BTC USD 84,443.3 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 03/12

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN LANCAR PROGRAM PRODUKTIVITI-Tarikh Peristiwa pada 03-12-1986

Pada hari ini dalam tahun 1986, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah melancarkan Program Pengukuran Produktiviti. Program ini telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian iaitu Dato’ Abu Bakar Haji Said bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian. Program tersebut melibatkan semua jabatan yang terletak di bawah Kementerian Kebudayaan seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Perpustakaan Negara dan Majlis Sukan Negara. Antara perancangan yang dijalankan bagi menjayakan progam tersebut adalah seperti penilaian semula keseluruhan organisasi dari segi output satu-satu jabatan, pameran yang berkaitan dengan produktiviti dan kursus-kursus fasilitator berkenaan dengan produktiviti. Lagu `Nilai Jasa’ merupakan lagu yang perlu dinyanyikan semasa perhimpunan bulanan bagi menjiwai budaya produktiviti. Sehingga kini, perancangan yang telah dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan telah berjaya menghasilkan keluaran ataupun produktiviti yang semakin baik. Sesungguhnya, usaha-usaha untuk meningkatkan program produktiviti semakin giat dilaksanakan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Jabatan Kerajaan di Malaysia sebagai contoh kepada perkhidmatan awam di seluruh dunia.

 
UNDANG-UNDANG WANG KERTAS NEGERI-NEGERI SELAT DIUMUMKAN
Tarikh Peristiwa pada 03-12-1896


Pada hari ini dalam tahun 1896, Undang-Undang mengenai Nilai Wang Kertas di Negeri-Negeri Selat telah diumumkan. Pengumuman ini dibuat bagi mengatasi masalah berkaitan dengan penggunaan unit kewangan nilai matawang dan penawaran wang yang dikawal oleh nilai 'Sterling'. Matawang ‘Dolar’ telah diterima secara rasminya sebagai unit kewangan di Negeri-Negeri Selat dan Tanah Jajahan British yang lain pada tahun 1867. Berikutan itu satu syor dan cadangan telah dibuat oleh Perbendaharaan British agar pihak kerajaan mengeluarkan wang kertas. Namun begitu, cadangan tersebut yang dimajukan kepada Majlis Perundangan telah mendapat tentangan daripada bank-bank yang juga diberi hak untuk mengeluarkan wang. Berikutan daripada pelbagai masalah yang timbul dan bantahan yang diterima, akhirnya Majlis Perundangan telah mencapai keputusan untuk mengeluarkan wang kertas di Negeri-Negeri Selat yang dikawal selia oleh pihak kerajaan. Sesungguhnya Undang-Undang Wang Kertas Negeri-Negeri Selat yang diumumkan pada hari ini dalam tahun 1896 telah berjaya dilaksanakan di Negeri-Negeri Selat.
 
PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN PUSAT PENYELIDIKAN DAN PERKEMBANGAN INDUSTRI LOGAM (MIRDC)-Tarikh Peristiwa pada 03-12-1984

Perkembangan industri berat semakin pesat berkembang di negara ini selaras dengan kemajuan sains dan teknologi. Pada hari ini 3.12.1984 Bangunan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Industri Logam (MIRDC) telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Y.B. Datuk Amar Stephen K.T.Yong. Turut hadir di majlis perasmian tersebut ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Encik Law Hieng Ding, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Encik Nik Mohamed Amin, Menteri di Kedutaan Jepun, Encik T. Terada dan Pengawal SIRIM, Dr. Mohd. Mansor Hj. Salleh. Pusat itu telah ditubuhkan dengan kos berjumlah lebih kurang RM 9 juta. Bangunannya terdiri dari 2 bahagian; bahagian pertama merupakan makmal dan pejabat dan bahagian kedua ialah bengkel pemesinan, bengkel rawatan haba dan bengkel percubaan. Bengkel-bengkelnya dilengkapkan dengan mesin serta peralatan moden untuk tujuan pembuatan acuan, jig dan lengkapan serta komponen-komponen persis. Di samping itu, ianya juga berkemampuan membuat tul dan memberi perkhidmatan rawatan haba. Bengkel itu juga dilengkapkan dengan sebuah mesin pengacuan suntikan dan sebuah mesin tuangan acuan bagi tujuan mencuba acuan yang diperbuat oleh bengkel. Mesin-mesin tersebut boleh juga digunakan untuk percubaan pengeluaran bagi pengusaha-pengusaha tempatan.

Aktiviti-aktiviti utama pusat itu ialah:-

Untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan acuan jig dan lengkapan.

Untuk menjalankan kajibahan dan rawatan haba.

Untuk memberi khidmat nasihat kepada pengusaha-pengusaha tempatan serta latihan sambil bekerja di bidang-bidang berkaitan.

Semasa penubuhan Pusat itu, Kerajaan Malaysia telah menerima perkhidmatan beberapa orang pakar dan sumbangan alat-alat daripada Kerajaan Jepun. Dengan tertubuhnya Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Industri Logam (MIRDC), diharap akan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang terkenal dan dapat meningkat taraf ekonomi dan pembangunannya.
 
PERSIDANGAN BELANJAWAN TERAKHIR MAJLIS MESYUARAT UNDANGAN PERSEKUTUAN-Tarikh Peristiwa pada 03-12-1958

Pada hari ini 3.12.1958, telah berlangsung Persidangan Belanjawan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan buat kali yang terakhir. Ini kerana pada tahun 1959 ianya bukan lagi dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan tetapi akan diganti dengan sebuah Parlimen yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Persidangan belanjawan yang terakhir bagi Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan ini telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Dalam titah ucapan perasmian tersebut Seri Paduka telah menyeru rakyat Persekutuan Tanah Melayu supaya membantu Kerajaan dalam memajukan masyarakat dan negara. Seri Paduka juga menyentuh tentang kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui majlis tersebut. Dan apabila ia digantikan dengan Parlimen kelak baginda berharap negara akan mencapai kejayaan lebih besar lagi. Oleh itu baginda sekali lagi menyeru rakyat supaya terus membantu kerajaan dalam memelihara keamanan negeri khususnya dalam membenteras masalah komunis. Dalam bidang ini juga Menteri kewangan Persekutuan Tanah Melayu Sir Henry H.S. Lee telah membentangkan belanjawan bagi tahun 1959, selepas titah ucapan perasmian oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong itu. Dengan sidang belanjawan terakhir bagi Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan ini pada hari ini dalam tahun 1958 akan membawa perubahan baru dalam sistem pentadbiran negara di mana dalam tahun 1959 Parlimen akan diwujudkan bagi menggantikan majlis tersebut.
 
Back
Top
Log in Register