afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Hamzah cadang nama PBN untuk mudah sebut, bukan gabungan rasmi, kata Saifuddin
Saifuddin Abdullah berkata Presiden Wawasan Hamzah Zainudin tidak mempunyai niat lain menerusi cadangan nama itu selain mahu parti berperanan sebagai jambatan demi memperkukuh kerjasama antara BN-PN.
Setiausaha Agung Wawasan, Saifuddin Abdullah, berkata, Hamzah mengemukakan cadangan itu secara spontan ketika berkempen bagi membantu calon BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan, memandangkan ada yang keliru dan menyebut ‘PN-BN’ atau ‘BN-PN’.
“Beliau tidak pernah mengatakan ia merupakan nama rasmi. Cadangan itu sekadar untuk memudahkan sebutan, lalu beliau menyebut ‘PBN’.
“Mengapa PBN? Menurut beliau, memandangkan BN merupakan gabungan yang lebih lama, elok nama penuh BN dikekalkan, manakala PN diwakili secara ringkas,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun Saifuddin turut memaklumkan, Hamzah tiada masalah jika nama tersebut tidak digunakan dan digantikan dengan nama lain.
“Kalau kita nak adakan nama yang rasmi (selepas ini), masa itu kita bincanglah secara rasmi,” katanya.
Pada 22 Julai lalu Hamzah mencadangkan supaya kerjasama PN dan BN dinamakan PBN bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan.
Hamzah dilaporkan berkata cadangan itu akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan parti berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
BN dan PN, tanpa penyertaan Bersatu, membentuk persefahaman untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Menerusi persefahaman itu, kedua-dua gabungan tidak bertembung di semua 36 kerusi DUN.
BN bertanding di 25 kerusi, manakala parti komponen PN, termasuk PAS, Wawasan, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), meletakkan calon di 11 kerusi.
Kerjasama itu berdepan Pakatan Harapan (PH), yang bertanding di semua kerusi, selain Bersatu yang meletakkan calon di 24 kawasan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Hamzah tidak mempunyai niat lain selain mahu Wawasan memainkan peranan sebagai jambatan dalam memperkukuh kerjasama antara BN dan PN.
“Hamzah tidak mempunyai niat lain. Beliau hanya mahu Wawasan memainkan peranan sebagai jambatan dalam memperkukuh kerjasama antara BN dan PN, demi membentuk gelombang biru untuk memenangi PRN Negeri Sembilan dan seterusnya PRU16,” katanya.