BTC USD 84,018.3 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-09/01

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
LAPORAN PEMINDAHAN PUSAT PENTADBIRAN NEGERI-NEGERI SELAT.-Tarikh Peristiwa pada 09-01-1864

Pada hari ini dalam tahun 1864, satu laporan mengenai belanjawan sumber-sumber kewangan Negeri-negeri Selat berkaitan dengan perkara pemindahan kuasa pentadbiran daripada kerajaan British di India kepada Kerajaan British di London telah disediakan oleh Setiausaha Jawatankuasa Pemerintahan Negeri-negeri Selat, R.C Woods. Laporan yang terhasil daripada mesyuarat yang diadakan oleh Jawatankuasa Pemindahan Pentadbiran Negeri-negeri Selat antaranya menyatakan berkenaan belanjawan ketenteraan, perkhidmatan awam, aktiviti perdagangan, Jabatan Tanah, Jabatan Kerja Raya, cukai, undang-undang dan Majlis Perbandaran. Selain daripada itu, di dalam laporan ini juga R.C. Woods telah mengusulkan agar dibatalkan atau dimusnahkan jabatan yang tidak mendatangkan faedah, tetapi memerlukan perbelanjaan yang besar serta merugikan kerajaan. Laporan tersebut juga telah menekankan tentang faedah, keuntungan dan kepentingan pentadbiran Negeri-negeri Selat sekiranya ditadbirkan dari London berbanding dengan pentadbirannya dari India. Pemindahan kuasa pentadbiran dari India ke London ini bermatlamat untuk mengurangkan perbelanjaan pentadbiran kepada yang paling minima bagi mendapatkan keuntungan daripada aktiviti perdagangan selain melicinkan Pentadbiran Kerajaan British di Negeri-negeri Selat.
 
PRESIDEN DAN PUAN MARCOS MENGADAKAN LAWATAN RASMI KE MALAYSIA-Tarikh Peristiwa pada 09-01-1968

Perhubungan rapat di antara pemimpin-pemimpin terutama bagi negara yang berjiran memainkan peranan yang penting dalam menyelesaikan segala pemasalahan dan salah faham yang wujud di antara negara-negara tersebut. Bagi Malaysia dan Filipina, satu lawatan rasmi oleh Presiden dan Puan Marcos ke Malaysia telah diadakan pada 9 Januari 1968. Ketibaan Ketua Negara Filipina itu telah disambut dengan penuh kehormatan negara setibanya di lapangan terbang Subang tepat jam 11.00 pagi untuk lawatan rasmi selama 4 hari. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah menyambut ketibaan Presiden dan Puan Marcos di lapangan terbang ialah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, Menteri-menteri Kabinet, wakil-wakil diplomat asing dan Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan. Dalam satu kenyataannya di lapangan terbang, Presiden Marcos menyatakan Filipina ingin berkongsi segala pengetahuan dengan negara-negara jiran dan juga bersedia memberi apa-apa bantuan yang boleh untuk membantu negara-negara yang sedang membangun. Tambahnya kemajuan pembangunan Malaysia adalah satu-satunya kejayaan yang boleh memberi perangsang kepada semua negara yang sedang membangun di Asia.

Beliau juga bersedia menerima segala bantuan dan sumbangan dari negara-negara jiran lebih-lebih lagi dari Malaysia. Dalam ucapan balasnya, Tunku Abdul Rahman telah menyatakan bahawa Filipina dan Malaysia mestilah membenamkan sebarang perselisihan yang mungkin timbul antara kedua pihak demi mencapai matlamat mereka. Tunku berkata negara-negara Asia Tenggara sekarang menghadapi ancaman dari pihak-pihak yang hendak melenyapkan cara hidup serta sistem demokrasi mereka bahkan juga keutuhan mereka sebagai bangsa dan negara yang berdaulat. Sesungguhnya lawatan rasmi Presiden dan Puan Marcos ke Malaysia pada hari ini dalam tahun 1968 telah menjalinkan persefahaman dan persahabatan antara kedua negara malah akan dapat membena satu jambatan yang boleh membawa ke arah keamanan dan keutuhan negara-negara ASEAN.
 
