BTC USD 83,389.5 Gold USD 4,281.25
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-17/12

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
YAYASAN WARISAN NEGERI JOHOR -Tarikh Peristiwa pada 17-12-1988

Pada hari ini dalam tahun 1988, Yayasan Negeri Johor telah ditubuhkan di bawah Enakmen No.7/1988. Objektif penubuhan Yayasan Warisan adalah untuk memelihara warisan budaya dan sejarah negeri. Yayasan tersebut bertanggungjawab untuk menggiatkan kecenderungan awam dan sokongan dalam pemeliharaan dan penyebaran pengetahuan warisan budaya dan sejarah negeri Johor. Ia juga berperanan sebagai pusat pemeliharaan monumen-monumen dan pameran yang berbentuk sejarah, tradisi, kaji purba, senilukis, senibina atau kesenian. Selain daripada itu, Yayasan tersebut juga bertanggungjawab di dalam menguruskan dan menyelenggarakan kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah Enakmen No. 7/1988. Yayasan tersebut ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa yang terdiri daripada seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Bendahari, Setiausaha, Ketua Pengarah Muzium Negara atau Wakilnya, Pengarah Balai Seni Lukis Negara atau wakilnya dan dua belas orang yang dilantik oleh pihak berkuasa negeri. Sesungguhnya, penubuhan Yayasan Negeri Johor merupakan salah satu cara untuk mempertahankan dan mengembangkan warisan kesenian dan kebudayaan Negeri Johor.
 
MELETUSNYA PERITIWA SEMANTAN-Tarikh Peristiwa pada 17-12-1891

Pada hari ini dalam tahun 1891, telah meletus insiden Semantan yang membabitkan Dato’ Bahaman dan Inggeris. Insiden tersebut merupakan kemuncak kepada rasa ketidakpuasan hati Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terhadap campur tangan serta tindak tanduk Inggeris di Pahang. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Tengku Mahmud dilantik sebagai Tengku Besar. Pihak Inggeris pula berusaha mengusulkan kepada Sultan supaya memecat Dato’ Bahaman dan menidakkan kedudukannya sebagai Orang Besar Delapan. Dengan pemecatan itu, Dato’ Bahaman telah hilang kuasa memungut cukai tradisi di daerahnya. Namun begitu, beliau tetap meneruskan amalan tersebut. Ekoran dari tindakannya itu, Dato’ Bahaman telah diarah menghadap ke Pekan namun pendakwaan ke atasnya dibatalkan. Pihak Inggeris yang tidak putus asa untuk menyekat tindakan Dato’ Bahaman melakukan tangkapan terhadap tiga orang pengikut beliau. Penangkapan tersebut dilakukan ketika pegawai-pegawai Inggeris sedang memudiki Sungai Semantan. Penangkapan tersebut telah mencetuskan serangan balas oleh Dato’ Bahaman bersama pengikut-pengikutnya lalu terjadilah peristiwa Semantan pada hari ini dalam tahun 1891.
 
MALAYSIA - ARAB SAUDI TANDATANGANI KERJASAMA BIDANG PENERANGAN-Tarikh Peristiwa pada 17-12-1982

Hubungan persahabatan di antara pelbagai negara akan mendatangkan hasil yang lebih baik jika kedua-dua pihak kerajaan dapat memberikan komitmen dan penyertaan yang menyeluruh. Pada 17 Disember 1982 satu perjanjian kerjasama bidang penerangan di antara kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi telah diadakan. Malaysia diwakili oleh Pemangku Menteri Penerangan Datuk Rais Yatim dan Arab Saudi diwakili oleh Menteri Penerangan iaitu Sheikh Dr. Mohamad Abdul Yamani. Melalui perjanjian ini kerjasama kedua-dua negara dalam bidang penerangan iaitu meliputi petukaran rancangan-rancangan radio dan televisyen, filem serta buku mengenai pembangunan negara masing-masing. Serentak dengan ini juga kedua-dua negara bersetuju mengadakan rancangan pertukaran kakitangan radio dan televisyen serta wartawan.

Melalui kerjasama di bidang penerangan ini diharap rakyat kedua-dua negara akan dapat mengenal dengan lebih mendalam di antara satu sama lain. Bagi menyelaras pelaksanaan projek ini, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan bagi pihak Malaysia dan Timbalan Menteri Penerangan Arab Saudi dan pegawai-pegawai tinggi kementerian penerangan masing-masing. Persetujuan yang dicapai pada hari ini merupakan langkah untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
 
PERJANJIAN MENUBUHKAN TABUNG ASEAN DITANDATANGANI-Tarikh Peristiwa pada 17-12-1969

Pada hari ini 17.12.1969, Malaysia bersama-sama Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura dalam gabungan negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN menandatangani perjanjian menubuhkan sebuah Tabung Amanah ASEAN. Perjanjian ini ditandatangani oleh kelima-kelima Menteri Luar ASEAN di akhir persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN di Cameran Highlands. Dalam upacara ini Malaysia diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Tun Abdul Razak Hussein manakala Adam Malik mewakili Indonesia, Tun Thanat Khoman mewakili Thailand, Carlos Romulo mewakili Filipina dan S. Rajaratnam mewakili Singapura. Tabung ASEAN ini diwujudkan dengan tujuan digunakan untuk melaksanakan projek-projek yang ditentukan oleh Menteri-menteri Luar ASEAN. Mana-mana negara anggota yang ingin melaksanakan sesuatu projek melalui tabung ini hendaklah mengemukakannya melalui Sekretariat Ketua-ketua Negara ASEAN dan kemudian dimajukan kepada Jawatankuasa Tetap untuk pertimbangan. Di antara syarat-syarat penting yang terkandung di dalam perjanjian ini ialah negara-negara anggota hendaklah menubuhkan tabung amanah masing-masing.

Malalui tabung amanah masing-masing inilah sumbangan disalurkan untuk tabung amanah ASEAN ini. Setiap negara anggota juga hendaklah membuat sumbangan sebanyak US.$1 juta. Ianya hendaklah dibayar tidak lebih 3 kali ansuran tahunan. Sumbangan mengikut nilai matawang masing-masing hendaklah sama nilainya dengan matawang Amerika Syarikat. Sesungguhnya persetujuan yang telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1969 bertepatan sekali dengan matlamat penubuhan ASEAN untuk menggembelingkan tenaga setiap negara anggota memajukan sektor ekonomi di samping menggalakkan kerjasama ekonomi bersama anggota. Lebih daripada itu penandatanganan perjanjian itu memperlihatkan peri pentingnya penubuhan sebuah tabung untuk membiayai projek-projek yang dipersetujui oleh Menteri-menteri Luar ASEAN.
 
Back
Top
Log in Register