BTC USD 83,887.8 Gold USD 4,279.22
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-15/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PENGIKTIRAFAN KELULUSAN KOLEJ ISLAM -Tarikh Peristiwa pada 15-10-1960

Pada hari ini dalam tahun 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pengiktirafan Sijil kelulusan Kolej Islam, Kelang. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran En. Abdul Rahman bin Hj. Talib di Majlis Penyampaian Sijil di Kolej tersebut. Kolej Islam yang dibuka pada tahun 1955 dengan 50 orang penuntut telah dikelolakan oleh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Kolej Islam. Kolej ini telah mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan beberapa buah negara Islam. Penuntut-penuntut yang belajar di kolej ini terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah Arab daripada seluruh negara. Kursus yang dijalankan disusun dalam dua peringkat pengajian. Peringkat pertama mengandungi kursus tiga tahun dan pelajar yang lulus akan mendapat Sijil Rendah.

Peringkat kedua pula, tempoh pengajian adalah selama dua tahun. Setelah tamat, pelajar yang berjaya dianugerahkan Sijil Tertinggi dan Diploma. Kolej ini bertanggungjawab untuk menyediakan bakal-bakal guru agama Islam dan guru bahasa Arab yang secukupnya serta cekap untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah. Sesungguhnya, pengiktirafan terhadap kelulusan Kolej Islam penting dalam menyakinkan orang ramai akan kemampuan kolej ini menjadi institusi pelajaran tinggi Islam di negara ini.
 
LAWATAN DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE MELAKA-Tarikh Peristiwa pada 15-10-1957

Pada hari ini dalam tahun 1957, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Kursiah telah berkenan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Melaka. Ia merupakan lawatan rasmi yang pertama ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong keluar dari ibu kota Persekutuan semenjak hari merdeka. Ketibaan baginda berdua telah diberi sambutan penuh adat istiadat di Padang Tambun Selatan. Rombongan sambutan ketibaan baginda telah diketuai oleh Gabenor Negeri Melaka, Tun Leong Yew Koh.

Antara yang turut serta dalam rombongan tersebut ialah Ketua Menteri Melaka, Dato’ Osman bin Taib; Menteri bagi Perkara Dalam Negeri dan Keadilan, Encik Sulaiman bin Dato’ Abdul Rahman; dan Dato Naning, Dato’ Mohamed Shah bin Mohamed Said. Antara acara yang berlangsung ketika lawatan tersebut ialah istiadat mengadap Seri Paduka Baginda yang telah diadakan di Balai Rong Seri, Maktab Perguruan Melayu Melaka, Pada majlis tersebut Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Melaka, Encik Mohamad Sudin bin Abdul Rahman telah menyampaikan ucapan taat setia. Ketika bertitah pada majlis tersebut baginda telah menyeru rakyat Persekutuan Tanah Melayu baik apa bangsa dan agama supaya memelihara keamanan, persefahaman dan kemakmuran setelah negara mencapai kemerdekaan.
 
MARDI HASILKAN BETIK BARU-Tarikh Peristiwa pada 15-10-1991

Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah membawa manfaat yang besar di sektor pertanian, penyelidikan yang dilakukan oleh badan-badan yang bertanggungjawab seperti MARDI telah berjaya menghasilkan penemuan -penemuan baru. Pada hari ini 15.10.1991, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mengumumkan kejayaan penyelidikan menghasilkan betik Estotika II. Kajian ke atas penghasilan betik Estotika ini telah dijalankan sejak 7 tahun yang lalu. Biji benih Estotika II ini diperolehi melalui teknik yang dipanggil teknologi pembiakan secara tisu didik. Betik Estotika II ini, merupakan kejayaan kedua pihak MARDI yang telah menghasilkan betik Estotika I pada tahun 1987.

