Had mata demerit sebelum lesen memandu digantung kali pertama akan dikurangkan; tempoh gantung lesen dilanjutkan mulai Jan 2027
Seorang pegawai polis trafik menggunakan kamera laser pengesan kelajuan untuk mengesan dan mengenal pasti kenderaan yang memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan di sebuah ekspreswe dari sebuah jejantas pada 22 Februari 2024. (Gambar: CNA/Eugene Goh)
SINGAPURA: Jumlah maksimum mata demerit yang boleh dikumpulkan seseorang pemandu sebelum lesen memandunya digantung buat kali pertama akan dikurangkan daripada 24 mata dalam tempoh dua tahun kepada 18 mata bagi tempoh yang sama, berkuat kuasa 1 Januari 2027.
Sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan keselamatan jalan raya, tempoh penggantungan lesen juga akan dipanjangkan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (31 Jul).
IKLAN
Menurut SPF, perubahan terhadap Sistem Markah Kemajuan Pemandu (DIPS), yang lebih dikenali sebagai sistem mata demerit, bertujuan mengelakkan pelanggaran peraturan lalu lintas serta memastikan para pemandu yang melakukan kesalahan tidak berada di jalan raya untuk tempoh yang lebih lama.
Keselamatan jalan raya di Singapura semakin merosot, dengan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat kepada 149 pada 2025 berbanding 142 pada 2024, sekali gus mencatat paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Jumlah individu yang cedera juga meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada 9,955 orang pada 2025.
Di bawah sistem yang disemak semula itu, had 18 mata demerit dalam tempoh 24 bulan turut terpakai bagi penggantungan lesen seterusnya.
Buat masa ini, pemandu yang pernah digantung lesennya sebanyak sekali boleh mengumpulkan sehingga 12 mata demerit dalam tempoh 12 bulan sebelum lesen mereka digantung semula.
Polis turut menyatakan, dengan had penggantungan baharu itu, "tiada keperluan praktikal" untuk mengenakan lebih daripada 18 mata demerit bagi mana-mana kesalahan.
IKLAN
Sehubungan itu, kesalahan yang ketika ini dikenakan 24 mata demerit akan dikurangkan kepada 18 mata demerit.
TEMPOH PENGGANTUNGAN LEBIH LAMA
Tempoh penggantungan lesen juga akan berubah. Ketika ini, tempoh penggantungan ditentukan mengikut berapa kali lesen seseorang itu digantung.
Di bawah perubahan sistem mata demerit tersebut, tempoh penggantungan pertama akan meningkat daripada 12 minggu kepada empat bulan.
Pada masa ini, tempoh tersebut boleh dikurangkan kepada empat minggu selepas pemandu menyelesaikan kursus latihan semula DIPS. Bagi kes yang tidak melibatkan kemalangan, tempoh itu boleh dikurangkan sehingga seminggu.
IKLAN
Namun di bawah sistem baharu, tempoh penggantungan hanya akan dikurangkan kepada enam minggu selepas selesai menjalani kursus latihan semula DIPS.
Tempoh penggantungan kedua pula akan meningkat daripada 24 minggu kepada enam bulan. Pada masa ini, para pemandu boleh mengikuti kursus latihan semula DIPS bagi mengurangkan tempoh tersebut kepada 12 minggu.
Di bawah sistem baharu, pilihan itu tidak lagi disediakan.
Mulai 1 Januari 2027, para pemandu yang berdepan penggantungan kali ketiga tidak akan dibenarkan untuk memandu selama dua tahun, meningkat daripada tempoh setahun ketika ini. Semua penggantungan selepas itu pula akan dikenakan tempoh selama lima tahun.
Kursus latihan semula DIPS merupakan kursus pemulihan selama satu setengah hari bagi para pemandu yang lesennya digantung. Mereka perlu lulus ujian teori dan praktikal di akhir kursus tersebut sebelum tempoh penggantungan mereka dikurangkan.
