BTC USD 84,005.0 Gold USD 4,279.19
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-08/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
TENGKU KUDIN MENAWAN KUALA SELANGOR-Tarikh Peristiwa pada 08-11-1873

Pada hari ini dalam tahun 1873, Tengku Kudin telah menewaskan kubu kuat Raja Mahadi di Kuala Selangor. Kejayaan Tengku Kudin di Kuala Selangor tersebut merupakan peristiwa penting yang menjadi titik-tolak membawa kepada campur tangan Inggeris di Negeri Selangor. Perang Saudara di Selangor yang berlaku antara tahun-tahun 1867-1874 pada mulanya adalah berpunca daripada persengketaan antara penyokong-penyokong Raja Mahadi dengan pengikut serta keluarga Raja Abdullah mengenai masalah kutipan cukai dan perebutan jawatan. Semasa Raja Mahadi berkuasa, masalah menjadi semakin buruk. Sultan Abdul Samad, yang memerintah Selangor pada masa itu tidak berdaya untuk menyelesaikan masalah tersebut lalu melantik menantu baginda, Tengku Kudin, untuk menyelesaikannya.

Perlantikan tersebut telah menjadikan suasana Perang Saudara di Selangor bertukar daripada perlawanan antara pengikut-pengikut Raja Mahadi dengan Raja Abdullah kepada pertentangan antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin. Penentangan demi penentangan berlaku di antara kedua-dua buah pihak hingga akhirnya Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Selangor dengan bantuan daripada Pahang, Inggeris dan askar upahan. Maka, bermulalah siri campur tangan Inggeris bermula di negeri Selangor sehinggalah wujudnya pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu pada tahun 1874
 
DASAR ‘MALAYANISATION’ PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN -Tarikh Peristiwa pada 08-11-1956

Pada hari ini dalam tahun 1956, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan dengan sebulat suara meluluskan dasar ‘Malayanisation’ perkhidmatan awam Persekutuan Tanah Melayu. Dasar Malayanisation adalah suatu dasar yang membolehkan penduduk tempatan yang berkelayakan mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam bagi menggantikan pegawai British. Ia dijangka akan dapat dicapai dalam tiga peringkat, iaitu:

i. Peringkat pertama dalam tahun 1960.

ii. Peringkat kedua dalam tahun 1962.

iii. Peringkat ketiga dalam tahun 1965.

Bagi sesetengah jabatan, tidak ditetapkan tempoh perjawatan diisi dengan pegawai anak negeri/tempatan. Sehingga penghujung tahun 1960, Jabatan Kemajuan Syarikat Kerjasama; Jabatan Perikanan; Jabatan Hutan; Jabatan Penerangan; Jabatan Buruh dan Perhubungan Perusahaan; Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Haiwan telah berjaya mengisi sepenuhnya perjawatan dengan pegawai tempatan. Melalui dasar baru ini, Persekutuan Tanah Melayu menjadi negara pertama di antara negara yang merdeka di dunia berjaya mengubah perkhidmatan awam negaranya.
 
UNDANG-UNDANG TUBUH LEMBAGA URUSAN TABUNG HAJI (LUTH) DIPINDA-Tarikh Peristiwa pada 08-11-1975

Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji No.8/1969 dengan mempunyai tugas-tugas iaitu menguruskan suatu kumpulan wang untuk menyelenggarakan wang simpanan berhubung dengan perlindungan, pengawalan dan kebajikan am orang-orang yang menunaikan Haji ke Tanah Suci dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Dalam melaksanakan Undang-Undang Tubuh Lembaga Urusan Tabung Haji, Kerajaan telah mendapati beberapa pindaan perlu dikaji dan dipinda untuk memberi kemudahan dan kebajikan kepada penabung-penabung. Pada hari ini 8 November 1975 Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak bin Hussein semasa merasmikan Kilang Kelapa Sawit Keratong Pahang telah mengumumkan bahawa Kerajaan sedang meminda Undang-Undang Tubuh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi membolehkan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan Islam menyimpan wang dalam Tabung Lembaga Urusan Tabung Haji.

Perdana Menteri berharap semua Badan Islam akan menyimpan wang mereka di Tabung Haji apabila undang-undang ini diluluskan kelak. Di samping itu, badan-badan tersebut dapat menggunakan khidmat Jawatankuasa Penasihat Kewangan LUTH untuk menolong melaburkan wang mereka. Pengerusi Lembaga Urusan Dan Tabung Haji Dato’ Hussein Noordin semasa berucap dalam majlis tersebut juga telah mengumumkan bahawa mulai tahun 1976, jemaah-jemaah haji dari negara ini boleh mengeluarkan wang simpanan mereka di Mekah. Dengan itu mereka tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak dari rumah. Jelasnya lagi, Lembaga Urusan Tabung Haji merupakan sebuah institusi kewangan yang mempunyai banyak perancangan yang boleh mendatangkan hasil kewangan yang menguntungkan bagi bangsa Melayu.

Sejumlah besar tabungan Lembaga Urusan Tabung Haji telah dilaburkan dalam berbagai bidang pelaburan yang halal dan sebahagian daripadanya lagi dikembalikan kepada penyimpan-penyimpan untuk tujuan menunaikan fardhu haji. Sesungguhnya Lembaga Urusan Tabung Haji ini telah diakui oleh dunia sebagai satu badan yang terbaik bukan sahaja kerana perkhidmatannya kepada Jemaah Haji malahan peranannya sering mendapat perhatian dan teladan kepada negara-negara luar.
 
UNDANG-UNDANG TUBUH `DEWAN BAHASA MELAYU’ KELANTAN DISAHKAN OLEH KERAJAAN NEGERI KELANTAN-Tarikh Peristiwa pada 08-11-1933

Badan-badan bukan Kerajaan memainkan peranan yang penting bagi mengerakkan aktiviti secara sukarela, sejak daripada awal lagi, badan-badan bukan kerajaan telah memainkan peranan yang penting dalam pelbagai bidang. Pada hari ini 8 November, 1933 Undang-undang tubuh Dewan Bahasa Melayu Kelantan telah disahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Dewan Bahasa Melayu telah mengadakan mesyuarat agongnya pada 29 Sept. 1933. Pertubuhan ini bergiat aktif dalam bidang bahasa dan persuratan. Antara usaha-usaha yang dijalankan oleh badan ini ialah menyusun Ensaiklopedia Melayu dan bekerjasama dengan komiti Kamus Setiawan untuk menyusun Kamus Setiawan.

Ahli Jawatankuasa Dewan Bahasa Melayu ialah:-
Yang Dipertua: Tengku Mahmud Mahiyuddin b. Tengku Abdul Kadir
Naib Yang Dipertua: Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud
Setiausaha : Asaad Shukri Hj. Muda
Penyimpan Wang : Ahmad Isamil
Pemeriksa Kira-kira: Muhamad Baba
Jawatankuasa : Hj. Ahmad Mahir Ismail
Hj. Nik Yusof Hilmi
Hj. Abdul Karim Abdul Malik
Hj. Abdul Kadir Adabi Ahmad

Peranan badan-badan bukan Kerajaan ini, dapat membantu Kerajaan mempercepatkan proses menyedarkan masyarakat di dalam satu-satu perkara, peranan dalam bidang Bahasa telah sedikit sebanyak dilaksanakan di Kelantan dengan adanya Pertubuhan Dewan Bahasa Melayu Kelantan.
 
Back
Top
Log in Register