Go-Ahead pertingkat sokongan kapten bas selepas penumpang Tampines laporkan masa tunggu lebih lama
Bas Go-Ahead Singapore yang dipasang dengan panel suria. (Gambar: Go-Ahead Singapore)
SINGAPURA: Go-Ahead Singapore pada Selasa (15 Sep) menyatakan ia sedang memperkukuh sokongan bagi para kapten basnya yang bertugas di Tampines, selepas para penduduk mengadu berhubung masa menunggu yang lebih lama sejak pengendali tersebut mengambil alih khidmat bas di kawasan tersebut.
Go-Ahead mengambil alih 27 laluan bas di Tampines daripada SBS Transit pada Julai selepas dianugerahkan kontrak bernilai S$646 juta oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) tahun lalu.
IKLAN
Namun, sejak itu, para penduduk Tampines mengadu bahawa perjalanan bas harian mereka menjadi kurang menentu, dengan masa menunggu yang lebih lama dan beberapa bas tiba hampir serentak, kata Anggota Parlimen Baey Yam Keng (PAP-Tampines) minggu lalu.
Pengendali khidmat bas tersebut menyatakan ia sudah menempatkan lebih ramai kakitangan di Tampines untuk menyokong para kapten bas dan penumpang sepanjang tempoh peralihan.
Menurutnya dalam satu catatan Facebook, langkah itu khususnya bertujuan membantu para kapten bas yang masih membiasakan diri dengan laluan, keadaan jalan raya dan operasi baharu.
"Rakan-rakan sekerja kami ditempatkan di pusat pertukaran bas dan perhentian bas utama untuk memantau khidmat dengan teliti, menguruskan jarak masa antara bas dan bertindak mengikut keadaan di lapangan," menurut Go-Ahead, sambil menambah bahawa langkah tersebut membolehkan para kapten bas menerima sokongan dan panduan tepat pada masanya.
Pengendali khidmat bas itu menyatakan ia "komited sepenuhnya" untuk memperkukuh khidmatnya dan menyediakan perjalanan yang lebih selamat, boleh dipercayai dan konsisten bagi para penumpang di Tampines.
IKLAN
"Sedang kami melalui tempoh peralihan ini, yakinlah bahawa kami akan terus mendengarkan maklum balas penumpang, menyokong para kapten bas kami dan saling menjaga antara satu sama lain," menurutnya.
ISU PERALIHAN
Encik Baey, yang juga Menteri Negara Pengangkutan, berkata dalam satu catatan di Facebook pada Ahad bahawa beliau dan para pemimpin akar umbi bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi Go-Ahead selepas aduan tersebut diterima, dan syarikat itu mengakui terdapat beberapa isu dalam tempoh peralihan.
"Kira-kira 40 peratus kapten bas GAS (Go-Ahead Singapore) yang mengendalikan kontrak baharu ini merupakan kakitangan baharu, justeru mereka memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan laluan dan operasi," kata Encik Baey.
Go-Ahead juga menggunakan sebuah depoh bersepadu baharu di East Coast, di mana bas diletakkan, dibersihkan dan diselenggara. Setiap pagi, bas dihantar dari depoh tersebut ke pusat-pusat pertukaran bas.
IKLAN
Encik Baey berkata perubahan itu bermakna para kapten bas yang sudah terbiasa dengan depoh SBS Transit sebelum ini perlu membuat penyesuaian, termasuk laluan tanpa penumpang dari dan ke depoh, masa perjalanan dari rumah, serta lokasi dan jadual waktu makan dan rehat untuk minum kopi.
Penyesuaian tersebut boleh menjejas kehadiran dan prestasi kerja mereka, sekali gus secara tidak langsung menjejas khidmat bas, tambah beliau.
"GAS menyatakan kebanyakan isu tersebut sudah diselesaikan," kata Encik Baey. "GAS juga memberi jaminan kepada kami bahawa ia sedang memperkukuh latihan dan sokongan bagi para kapten basnya."
Encik Baey berkata beliau dan para pemimpin akar umbi mencadangkan pemantauan khusus di perhentian bas utama untuk mengukur masa menunggu, mengenal pasti kelengahan berulang dan kejadian di mana beberapa bas tiba hampir serentak, serta menentukan langkah pembetulan yang diperlukan.
Beliau menambah bahawa mereka akan mengambil langkah susulan dengan LTA dan Go-Ahead, selain terus memantau khidmat yang terjejas.
IKLAN
Kontrak bagi pakej bas Tampines itu adalah untuk tempoh lima tahun, dengan pilihan bagi LTA melanjutkannya antara dua hingga lima tahun lagi.
Pakej tersebut dibuka untuk tender pada Disember 2024 dan menerima bidaan daripada SBS Transit, SMRT Buses, Tower Transit Singapore dan Go-Ahead.
LTA menyatakan usulan-usulan tersebut dinilai menerusi proses dua peringkat, dengan penilaian mutu dilakukan sebelum tawaran harga dibuka.
Menurut LTA, Go-Ahead meraih markah keseluruhan tertinggi dan menawarkan penjimatan kos berbanding kontrak ketika itu.
Go-Ahead pertingkat sokongan kapten bas selepas penumpang Tampines laporkan masa tunggu lebih lama
Go-Ahead Singapore pada Selasa (15 Sep) menyatakan ia sedang memperkukuh sokongan bagi para kapten basnya yang bertugas di Tampines, selepas para penduduk mengadu berhubung masa menunggu yang lebih lama sejak pengendali tersebut mengambil alih khidmat bas di kawasan tersebut.