BTC USD 84,397.0 Gold USD 4,278.58
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 11/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERASMIAN MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA-Tarikh Peristiwa pada 11-11-1994

Pada hari ini dalam tahun 1994, Y.A.B Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan Memorial Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur. Penubuhan Memorial tersebut adalah untuk mengenang dan memperingati jasa serta sumbangan bakti Almarhum Tunku sebagai “Bapa Kemerdekaan” dan juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama daripada tahun 1957 sehingga 1970. Memorial tersebut mempamerkan semua warisan berkaitan dengan Almarhum Tunku yang terdiri daripada pelbagai bahan seperti dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, baju dan perabot. Terdapat juga sudut tayangan audiovisua dan filem mengenai Almarhum Tunku. Kesemua bahan yang dipamerkan adalah berdasarkan kepada tema-tema tertentu bagi tujuan memudahkan pelawat untuk mengetahui mengenai Almarhum Tunku secara peribadi. Selain daripada itu, terdapat juga Pameran Bangunan Pejabat Lama Almarhum Tunku ketika menjadi Perdana Menteri. Memorial tersebut mengekalkan Bangunan Residensi yang didiami oleh Almarhum Tunku daripada tahun 1956 sehingga 1970. Sesungguhnya, Memorial tersebut telah menjadi tempat pameran bahan-bahan asal kepunyaan Almarhum Tunku sebagai Perdana Menteri, mengikut kedudukan asal dan juga daya tarikan kepada pihak luar.
 
PENGURNIAAN PANJI-PANJI PASUKAN POLIS DI RAJA PERSEKUTUAN TANAH MELAYU -Tarikh Peristiwa pada 11-11-1961

Pada hari ini dalam tahun 1961, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalulail telah berkenan mengurniakan ‘Panji-Panji Penghormatan Tertinggi’ kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Upacara Pengurniaan Panji-Panji ini telah berlangsung di Pusat Latihan Polis Di Raja Persekutuan, Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Dalam satu perbarisan yang telah diadakan, Seri Paduka Baginda telah menerima Tabik Hormat daripada lebih 600 orang anggota dari seluruh cawangan Jabatan Polis. Turut hadir ialah Perdana Menteri - Tunku Abdul Rahman Putra, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan - Tun Abdul Razak, Menteri Keselamatan dan Hal Ehwal Dalam Negeri - Datuk Dr. Ismail bin Datuk Abdul Rahman, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pegawai-pegawai kanan polis. Pengurniaan tersebut merupakan satu penghargaan sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota polis dalam memelihara keselamatan rakyat dan mempertahankan keamanan negara daripada ancaman komunis pada zaman darurat dari tahun 1948 sehingga 1960. Sesungguhnya, pengurniaan itu terus menjadi pendorong semangat bagi anggota yang sedang berkhidmat di dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Mereka bukan sahaja sebagai penjaga keamanan tetapi juga sebagai sahabat serta mata dan telinga kepada masyarakat.
 
MAJLIS PELANCARAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN YANG PERTAMA (1990)-Tarikh Peristiwa pada 11-11-1990

Institusi keluarga yang menekankan nilai-nilai moral, akhlak dan kasih sayang merupakan kunci utama bagi mewujudkan keluarga bahagia. Di samping itu, suasana rumah tangga adalah medan pendidikan yang paling berkesan untuk pembangunan sesebuah keluarga. Di atas kesedaran Kerajaan untuk mewujudkan Institusi Keluarga bahagia, maka pada hari ini 11 November 1990, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 1990, bertempat di Stadium Bola Sepak, Bandar Tun Razak, Cheras Kuala Lumpur. Majlis ini merupakan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang pertama kali diadakan di negara ini dan dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Kemajuan Masyarakat.

Dalam majlis ini Y.A.B. Perdana Menteri telah berbesar hati menyampaikan hadiah-hadiah kepada 5 pemenang Anugerah Keluarga Kebangsaan 1990, yang terpilih daripada 37 keluarga yang dicalonkan oleh pelbagai pertubuhan dan institusi di semua peringkat. Turut diraikan ialah enam pasangan pengantin veteren dan enam pasangan pengantin baru, termasuk 2 pasangan pengantin Orang Asli. Dalam ucapan perasmiannya Perdana Menteri mahukan rakyat Malaysia bersama-sama memastikan kemajuan negara pada masa akan datang tidak membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Kemajuan negara tidak akan bermakna jika dalam masa yang sama mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan sebagaimana yang melanda negara-negara maju di Barat. Jelasnya lagi, apa gunanya kemajuan material jika kehidupan harian begitu tidak selamat dan masyarakat muram dan diserang dengan sakit jiwa. Walaupun orang-orang di negara maju kelihatan berseronokan tetapi keseronokan mereka tidak berpunca daripada ketenangan jiwa. Keseronokan mereka dicapai melalui `escapism’ iaitu dengan melarikan diri daripada tekanan jiwa yang mereka alami. Dengan itu, masalah sosial dalam masyarakat menjadi begitu besar malah penyalahgunaan dadah secara meluas di negara-negara Barat di sebabkan keruntuhan institusi keluarga. Sesungguhnya dengan adanya pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan pada hari ini diharap akan memberi kesedaran kepada semua masyarakat negara ini tentang betapa penting dan berharganya sesebuah institusi keluarga yang bahagia dan harmoni.
 
MEMORANDUM PERSEFAHAMAN PELANCARAN SATELIT MALAYSIA DITANDATANGANI-Tarikh Peristiwa pada 11-11-1991

Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang paling berjaya dalam kemajuan komunikasi di rantau ini. Di antara hasil pembangunan telekomunikasi Malaysia ialah pelancaran satelit pertamanya. Pada hari ini 11.11.1991 memorandum Persefahaman bagi pelancaran satelit pertama Malaysia telah ditandatangani di antara sebuah syarikat swasta Malaysia dan Hughes Aviation Corporation iaitu sebuah syarikat pembuat satelit dari Amerika Syarikat, bertempat di Pulau Langkawi, Kedah. Upacara menandatangani MOU tersebut diadakan di Langkawi sempena dengan pameran LIMA (Langkawi International Mariner and Aviation) di Pulau tersebut. Satelit Pertama Malaysia, menelan belanja sekitar RM275 juta yang mana dijangka akan dapat diluncurkan setelah 2 tahun memorandum persefahaman itu ditandatangani.

Menurut Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Dato' Seri Samy Vellu, syarikat dari Amerika Syarikat dipilih berdasarkan pengalaman luasnya di bidang pembikinan satelit. Seterusnya beliau berkata, langkah Kerajaan untuk membenarkan pihak swasta mengendalikan satelit milik Malaysia sendiri adalah berdasarkan keperluan yang semakin meningkat dari masyarakat yang memerlukan khidmat satelit termasuk bertambahnya pemilik telefon selular. Dengan kejayaan yang dicapai diharap Malaysia akan dapat menawarkan pengalaman dan pengetahuannya di bidang komunikasi kepada negara-negara lain demi untuk kebaikan dan mengeratkan lagi perhubungan dan perpaduan antara negara-negara.
 
Back
Top
Log in Register