combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Gudang Kontraban Beroperasi 14 Tahun Terbongkar, Nilai Rampasan RM5.9 Juta
Datuk Mohd Zaki Ashar
Kredit: PDRM
Kegiatan penyimpanan dan pengedaran barangan kontraban yang dipercayai beroperasi sejak 14 tahun lepas terbongkar selepas polis menyerbu sebuah gudang di Kapar, Selangor, semalam.
Serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk produk makanan, kosmetik dan kesihatan selain rokok serta minuman keras tidak bercukai, dengan nilai rampasan keseluruhan RM5.9 juta.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata operasi menerusi Ops Taring Alpha pada 12.10 tengah hari itu turut membawa kepada penahanan tiga individu.
Beliau berkata mereka terdiri daripada pekerja gudang iaitu dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang juga pengarah syarikat logistik.
“Siasatan awal mendapati premis gudang tersebut dipercayai beroperasi selama lebih kurang 14 tahun sebagai lokasi penyimpanan sementara produk-produk dari China sebelum dihantar kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata rampasan terbesar membabitkan 167,526 kotak produk makanan yang dianggarkan bernilai RM3.9 juta, selain pelbagai produk kecantikan dan kesihatan bernilai RM1.54 juta.
Turut dirampas 32,200 batang rokok pelbagai jenama yang tidak bercukai kastam bernilai RM304,612 serta 149 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM129,914.41.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) dan 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Makanan 2009, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952.
“Tindakan susulan turut diambil oleh agensi berkaitan termasuk penyitaan produk makanan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta siasatan lanjut terhadap produk kecantikan dan kesihatan yang dirampas,” katanya.
Loading…
www.bernama.com