BTC USD 83,196.9 Gold USD 4,258.34
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Fenomena Muslim ramadhan ??? Mengapa ???

Abu Ubaidah

Fun Poster
Messages
535
Joined
Jul 2, 2014
Messages
535
Reaction score
27
Points
20
Ramadhan : Antara ‘Muslim Ramadhan’ Dan Muslim Sejati

KESEMPATAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan yang mulia telah pun tiba. Pada bulan inilah dibuka pintu rahmat, ditutup pintu neraka, dan dirantai syaitan-syaitan. Inilah bulan yang dipilih Allah sebagai bulan puasa, satu ibadah yang dilakukan semata-mata untuk-Nya. Allah telah memberi bulan ini keutamaan atas bulan-bulan lain dengan menjadikannya bulan rahmat dan ibadah bagi sekalian hamba-Nya yang beriman. Inilah bulan terhebat kerana pada bulan inilah diwahyukan Al-Quran, juga suhuf Ibrahim dan Musa, serta kitab Zabur dan Injil.


Sudah menjadi kebiasaan pada bulan ini, kaum muslimin akan meningkatkan amalan untuk memperoleh ganjaran yang melimpah dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Perkara ini telah berlaku sepanjang sejarah keberadaan Islam. Ini adalah petanda baik bahawa api Islam masih marak dalam hati-hati kaum Muslimin sedunia.


Semua orang Islam yang sudah baligh diwajibkan berpuasa pada bulan ini, menahan diri dari makan dan minum daripada terbit hingga terbenamnya matahari. Minda kita dengan mudah dapat mengaitkan rasa lapar dan dahaga yang dirasai sepanjang hari kepada sebab kita berpuasa, iaitu sebagai pengabdian kepada Allah swt.
Namun begitu, bagi sebahagian daripada kaum muslimin, Ramadhan bukanlah bulan menambahkan amalan di samping terus melaksanakan kewajipan. Sebaliknya, Ramadhan adalah bulan perubahan sementara bagi kebanyakan dari kita. Satu fenomena masa kini yang tidak pernah wujud pada zaman awal Islam iaitu ‘Muslim Ramadhan’ – seorang Islam yang memang namanya Islam, tetapi perbuatannya hanya Islam sebulan dalam setahun.
Contoh individu-individu ini begitu banyak, hinggakan kewujudan sekumpulan ‘Muslim Ramadhan’ dalam masyarakat Islam sama ada di Barat atau di Timur adalah fenomena biasa. Inilah orang-orang Islam yang biasanya kurang mengamalkan Islam, tetapi dengan tidak semena-mena berubah menjadi orang-orang Islam yang kuat beramal pada bulan mulia ini. Mereka mula mendirikan solat, berhati-hati dalam percakapan, mengawal amarah, menundukkan pandangan, dan meningkatkan zikrullah. Di samping amalan wajib, mereka juga berlumba-lumba mengerjakan amalan sunat seperti solat tarawih dan membaca al-Quran, maka penuhlah masjid-masjid sepanjang hari dibulan ini.


Perbuatan-perbuatan haram juga biasanya dijauhi pada bulan Ramadhan. Perbualan tentangnya menjadi sesuatu yang menjijikkan. Bahkan muda-mudi Islam sedaya mungkin tidak berbual malah sebaliknya menjauhi aktiviti bersukaria, melepak, merayau-rayau tanpa tujuan, berpacaran meskipun inilah hobi popular mereka pada bulan-bulan lain sepanjang tahun.


Contoh-contoh ‘Muslim Ramadhan’ ini boleh dilihat baik dalam golongan muda mahupun tua. Bagi sebahagian yang tua, kad loteri tidak lagi dimainkan, mereka menahan diri daripada memaki-hamun, dan dapat mengawal amarah mereka terhadap anggota keluarga semasa Ramadhan.


Malang sekali, sebaik sahaja Ramadhan berakhir, semua kebaikan yang dilihat serta-merta terbalik 180 darjah. Kepala wanita yang bertudung kembali terdedah, menyalalah kembali api amarah menggantikan kesabaran, lenganglah masjid-masjid, Al-Quran kembali terbiar di rak dan kembalilah tabiat bersukaria. Permusuhan dan kebencian atas perbezaan bangsa dan daerah/negeri dan pelbagai lagi perangai-perangai yang tidak senonoh mewarnai semula aktiviti harian.


Jelas di sini bahawa hakikat Ramadhan tidak difahami sepenuhnya oleh kebanyakan orang Islam. Sungguh sedih melihat Ramadhan al-mubarak disambut sebagaimana penganut-penganut agama lain menyambut peristiwa-peristiwa keagamaan mereka, dari segi mereka melakukan perubahan sikap iaitu hanya untuk sementara.



MENGAPA...?

Mengapa ramai dikalangan kaum muslimin bersikap begini bukanlah suatu yang misteri. Sikap beragama secara sambilan inilah yang diamalkan dalam masyarakat kita kini. Dalam peradaban Barat, agama dipandang sebagai hal peribadi, terhad kepada sekumpulan upacara dan adat (ritual) yang tidak wajar memainkan peranan dalam seluruh aktiviti kehidupan manusia.


