BTC USD 84,213.3 Gold USD 4,260.13
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 13/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
SATELIT PERTAMA MALAYSIA-Tarikh Peristiwa pada 13-11-1991

Pada hari ini dalam tahun 1991, satu memorandum perjanjian telah ditandatangani bagi membina dan melancarkan satelit pertama Malaysia di Hotel Pelangi Resort, Langkawi. Satelit tersebut dinamakan Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT). Ia ditandatangani di antara pembeli satelit perhubungan itu, Binariang Sdn. Bhd. dan pembuatnya, Hughes Communication International Inc. dan Arianspace dan merupakan syarikat Perancis yang melancarkan satelit tersebut ke angkasa daripada Korou di Guyana.

Upacara tersebut telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Dato’ Sri S. Samy Vellu. Perjanjian tersebut diadakan sempena Pameran Udara dan Laut Antarabangsa Langkawi (LIMA ’91). Projek pembinaan satelit tersebut telah menelan belanja sebanyak $300 juta. Sesungguhnya, pelancaran satelit yang pertama di Malaysia telah membuka satu lembaran baru dalam perkembangan bidang penyiaran di samping membuka ruang serta meningkatkan lagi perhubungan perniagaan antara Malaysia dengan negara-negara Asia Tenggara.
 
KUMPULAN PELAJAR PERTAMA MENDUDUKI SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) SECARA SISTEM PENSIJILAN TERBUKA -Tarikh Peristiwa pada 13-11-2000

Pada hari ini dalam tahun 2000, seramai 395,612 orang calon mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang pertama kali diadakan menerusi Sistem Pensijilan Terbuka di 2,663 pusat di seluruh negara. Menerusi Sistem Pensijilan Terbuka ini pelajar boleh mengambil minimum enam subjek yang terdiri daripada mata pelajaran teras atau maksimum 25 subjek termasuk subjek elektif daripada 15 pakej pengkhususan yang sudah ditetapkan.

Mata pelajaran yang dikatogerikan sebagai mata pelajaran teras ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral. Sijil Pensijilan Terbuka yang mula diperkenalkan pada tahun 2000 ini menawarkan mata pelajaran vokasional, teknikal dan teknologi kepada pelajar-pelajar sebagai mata pelajaran pilihan. Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia secara Pensijilan Terbuka ini, 343,455 orang calon (86.8 peratus) merupakan calon sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan, 16,255 orang calon (4.2 peratus) ialah calon sekolah kerajaan negeri atau badan tertentu, manakala 14,247 orang calon (3.6 peratus) merupakan calon swasta dan 21,385 orang calon lagi (5.4 %) adalah calon persendirian. Sesungguhnya pelaksanaan Sistem Pensijilan Terbuka ini merupakan antara usaha yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dalam memastikan sistem pendidikan negara memenuhi keperluan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
 
PEMBUKAAN RASMI MAKTAB KERJASAMA MALAYA-Tarikh Peristiwa pada 13-11-1956

Pada hari ini dalam tahun 1956, Maktab Kerjasama Malaya telah dibuka dengan rasminya oleh Penasihat Koperasi kepada Setiausaha Negara Inggeris, Mr. B.J Surridge. Tujuan utama penubuhan Maktab ini ialah untuk memberi pendidikan dan latihan pengurusan koperasi kepada ahli-ahli dan pengusaha syarikat kerjasama di Tanah Melayu. Maktab ini telah ditubuhkan dengan pembiayaan daripada Tabung Kebajikan dan Pembangunan Jabatan Kolonian dengan Datuk Abdul Majid bin Haji Mohamad telah dilantik sebagai Pengetua Maktab yang pertama.

Maktab ini telah diperbadankan sebagai sebuah badan berkanun melalui penguatkuasaan Akta Parlimen pada tahun 1968. Melalui akta tersebut Maktab ini telah dipertanggungjawab sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan dan pendidikan koperasi bagi gerakan koperasi di negara ini. Antara fungsi Maktab ini ialah mengadakan kursus, penyelidikan dan khidmat nasihat mengenai koperasi bagi mewujudkan pentadbiran serta pengurusan koperasi yang beretika, cekap dan berkesan. Sesungguhnya, kini setelah 50 tahun kemerdekaan negara Maktab Kerjasama Malaysia terus menerajui kecemerlangan latihan serta pendidikan koperasi yang terulung dan tunggal di Malaysia.
 
