SEREMBAN: Kapten pasukan Bawah 22 Tahun (B22) negara, Mohammad Faris Shah Mohd Rosli berjanji dia dan rakan sepasukan akan membenam Filipina dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Bekas pemain Harimau Muda itu berkata, walaupun ia hanya aksi persahabatan tetapi mereka menggalas cabaran negara dan perlu mempertahankan maruah dengan catatan kemenangan menewaskan Filipina.
Dia akui reputasi Filipina yang dibimbing Dan Padernal mempunyai kekuatan tersendiri namun rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik.
"Walaupun kami baharu dapat dikumpulkan dalam tempoh singkat, tetapi ia tidak akan menjejaskan persiapan dan rentak pasukan kerana terdapat sebahagian pemain yang sudah diuji dalam aksi Liga Malaysia.
"Saya yakin, semua rakan sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit kepada Filipina dan kami akan berusaha memberikan persembahan terbaik dengan komitmen 100 peratus demi menterjemahkan perancangan dibuat ketua jurulatih (Frank Bernhardt)," katanya.
Sementara itu, Bernhardt berkata, walaupun hanya dapat mengumpulkan sepenuhnya pemain dalam tempoh singkat, namun ia tidak menjejaskan perancangannya membentuk pasukan mantap khususnya bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang skuad B-22 Filipina diikuti pasukan kebangsaan Nepal, Ahad ini.
Pengendali dari Jerman itu berharap anak buahnya dapat memperagakan aksi mantap.
"Perlawanan ini penting bagi menguji prestasi semasa pasukan, walaupun pemain baharu dapat dikumpulkan, namun saya yakin mereka dapat memperagakan aksi mantap dan mencapai keputusan positif," katanya.