Hampir keseluruhan dari kaum Muslimin mengisytiharkan keislaman mereka secara terbuka, namun pada masa yang sama menganut pemikiran yang mengakui Allah dan al-Quran hanya sebulan dalam setahun atau hanya dalam peribadatan ritual semata. Seorang Islam yang bersikap begini terhadap Islam dan Ramadhan, sebenarnya tidak jauh bezanya (menyerupai) dengan orang Kristian/kafir yang berkelakuan sesuka hatinya, kemudian pergi ke gereja pada hari Ahad atau semasa upacara Lent, mengharapkan terampun dosanya.
Mereka-mereka yang perpegangan sedemikian biasanya menjadi sangat emosional semasa Ramadhan lalu menghabiskan berjam-jam untuk bersembahyang dan berdoa. Bahkan ada yang menyimpan televisyennya, menganggap televisyen sebagai kejahatan.


Biasanya mereka rasa bersalah atas perbuatan-perbuatan mereka sepanjang tahun seperti hubungan terlarang atau interaksi mereka dengan berlainan jantina, caci-maki, membuat pinjaman berasaskan riba (interest, bunga, faedah) untuk pembiayaan perumahan dan kereta, meninggalkan solat, bahasa kesat, mengumpat dan pengabaian kepada orang tua atau anak-anak mereka. Berubah menjadi taat pada bulan Ramadhan adalah satu percubaan untuk mereka membersihkan diri dan mengisi ‘kekuatan roh’ yang dirasakan lemah. Kesannya hanyalah sementara. Selepas Ramadhan, perbuatan-perbuatan itu beserta kesalahan-kesalahannya dat! ang kembali.


Rasa resah dan bersalah ini tidak hilang dari diri orang-orang sebegini. Percaya dari satu segi bahawa kita yakni manusia adalah ciptaan Allah swt yang Maha Pencipta dan Pengatur dan tujuan hidup kita ialah mengabdikan diri kepada-Nya, dan dari segi lain pula tidak memperdulikan agama ini dalam kehidupan; sudah tentu adalah satu hal yang meresahkan. ini kerana berlaku pertentangan yang jelas dimana disatu sisi kita percaya bahawa Allah adalah pencipta dan Dia berkuasa sepenuhnya ke atas kita/manusia, tetapi disatu sisi yang lain kita tidak mengiktiraf dan menjadikanNya berkuasa di dalam urusan kehidupan kecuali yang berkaitan dengan ibadah. Misalnya, seorang Islam yang amat menjaga solatnya tetapi mengambil pinjaman berasaskan riba/interest/bunga/faedah yang jelas diharamkan oleh Allah swt. Ini adalah satu dari sejuta contoh perlakuan yang! berlegar di dalam kehidupan kaum muslimin hari ini.



Inilah dilema sebenar ‘Muslim Ramadhan’ – keperibadian yang bercampur-baur, bingung, di persimpangan antara Islam dan nilai-nilai Barat sekular. Keperibadian ini tiada keagungan, malah tiada hala tuju yang jelas sebaliknya dipenuhi dengan kepalsuan, hipokrit dan kecelaruan.


Bersikap jujurlah kepada diri sendiri, dan tanyakan diri kita soalan-soalan ini:
Adakah kita menyangka bahawa al-Quran yang diturunkan pada bulan ini oleh Pencipta Allah swt sebagai petunjuk hanya pada bulan Ramadhan atau hanya untuk sebahagian dari aspek kehidupan kita?
Adakah kita menyangka bahawa berpuasa pada bulan ini kemudian kembali meninggalkan kewajipan kita sebagai seorang Islam boleh mendatangkan keampunan kepada kita? Inikah asas yang kita pegang untuk menyangka bahawa tidak mengapa kita menjauhkan diri dari Islam pada bulan-bulan lain? Adakah kita menyangka bahawa dengan hanya menjaga urusan ibadah/akhirat semata dan membiarkan urusan kehidupan/dunia akan menjamin kita di masukkan ke dalam syurga Allah swt?

ERTI SEBENAR RAMADHAN

Allah SWT berfirman:
“Bulan Ramadhan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penjelasan bagi petunjuk, dan penentu (al-Furqan)” [surah Al-Baqarah 2: 185]
Wajarlah kita menyedari bahawa Islam datang untuk mengatur kehidupan manusia (dari urusan ibadah hinggalah urusan keduniaan). Allah menurunkan al-Quran pada bulan berkat ini supaya ia menjadi al-Furqan, pemisah hak dan batil bagi semua tindakan kita sepanjang 12 bulan dalam setahun.
Islam berbeza dengan agama Kristian, Yahudi dan lain-lain kepercayaan, kerana Islam adalah deen sebenar; cara hidup yang lengkap yang memperincikan hukum-hukum syara’ dan penyelesaian semua masalah hidup. Allah bukan sahaja mewahyukan kepada kita cara-cara berpuasa, malah juga perincian cara-cara berurus niaga secara halal, menjauhkan riba (faedah) dan kontrak-kontrak (akad/perjanjian) yang haram. Bagaimana untuk menjalani kehidupan di dunia tanpa berintegrasi dengan budaya Barat dan mengamalkan nilai-nilai korupnya. