Edisi Utara : ‘Saya tak akan jual’
Oleh Zulfa Mohamad
KEPALA BATAS: Jika ada pihak yang berminat membeli pokok pinang atau seludang berwajah manusia di Kampung Paya di sini, hasrat itu perlu dibatalkan kerana pemiliknya tidak bercadang menjualnya.
Ada khabar angin di kalangan pengunjung mahu membeli pokok pinang berkenaan pada harga RM15,000 tetapi Harian Metro difahamkan setakat ini tiada pihak tampil berbuat demikian.
Pemilik rumah berhampiran pokok pinang berkenaan, Abdullah Baharom, 53, berkata dia sebenarnya tidak tahu pengunjung berhasrat untuk membeli pokok pinang terbabit.
Menurutnya, setakat ini, tiada pihak yang datang menemuinya selepas Kampung Paya menjadi tumpuan sejak sembilan hari lalu.
“Tiada siapa datang berjumpa saya pun. Kalau tawar RM30,000 pun saya tidak akan jual. Ia satu ujian...banyak mana pun wang akan habis begitu saja,” katanya.
Kawasan sekitar pokok pinang itu dalam pemantauan ahli kariah, Pejabat Agama Daerah Kepala Batas dan polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Malah, Pejabat Agama Kepala Batas turut melekatkan notis mengikut Seksyen 3 (1) & (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 menjelaskan kesalahan memuja alam semula jadi boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Wajah manusia pada seludang pokok pinang berkenaan dikatakan akan kekal sehingga dua minggu lagi sebelum kering.
Pelbagai tafsiran diberikan termasuk yang mendakwa wajah manusia pada pokok pinang berkenaan ibarat sepasang kekasih kerana satu lagi seludang didakwa hampir menyerupai wajah manusia.
Bagaimanapun, seorang aktivis agama di sini, memberitahu Harian Metro tafsiran perlu dibuat mengikut al-Quran supaya lebih tepat.
Menurutnya, wajah manusia pada pokok pinang berkenaan seperti wajah orang tua mengadap kiblat dan dalam keadaan bersedih manakala satu lagi seludang membelakangkan kiblat.
“Ia mempunyai maksud tersirat yang cuba disampaikan kepada semua orang Islam,” katanya.