BTC USD 84,622.8 Gold USD 4,303.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-03/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERSATUAN PEMBORONG-PEMBORONG MELAYU MELAKA DITUBUHKAN-Tarikh Peristiwa pada 03-10-1966

Pada hari ini dalam tahun 1966, Persatuan Pemborong-pemborong Melayu Melaka telah ditubuhkan. Penubuhan persatuan ini telah dilakukan dalam mesyuarat yang diadakan di Kelab Antarabangsa, Melaka. Mesyuarat tersebut telah melantik Encik Othman Lisut sebagai Pengerusi, Syed Alhabshi sebagai Naib Pengerusi dan Encik Muhamad Daud Yusuf sebagai Setiausaha persatuan. Enam orang ahli Jawatankuasa turut dilantik dalam mesyuarat tersebut.

Perjumpaan yang diadakan ini telah dibuka oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Tuan Haji Talib b. Karim. Pertubuhan yang diwujudkan untuk usahawan bumiputera ini diharap dapat mendorong mereka untuk bertukar-tukar pengalaman, pandangan dan kemahiran di antara satu sama lain. Selain daripada itu, ia turut dijadikan tempat bagi menyatukan dan menyalurkan masalah yang dihadapi untuk diajukan kepada pihak-pihak yang berkaitan.
 
PENANAMAN POKOK-POKOK GETAH HEVEA BRASILIENSIS YANG PERTAMA DI TANAH MELAYU-Tarikh Peristiwa pada 03-10-1877


Pada hari ini dalam tahun 1877, pokok-pokok getah Hevea Brasiliensis yang pertama telah ditanam di Kuala Kangsar, Perak oleh H.J. Murton, Penguasa Botanical Gardens, Singapura. Sebanyak 9 biji benih getah Hevea Brasiliensis telah ditanam di halaman rumah Residen British Perak, Sir Hugh Low. Bermula dari itu, penanaman pokok getah terus berkembang dan sehingga kini dianggarkan tanaman getah negara meliputi kawasan seluas 1.7 juta hektar. Bekalan yang pertama sebanyak 50 biji benih pokok dari Sri Lanka telah dihantar ke Singapura tetapi disebabkan oleh kelambatan di dermaga, usaha ini telah menemui kegagalan. Bekalan kedua sebanyak 22 biji getah telah dihantar dari Taman Kew, England ke Singapura dalam tahun 1877.

Sebahagian daripadanya telah ditanam di Botanical Garden Singapura, manakala selebihnya ditanam di Kuala Kangsar. Kini, selepas lebih seabad masa berlalu, pokok getah yang dahulunya dianggap tidak menarik, kini telah menjadi bahan ekonomi yang penting di Malaysia. Dengan wujudnya Lembaga Getah Malaysia, tanaman getah berupaya melonjakkan ekonomi negara.
 
SIDANG LAPAN NEGARA PENGELUARAN GETAH MEMPERKENALKAN DUA LANGKAH KAWALAN HARGA GETAH-Tarikh Peristiwa pada 03-10-1967

Kerjasama di peringkat antarabangsa memainkan peranan yang penting dalam mengawal kestabilan harga getah. Pelbagai usaha dijalankan bagi mewujudkan kestabilan harga getah di pasaran dunia. Pada hari ini 3 Oktober 1967 Persidangan Lapan Negara-negara Pengeluaran Getah pada hari kedua telah mencapai persetujuan penuh berkenaan dengan langkah-langkah yang akan diambil untuk memperkukuhkan harga getah asli di pasaran dunia.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari daripada 2-5 Oktober 1967 di Dewan Tuanku Abdul Rahman ini mempersetujui langkah-langkah yang akan dijalankan dalam dua peringkat:-

Langkah-langkah jangka pendek yang boleh segera dilaksanakan tanpa merujuk kepada negara-negara pengeluar.
Langkah-langkah jangka panjang yang mengkehendaki kelulusan Kerajaan masing-masing.
Dua langkah yang dipersetujui ini telah diumumkan oleh Pengerusi Persidangan Raja Tan Sri Mohar Raja Baidozaman lewat petang hari ini.

Usaha yang dilaksanakan oleh wakil-wakil daripada negara utama pengeluaran getah asli yang terdiri daripada Cyelon, Thailand, Malaysia, Singapura, Vietnam, Indonsia, Liberia dan Burma merupakan satu persidangan yang akan memperlihat isu-isu kejatuhan harga getah akibat persaingan daripada pengeluaran getah tiruan yang semakin banyak di pasaran dunia. Kerjasama yang wujud akan dapat mempermudahkan kerja-kerja pengawalan harga getah di kalangan negara-negara pengeluar tersebut, selain merupakan eksport utama negara-negara yang terlibat pada persidangan kali ini.
 
KONVENSYEN CUEPACS DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA-Tarikh Peristiwa pada 03-10-1964

Pada hari ini 3.10.1964, YTM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Konvensyen ke-6 Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kira-kira 300 orang pemimpin Kesatuan Sekerja telah menghadiri seminar ini termasuk Presiden CUEPACS En. V.E. Jesudoss dan Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) En. Zaidi. Dalam ucapan perasmian seminar tersebut YTM Tunku Abdul Rahman telah menyentuh beberapa perkara mengenai kebajikan para pekerja. Di antara lain beliau telah menyatakan satu suruhanjaya bersama daripada pihak kerajaan dan kakitangan kerajaan akan dibentuk tidak lama lagi bagi menggantikan Majlis Whitley yang ada sekarang ini memandangkan majlis yang telah lama dibentuk itu tidak begitu berkesan dan perlu dirombak dengan menubuhkan satu suruhanjaya bersama. Dengan pembentukan suruhanjaya ini kelak ianya akan dapat bertugas dengan baik khususnya untuk kepentingan kebajikan kakitangan kerajaan. Dengan berlangsungnya konvensyen ini pada hari ini dalam tahun 1964 telah membuka ruang baru dalam hubungan erat Kesatuan Sekerja dengan pihak kerajaan khususnya mengenai gaji kakitangan kerajaan dan perkhidmatan yang lebih baik dan berkesan.
 
Back
Top
Log in Register