PERASMIAN RUMAH PERSATUAN BEKAS PERAJURIT MALAYSIA -BAHAGIAN WILAYAH PERSEKUTUAN-Tarikh Peristiwa pada 13-11-1983

Persatuan memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan kesatuan di kalangan ahli-ahli. Selain daripada itu, berorganisasi juga tempat yang sesuai untuk bertukar-tukar pandangan dan idea serta melakukan pembaharuan yang membawa kebaikan kepada ahli-ahli. Ke arah mendapat manfaat seperti di atas, bekas-bekas ahli perajurit Malaysia telah menubuhkan Persatuan Bekas Perajurit Malaysia bagi menyatukan ahli-ahli.

Persatuan ini juga telah menubuhkan Bahagian di seluruh negara. Bagi Persatuan Bekas Perajurit Wilayah Persekutuan usaha-usaha menubuhkan Persatuan ini bermula tahun 1975 lagi, namun begitu Persatuan Bahagian Wilayah Persekutuan ini mendapat kelulusan daripada persatuan induk pada tahun 1976 bagi penubuhan Cawangan Wilayah Persekutuan. Pada peringkat awal, persatuan ini beroperasi dengan menumpang pejabat di Wisma Pahlawan. Usaha-usaha dijalankan oleh pihak persatuan untuk mendapatkan bangunan sendiri yang akan memudahkan menjalankan kegiatan.

Akhirnya di atas bantuan daripada Y.B. Datuk Haji Abdullah Badawi, Bahagian ini telah dianugerahkana sebuah rumah bertempat di 8520 Rumah Persekutuan di Jalan Bellamy Kuala Lumpur pada tahun 1982. Sebagai satu usaha memperkenalkan bangunan baru kepada ahli-ahlinya dan merapatkan perhubungan di antara ahli-ahli, satu majlis perasmian bangunan telah diadakan pada 13 November 1983, dengan dirasmikan oleh Y.B. Datuk Haji Abdullah b. Haji Ahmad Badawi. Dengan adanya bangunan baru ini persatuan ini akan menjalankan tugas-tugas dengan lebih licin dan teratur serta dapat menjalankan aktiviti di bangunan ini.
 
PERSIDANGAN MENTERI-MENTERI COLOMBO-Tarikh Peristiwa pada 13-11-1961

Kerjasama pelbagai hala, di peringkat antarabangsa akan dapat menyelesaikan masalah yang wujud di antara negara-negara anggota di samping menerima bantuan seperti teknologi dan kepakaran. Pada hari ini 13.11.1961 YTM Tunku Abdul Rahman telah merasmikan Persidangan Colombo di peringkat Menteri buat pertama kalinya di Tanah Melayu. Persidangan ini dihadiri oleh perwakilan daripada 21 buah negara, telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur. Rancangan Colombo ditubuhkan di atas usaha Negara-negara Komanwel untuk memerangi kemiskinan dan wabak penyakit serta juga memberi bantuan kewangan dan kemahiran teknik kepada negara-negara yang memerlukannya. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, yang baru mencapai kemerdekaan telah menerima manfaat dari Rancangan Colombo seperti bantuan kepakaran, di mana seramai 135 orang pakar telah dihantar ke Persekutuan Tanah Melayu dan dalam bentuk kewangan sejumlah 5 juta.
Berucap semasa perasmian persidangan YTM Tunku telah mengemukakan tiga syor kepada persidangan iaitu:-

Negara yang maju hendaklah berusaha dan menghapus sekatan-sekatan terhadap perniagaan dan perdagangan negara masing-masing serta kerjasama meneguhkan pedagangan antarabangsa.

Negara-negara yang membangun hendaklah diberi kesempatan untuk menambahkan pendapatan dan eksport mereka.

Penempatan harga dagangan terutama bahan mentah seperti getah dan timah hendaklah dikaji secara adil dan berkesan.

Persidangan yang diadakan ini telah mencapai banyak faedah kepada negara ini, antara lainnya bantuan kewangan sebanyak 540,000 daripada New Zealand untuk pembukaan tanah di Sg. Kertam, dan bantuan kewangan dan teknik daripada pihak Jepun dalam bidang pertanian dan perusahaan.
 
Back
Top
Log in Register