BTC USD 84,419.2 Gold USD 4,295.37
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 12/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
SULTAN SELANGOR MERASMIKAN TUGU NEGERI SELANGOR-Tarikh Peristiwa pada 12-11-1981

Pada hari ini dalam tahun 1981, Sultan Selangor telah merasmikan pembukaan Tugu Negeri Selangor sempena sambutan Hari Pahlawan. Tugu yang terletak di bandar baru Shah Alam dan berharga $2.6 juta itu telah mula dibina pada bulan September 1979 dan siap pada bulan Jun 1981. Ia telah direka bentuk oleh seorang arkitek bumiputera Datuk Baharuddin Abu Kassim. Tugu ini juga dibina untuk memperingati jasa pahlawan-pahlawan Selangor yang telah berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negeri dan mempunyai unsur-unsur keislaman di dalam zaman Mogul.

Tugu Negeri Selangor tidak menunjukkan patung atau apa bentuk lembaga-lembaga yang memegang senjata dan bendera. Ia hanyalah merupakan sebuah tugu yang dihiasi indah dengan pancuran air dalam sebuah taman. Ketinggian tugu tersebut adalah 120 kaki dan bahagian atasnya menghala ke pusat bandar. Di kawasan tugu itu juga, terdapat padang perbarisan untuk lintas hormat atau kawad. Keseluruhan daratan dibina setinggi tiga kaki, di tengah-tengahnya disediakan tempat memberi hormat diraja. Sesungguhnya, Tugu Negeri Selangor yang dibina berhampiran dengan Ibu Pejabat Kerajaan Selangor itu telah menjadi salah satu tempat tumpuan pelawat-pelawat ke Shah Alam.
 
PELANCARAN RASMI PERBADANAN PEMBANGUNAN BANDAR (UDA)-Tarikh Peristiwa pada 12-11-1971

Pada hari ini dalam tahun 1971, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Hussein di Bilik Gerakan Negara. Semasa berucap di upacara tersebut, beliau telah mengumumkan nama-nama pegawai yang menjadi anggota Perbadanan tersebut. Perbadanan ini dipengerusikan oleh Y.B. Datuk Yakub bin Hitam; Timbalan Pengerusi, Encik Phang Kon Hee dan anggota-anggotanya terdiri daripada Y.A.B. Datuk Haji Harun bin Idris, Y.B. Tan Sri Ismail bin Haji Mohd. Ali, Encik Hashim bin Sam Latiff, Encik Hussaini bin Abdul Jamil dan Dr K. C. Cheah. UDA ditubuhkan pada 1 September 1971 di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Bandar, Akta Parlimen No. 46 tahun 1971.

Tugas utama UDA adalah memaju dan melaksanakan projek-projek di kawasan pembangunan bandar bagi pembangunan, pembangunan semula dan penempatan semula; memaju dan melaksanakan projek-projek di kawasan pembangunan bandar dalam lapangan perdagangan dan perusahaan, perumahan dan lain-lain supaya ia dapat diagihkan secara sama rata dan adil bagi semua kaum dan mengadakan program tindakan bagi menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar. Dalam tempoh 1971-1975, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $100 juta kepada UDA dan $568.8 juta lagi dalam tempoh 1981-1985. Sesungguhnya, penubuhan UDA telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dan penyusunan semula masyarakat bandar di Malaysia.
 
PEMASYHURAN BANDAR MUADZAM SHAH-Tarikh Peristiwa pada 12-11-1977

Pembangunan Wilayah merupakan usaha-usaha Kerajaan bagi mempercepatkan pembangunan di negara ini. Di antara Organisasi Pembangunan Wilayah yang ada seperti KEJORA, KESEDAR, DARA, KETENGAH dan lain-lain lagi. Pembangunan Wilayah ini tidak sahaja berpaksi kepada perkembangan dari segi sektor ekonomi semata-mata tetapi juga kemudahan asas dan perbandaran. Bagi DARA bandar utama di kawasan ini dikenali dengan Muadzam Shah. Pada hari ini 12 November 19977, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah telah memasyhurkan bandar Muadzam Shah.

Dengan ini wujudlah secara rasmi sebuah bandar di pembangunan Wilayah DARA. Bandar Muadzam Shah akan menjadi pusat bandar yang akan memberi perkhidmatan kepada daerah-daerah pendalaman. Sebelum ini bandar ini dikenali dengan nama Bukit Redan. Bandar ini telah dirancang supaya kelihatan menarik dan dinamik dengan menggabungkan konsep tradisi desa dan kemudahan asas moden seperti kedai, gerai di sepanjang jalan, dewan masyarakat, surau, sekolah, tadika dan padang permainan. Kewujudan bandar Muadzam Shah ini, merupakan satu usaha Kerajaan mewujudkan masyarakat bumiputera di kawasan bandar, serentak dengan itu membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
 
Back
Top
Log in Register