Sehektar tanah yang ditanam dengan betik Estotika II ini, akan menghasilkan 75 tan buah betik berbanding jenis Estotika yang pertama sebanyak 60 tan betik sahaja. Penemuan-penemuan baru dalam penyelidikan memainkan peranan yang penting dalam kemajuan sektor pertanian. Selain daripada produktiviti yang bertambah hasil kepada golongan petani juga akan bertambah ekoran keluaran yang lebih banyak dan daya tahan penyakit.
 
PERSETUJUAN MENGGUNAKAN SISTEM PENDAFTARAN PENDUDUK YANG SAMA SELURUH PERSEKUTUAN TANAH MELAYU-Tarikh Peristiwa pada 15-10-1948


Pada hari ini 15.10.1948, satu persetujuan telah dicapai di antara negeri-negeri dalam persekutuan untuk menggunakan sistem pendaftaran penduduk yang sama bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Sistem pendaftaran ini pada mulanya diperkenalkan akibat daripada tercetusnya kekacauan yang ditimbulkan oleh pengganas-pengganas komunis pada pertengahan tahun 1948. Ianya mula diperkenalkan oleh pihak Pengawas Imigeresen untuk menghalang penyusupan masuk pengganas-pengganas dari sempadan Siam. Skim pendaftaran ini dan juga Peraturan Darurat 1948 telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 22 Julai 1948 dalam mesyuaratnya.

Mesyuarat Majlis Perundangan itu juga memutuskan supaya pendaftaran penduduk dijalankan bagi seluruh Persekutuan. Perkara ini perlu untuk mengawal penempatan-penempatan di kawasan sempadan yang sering menjadi tempat penyusupan pengganas-pengganas dan juga kawasan pantai yang menjadi tempat pendaratan pendatang-pendatang haram. Untuk itu pihak Pesuruhjaya Residen Pulau Pinang telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dan memperkenalkan sistem pendaftaran yang seragam ini. Pada 15 Oktober 1948 dalam satu mesyuarat Perwakilan Negeri-negeri telah diadakan dan sistem pendaftaran yang disediakan oleh Pulau Pinang itu telah diterangkan kepada semua perwakilan dari setiap negeri itu.

Kesemua negeri-negeri dalam Persekutuan itu kemudiannya bersetuju untuk memeperkenalkan satu sistem pendaftaran yang sama bagi negeri masing-masing. Dengan persetujuan ini pada hari ini dalam tahun 1948, maka negeri-negeri dalam persekutuan mula memperkenalkannya peringkat demi peringkat dan telah dapat membanteras masalah penyusupan pengganas-pengganas komunis di sempadan dan mengawal kemasukan pendatang haram ke dalam Wilayah Persekutuan Tanah Melayu.
 
PENGIKTIRAFAN KELULUSAN KOLEJ ISLAM -Tarikh Peristiwa pada 15-10-1960

Pada hari ini dalam tahun 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pengiktirafan Sijil kelulusan Kolej Islam, Kelang. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran En. Abdul Rahman bin Hj. Talib di Majlis Penyampaian Sijil di Kolej tersebut. Kolej Islam yang dibuka pada tahun 1955 dengan 50 orang penuntut telah dikelolakan oleh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Kolej Islam. Kolej ini telah mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan beberapa buah negara Islam. Penuntut-penuntut yang belajar di kolej ini terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah Arab daripada seluruh negara. Kursus yang dijalankan disusun dalam dua peringkat pengajian. Peringkat pertama mengandungi kursus tiga tahun dan pelajar yang lulus akan mendapat Sijil Rendah.

Peringkat kedua pula, tempoh pengajian adalah selama dua tahun. Setelah tamat, pelajar yang berjaya dianugerahkan Sijil Tertinggi dan Diploma. Kolej ini bertanggungjawab untuk menyediakan bakal-bakal guru agama Islam dan guru bahasa Arab yang secukupnya serta cekap untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah. Sesungguhnya, pengiktirafan terhadap kelulusan Kolej Islam penting dalam menyakinkan orang ramai akan kemampuan kolej ini menjadi institusi pelajaran tinggi Islam di negara ini.

peh..nostalgia tol...
 
Back
Top
Log in Register