BTC USD 65,617.5 Gold USD 4,434.50
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hapus segera caj perkhidmatan

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120

KUALA LUMPUR 18 April - pengusaha restoran dan hotel tiada alasan kukuh untuk mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan mereka apatah lagi tiada undang-undang khas yang menetapkan pengguna perlu membayar caj berkenaan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Amir Hussin Baharuddin turut mempersoalkan caj berkenaan yang dilihat mengambil kesempatan sedangkan perkhidmatan yang disediakan adalah tidak jelas.

Sebagai contoh katanya, bagi restoran makanan segera, apakah bentuk ‘perkhidmatan’ yang ditawarkan pengusaha premis berkenaan sedangkan pengguna perlu beratur panjang dan mengambil sendiri makanan dan minuman mereka.

“Alasan lapuk wang hasil daripada caj perkhidmatan yang dikenakan terhadap pengguna akan diagihkan kepada pekerja tidak boleh diterima. Pengguna sepatutnya membayar harga makanan dan bukannya membantu pengusaha restoran dan hotel membayar gaji pekerja mereka, siapa bos, siapa pelanggan sebenarnya.

“Lagi menyedihkan apabila pengguna terpaksa membayar caj perkhidmatan sedangkan tiada perkhidmatan yang diberikan pengusaha restoran dan hotel. Contohnya, jika pengguna mengambil sendiri makanan atau minuman lalu membayarnya di kaunter, adakah mereka akan diberikan diskaun kerana tiada perkhidmatan yang diberikan pengusaha,” katanya yang dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada 12 April lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Caj Perkhidmatan bagi mengenal pasti mekanisme untuk mengawal selia caj berkenaan selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) namun pelbagai pihak mendesaknya dihapuskan segera tanpa perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengkajinya.

Dalam pada itu, Amir turut mempersoalkan tindakan pengusaha hotel yang turut mengenakan caj perkhidmatan sedangkan bilangan pekerja dalam sektor tersebut yang mendaftar dengan kesatuan adalah sangat kecil iaitu kira-kira tujuh peratus.

“Perjanjian Bersama ditandatangani antara majikan dan pekerja tetapi mengapa pengguna atau pihak ketiga perlu dijadikan ‘kambing hitam’ untuk membayar caj tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, caj perkhidmatan perlu segera dihapuskan kerana bukan saja membebankan malah mengelirukan pengguna.

Katanya, pengusaha restoran dan hotel dengan sewenang-wenangnya mengenakan caj perkhidmatan tanpa sebarang pemantauan rapi daripada pihak berkuasa sehingga menyebabkan pengguna ‘dibuli’ atau ‘diperalatkan’ demi meraih keuntungan berlipat ganda.

“Pengguna secara paksa rela membayar caj perkhidmatan sedangkan mereka sendiri meragui perkhidmatan yang ditawarkan atau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Caj perkhidmatan perlu segera dihapuskan demi kepentingan dan kebajikan pengguna kerana tiada kriteria khusus yang ditetapkan kerajaan kepada pengusaha restoran dan hotel terhadap kadar caj tersebut,” katanya.
 
Back
Top
Log in Register