IKLAN
Mulai 1 Januari 2027, para pemandu hanya akan diberi satu peluang untuk mengikuti kursus itu semasa penggantungan pertama, menurut polis. Kursus latihan semula DIPS serta pengurangan tempoh penggantungan tidak lagi ditawarkan bagi penggantungan kali kedua dan seterusnya.
"Para pemandu yang terus menimbulkan risiko keselamatan jalan raya akan dikenakan tempoh penggantungan yang semakin panjang bagi memastikan mereka tidak berada di jalan raya," menurut polis.
Mereka yang digantung lesen buat kali kedua antara sekarang dengan 31 Disember 2026 dan telah menerima surat tawaran masih boleh mendaftar untuk mengikuti kursus latihan semula DIPS untuk mengurangkan tempoh penggantungan.
Mereka perlu menyelesaikan kursus itu dalam tempoh empat minggu dari tarikh tawaran. Polis trafik tidak akan melayan rayuan untuk mengikuti kursus tersebut bagi mengurangkan tempoh penggantungan selepas 1 Januari 2027.
Perubahan itu terpakai kepada para pemandu di luar tempoh percubaan, iaitu mereka yang telah menamatkan tempoh percubaan selama setahun.
Bagi para pemandu dalam tempoh percubaan pula, jumlah mata demerit yang boleh dikumpulkan dalam tempoh setahun sebelum lesen dibatalkan akan dikurangkan daripada 13 kepada 12 mata.
"Ini akan membantu membentuk tabiat memandu yang bertanggungjawab sejak peringkat awal bagi para pemandu baharu," menurut polis.
PELARASAN SEKALI SAHAJA
Bagi memastikan para pemandu tidak menghampiri had baharu untuk penggantungan atau pembatalan lesen hanya disebabkan oleh perubahan sistem mata demerit, pelarasan sekali sahaja akan dilaksanakan bagi semua pemandu pada 1 Januari 2027.
Sehingga enam mata demerit akan ditolak daripada jumlah mata demerit yang dikumpulkan setakat 31 Disember 2026. Bagi para pemandu dalam tempoh percubaan, satu mata demerit akan ditolak.
Jika baki mata demerit seseorang pemandu adalah lebih rendah daripada jumlah yang akan ditolak, baki mata demerit tersebut akan dijadikan sifar dan baki potongan akan digunakan bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan sebelum 1 Januari 2027. Perkara tersebut tidak terpakai bagi kesalahan yang dilakukan selepas tarikh berkenaan.
Sebagai contoh, jika seseorang pemandu mempunyai sembilan mata demerit pada akhir 2026, enam mata akan ditolak sekali sahaja pada 1 Januari 2027. Selepas itu, pemandu tersebut akan mempunyai baki tiga mata demerit.
Jika seseorang pemandu mempunyai empat mata demerit pada akhir tahun ini, potongan sekali sahaja yang sama akan diberikan. Empat mata akan ditolak dan baki mata demerit menjadi sifar.
Baki potongan dua mata boleh digunakan bagi kesalahan yang dilakukan sebelum 1 Januari 2027. Sebagai contoh, jika pemandu tersebut dikenakan 12 mata demerit kerana memandu melepasi had kelajuan yang ditetapkan pada Disember 2026, dan notis kesalahan diterima pada bulan berikutnya, pemandu tersebut akan mempunyai 10 mata demerit selepas mengambil kira potongan dua mata itu.
Begitu juga, jika seseorang pemandu tidak mempunyai sebarang mata demerit pada akhir tahun ini, potongan enam mata itu masih boleh digunakan bagi kesalahan yang dilakukan sebelum 1 Januari 2027.
Menurut polis, denda bagi kesalahan yang berkaitan tetap perlu dibayar dan tidak terjejas oleh pelarasan tersebut.
KURSUS MEMANDU DENGAN SELAMAT AKAN DIMANSUHKAN
Polis turut mengumumkan pada Jumaat bahawa kursus memandu dengan selamat akan dimansuhkan.
Kursus itu menyediakan pendidikan pembetulan kepada para pemandu sebelum lesen mereka digantung. Para peserta perlu mengikuti sesi bilik darjah selama tiga setengah jam yang merangkumi kuiz, selain sesi praktikal selama 50 minit.
