perjanjian tersebut adalah mustahak bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial negara.
 
Last edited:
DEDAK HASILKAN ASID FITIK UNTUK PERCETAKAN OFF SET (PENEMUAN BARU OLEH UKM)-Tarikh Peristiwa pada 19-09-1990


Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa negara ini mempunyai ramai saintis yang berkebolehan mencipta pelbagai penemuan baru setanding dengan saintis-saintis negara luar. Pada hari ini 19.9.1990 Dr. Mohamad Ghazali bin Harun iaitu seorang Pensyarah Jabatan Kimia, Fakulti Sains Fizik dan Gunaan Universiti Kebangsaan Malaysia telah memberitahu kepada pihak BERNAMA bahawa dedak yang menjadi makanan utama haiwan boleh menghasilkan sejenis asid fitik yang menghasilkan bahan kimia berguna dalam industri percetakan `Off Set’. Penemuan baru itu merupakan hasil kajian makmal selama empat tahun oleh Dr. Mohamad Ghazali dan dibantu oleh 2 orang penyelidik En. Mohamad Khalid bin Sabran dan En. Mohamad Isa bin Khamis. Menurut beliau, Asid Fitik boleh menghasilkan pelbagai hasil seperti larutan fountain, plat gam dan larutan etching bagi membantu perkembangan industri percetakan off set. Selain dalam kandungan dedak padi, asid fitik juga boleh diproses daripada bijirin seperti hampas isirong kelapa sawit, gandum dan kacang soya. Asid fitik ialah suatu sebatian semula jadi yang didapati dalam kebanyakan bijirin dan mempunyai kandungan asid fitik antara satu dan 5 peratus. Setiap satu kilogram dedak yang berharga 30 sen, boleh menghasilkan antara 40gm dan 50gm asid fitik dan secara teorinya pemerosesan dedak sepanjang tahun mampu untuk menghasilkan pulangan pendapatan RM 15,000 juta. Asid fitik juga boleh digunakan sebagai agen anti-perkaratan, pembuatan kosmetik, proses pemendapan air dan tujuan perubatan. Menurut Dr. Mohamad Ghazali lagi, setakat ini percubaan bagi menggunakan asid fitik telah dijalankan dibeberapa buah syarikat yang terbabit dalam percetakan dan ia didapati telah berjaya. Sesungguhnya penemuan baru asid fitik dalam dedak itu diharap akan dapat membantu mengurangkan kadar kos dalam industri percetakan negara.
 
PEMBUKAAN PUSAT LATIHAN PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN-Tarikh Peristiwa pada 19-09-1963


Untuk menjamin perkhidmatan awam yang cekap, effisyen dan dihormati sepanjang masa, latihan semasa dalam perkhidmatan sentiasa diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan. Bagi memenuhi keperluan latihan kepada pegawai dan kakitangan awam, pada hari ini 19 September 1963 sebuah Pusat Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kewangan New Zealand, En. David C. Seath. Pusat Latihan ini telah ditubuhkan di bawah program Bantuan Teknik New Zealand/Rancangan Colombo bagi menggantikan sebuah pusat latihan yang ditubuhkan di Port Dickson pada tahun 1959. Turut hadir dalam upacara ini ialah Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Pusat Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan ini pula telah digantikan dengan INTAN, iaitu Institut Tadbiran Awam Negara pada bulan September 1972. Penubuhan INTAN merupakan hasil dari satu perakuan penting yang dibuat oleh Bahagian Kemajuan Pentadbiran, Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Latihan Pegawai-Pegawai Kerajaan dalam satu laporan bertajuk "Latihan Untuk Pembangunan di Malaysia Barat" dalam tahun 1969. Perakuan tersebut yang mengesyorkan penubuhan sebuah Pusat Latihan Pengurusan yang utama untuk melatih pegawai-pegawal kerajaan telah diterima oleh kerajaan dan justeru itu INTAN telah ditubuhkan untuk menggantikan Pusat Latlhan Pegawai-pegawai Kerajaan.