KUMPULAN WANITA PERTAMA DITAULIAHKAN MENJADI AHLI BOMBA-Tarikh Peristiwa pada 09-01-1991

Kaum wanita masa kini tidak kurang cekapnya dalam mengendalikan tugas-tugas bahaya dan mencabar. Ini dapat dibuktikan apabila 39 orang wanita Malaysia telah menempa sejarah sebagai kumpulan wanita pertama di negara ini yang berjaya ditauliahkan sebagai anggota Bomba bukan pegawai pada hari ini 9.1.1991. Upacara penyampaian sijil telah dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tuan Haji Ahmad Hassan Osman. Kesemua 39 anggota bomba wanita yang pertama diambil untuk menjalani latihan asas kebombaan di Pusat Latihan Bomba Kuala Kubu Baharu, selama 4 bulan setengah. Semasa menjalani latihan tiada seorang pun di antara kumpulan wanita itu yang gagal.

Dalam ucapan di perbarisan tamat latihan asas kebombaan, Tuan Haji Ahmad Hassan Osman memuji kemampuan 39 anggota bomba wanita itu dalam menjalankan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh lelaki sahaja. Ini dengan jelas menunjukkan wanaita juga tidak kurang cekapnya dalam mengendalikan tugas-tugas bahaya dan mencabar. Katanya lagi, di samping tugas hakiki mereka untuk memadam kebakaran, anggota wanita ini juga akan memikul tugas yang berat sebagai kumpulan penyebar maklumat pencegah kebakaran di kalangan suri-suri rumah tangga dan kanak-kanak sekolah. Sesungguhnya dengan kejayaan 39 orang wanita dalam menjalani asas kebombaan, diharap akan menggalakkan lagi kaum wanita lainya terutama generasi baru untuk bersama-sama mengembeling tenaga bersama kaum lelaki dalam usaha-usaha memberi perkhidmatan dan kebajikan kepada masyarakat yang tercinta.
 
PENGGUNAAN `WARNA AMBER' PADA BAS SEKOLAH DI SELURUH NEGARA-Tarikh Peristiwa pada 09-01-1988

Keselamatan para pelajar sekolah terutama dijalanraya sering kali menjadi kebimbangan ibu bapa dan guru-guru. Kanak-kanak sekolah terdedah kepada bahaya ini setiap masa. Berbagai langkah diambil agar dapat meningkatkan lagi keselamatan para pelajar sekolah. Salah satu langkah yang dilancarkan pada hari ini 9 Januari 1988 oleh Menteri Perusahaan Awam Datuk Napsiah Omar iaitu penggunaan `warna amber' untuk bas-bas sekolah. Kerajaan telah mengambil langkah untuk menyeragamkan warna bas sekolah di seluruh negara sebagai langkah pertama ke arah membaiki mutu perkhidmatan dan sebagai langkah menjaga keselamatan anak-anak semasa menaiki bas. Semasa berucap merasmikan `warna amber' untuk bas sekolah ini Menteri Perusahaan Awam menegaskan bahawa usaha untuk menggunakan warna amber ini besar faedahnya kepada murid-murid. Mereka akan dapat mengenali dan membezakan antara bas-bas sekolah dan bas awam yang lain. Kepada masyarakat pula warna amber ini akan dapat membantu mereka mengenali bas-bas sekolah dengan mudah. Selain dari itu dapat mewujudkan sikap waspada yang kekal dan berterusan terhadap bas-bas sekolah. Warna amber akan mudah dikenali oleh pengguna- pengguna jalanraya yang lain dan menjadikan mereka lebih berhati-hati terhadap bas sekolah. Penggunaan warna amber ke atas bas sekolah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

Semua pemegang lesen baru bas sekolah yang diluluskan selepas 1 Januari 1988 dikehendaki mematuhi kaedah-kaedah bagi membolehkan lesen bas sekolah dikeluarkan kepada para pengusaha bas sekolah. Warna amber yang digunakan di bas sekolah ini adalah lambang tanda waspada yang sudah diterima di peringkat antarabangsa. Di negara-negara maju penggunaan warna ini sudah lama diadakan dan diseragamkan. Oleh itu usaha Kerajaan pada hari ini melancarkan `warna amber' untuk bas sekolah perlu dipatuhi sepenuhnya. Perkara ini penting sebagai usaha mengurangkan kemalangan yang boleh menggugat keselamatan murid-murid sekolah. Keseragaman warna ini juga adalah sebagai usaha menyedarkan pengguna-pengguna jalanraya tentang keselamatan kanak-kanak di jalanraya.
 
Back
Top
Log in Register