Selepas tamat kursus, empat mata demerit akan dipadamkan daripada rekod para peserta.
Kedua-dua kursus pemanduan yang selamat dan kursus latihan semula DIPS diambil secara sukarela, dan para pemandu yang layak akan dimaklumkan oleh Polis Trafik bahawa mereka boleh mendaftar bagi program tersebut.
Semakan terhadap data dari 2023 hingga 2025 mendapati kadar penyertaan bagi kursus pemanduan selamat adalah rendah, dengan hanya 15 peratus daripada mereka yang ditawarkan kursus itu tahun lalu mengambil bahagian.
"Kesannya terhadap peningkatan tingkah laku pemanduan juga adalah minimum, memandangkan perbezaan kadar kesalahan berulang antara peserta kursus pemanduan selamat dan mereka yang tidak mengikutinya adalah kecil," menurut SPF.
Polis Trafik akan menghentikan tawaran kursus pemanduan selamat mulai 1 Ogos dan memansuhkan kursus tersebut sepenuhnya mulai 1 Januari 2027. Para pemandu yang telah menerima surat tawaran perlu menamatkan kursus tersebut sebelum 31 Disember 2026.
Secara berasingan, insentif sedia ada bagi pemanduan dan penunggangan yang baik akan dikekalkan.
Rekod mata demerit terdahulu akan dipadamkan bagi para pemandu yang tidak melakukan sebarang kesalahan lalu lintas dalam tempoh 12 bulan selepas kesalahan terakhir.
Jika tiada kesalahan lalu lintas dilakukan dalam tempoh 24 bulan selepas tamat tempoh penggantungan atau dari tarikh lesen baharu dikeluarkan sekiranya lesen dibatalkan, rekod penggantungan lesen terdahulu juga akan dipadamkan.
Mereka yang tidak mempunyai sebarang mata demerit selama sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut layak menerima sijil penghargaan, yang membolehkan mereka menikmati diskaun apabila memperbaharui polisi insurans dengan syarikat insurans yang mengambil bahagian, tertakluk kepada syarat masing-masing.
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Sim Ann berkata: "Dengan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun, semakin jelas bahawa kita perlu melakukan lebih banyak usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya. Kami berharap DIPS yang disemak semula, yang menurunkan had bagi penggantungan dan pembatalan lesen, akan terus mencegah para pemandu daripada memandu secara berbahaya."
Beliau berkata, semasa menyemak semula sistem berkenaan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengambil kira kebimbangan para pemandu vokasional berhubung kesannya terhadap mata pencarian mereka dan telah mendapatkan maklum balas daripada para pemimpin kesatuan sektor pengangkutan.
"Hasil maklum balas tersebut, kami memutuskan untuk memberikan potongan mata demerit sekali sahaja bagi memastikan para pemandu tidak dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen semata-mata kerana peraturan baharu mula berkuat kuasa," kata beliau.
"Kami menggesa setiap pemandu untuk mengubah tabiat dan cara pemikiran mereka sebelum DIPS baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2027. Kami juga menggesa semua pengguna jalan raya, bukan sahaja para pemandu, supaya mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan dan kesejahteraan semua."
Para Anggota Parlimen dijangka akan membahaskan pindaan yang dicadangkan terhadap undang-undang lalu lintas pada sidang parlimen akan datang pada Ogos.
Ini termasuk hukuman lebih berat bagi perbuatan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kecederaan parah, had alkohol yang lebih rendah bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, serta menjadikan penggunaan telefon bimbit ketika memandu sebagai satu kesalahan.
Lesen memandu akan digantung jika dikenakan 18 mata demerit berbanding 24 di bawah peraturan lebih ketat
SINGAPURA: Jumlah maksimum mata demerit yang boleh dikumpulkan seseorang pemandu sebelum lesen memandunya digantung buat kali pertama akan dikurangkan daripada 24 mata dalam tempoh dua tahun kepada 18 mata bagi tempoh yang sama, berkuat kuasa 1 Januari 2027. Sebagai sebahagian daripada usaha...