Sesungguhnya INTAN telah ditubuhkan hanya pada bulan September 1972, tetapi konsep latihannya bukanlah merupakan konsep baru dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia. Latihan umum telah diberi perhatian semenjak di zaman penjajah lagi di mana bakal-bakal pegawai, terutamanya pegawai-pegawai di peringkat daerah telahpun diberi latihan dalam bentuk pre-entry training di Maktab Melayu Kuala Kangsar dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an. Pegawai-pegawai yang belum memasuki perkhidmatan MCS (Malay Civil Service) atau yang difikirkan sesuai untuk memasuki perkhidmatan tersebut telah menjalankan latihan dalam bentuk attachment ataupun under-study terutamanya di Colonial Office, United Kingdom.

Selepas merdeka latihan dalam bentuk attachment atau under-study ini telah diperhebatkan lagi, terutamanya apabila proses Malayanization diberi keutamaan. Pada tahun 1959 sebuah pusat latihan pertama telahpun ditubuhkan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Kursus yang diberikan tidaklah menyeluruh dalam bentuk pengurusan pembangunan tetapi hanya meliputi kursus-kursus seperti pentadbiran tanah, pentadbiran kewangan dan kerajaan tempatan. Keperluan latihan untuk Pegawai-Pegawai Pentadbiran Melayu terus diberi tekanan dari masa ke semasa sehinggalah tertubuhnya Pusat Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan pada hari ini dalam tahun 1963. Kursus yang ditawarkan oleh Pusat Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan ini tidak banyak berbeza dengan kursus yang telah diadakan di Pusat Latihan di Port Dickson dahulu.

Salah satu persoalan yang dihadapi oleh Pusat Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan ini ialah bagaimana untuk berdamping rapat dengan pelanggan (client) serta alam sekelilingnya. Ini adalah disebabkan peranannya yang sederhana dan terhad yang hanya menumpukan perhatian kepada latihan pengurusan di dalam bilik kuliah sahaja. Dengan tertubuhnya Unit Pembangunan Pentadbiran di Jabatan Perdana Menteri tidak lama selepas itu, satu kajian yang meluas telahpun dijalankan. Hasil daripada kajian ini satu laporan telah dikeluarkan yang antara lain telah mengesyorkan penubuhan sebuah institut yang benar-benar berorientasikan pembangunan untuk memberi latihan pengurusan kepada pegawai-pegawai di semua peringkat dalam pentadbiran agensi kerajaan. Tugas inilah yang dimainkan oleh INTAN sekarang.
 
Last edited:
SIDANG PAKAR ASEAN MENGENAI BERAS-Tarikh Peristiwa pada 19-09-1973

Pada hari ini 19.9.1973, pakar-pakar dari negara-negara ASEAN telah mengadakan satu persidangan bagi mengkaji kedudukan beras di rantau ini.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap ASEAN Mengenai Makanan Dan Pertanian, En. Abdullah Salleh. Beras merupakan makanan utama di rantau ASEAN dan mempunyai kedudukan penting dalam ekonomi kebangsaan di negara-negara tersebut, di samping penglibatan sebilangan rakyat ASEAN dalam urusan pengeluarannya. Memandangkan masalah kekurangan beras yang dihadapi pada waktu itu, langkah-langkah segera untuk mengatasinya mestilah dilaksanakan. Ini adalah kerana kenaikan harga bahan tersebut akan mengakibatkan kesusahan yang tidak terhingga di kalangan pengguna dan pastinya negara-negara ASEAN turut menderita. Persidangan selama tiga hari ini dihadiri kelima-kelima negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Malaysia. Sesungguhnya persidangan ini akan menggalakkan pertukaran maklumat mengenai hasil-hasil penyelidikan di samping merapatkan lagi hubungan di kalangan berbagai pertubuhan penyelidikan di rantau ini.
 
ades...subjek sejarah aku dapat 7 jer SPM :">:">
 
Back
Top
Log in Register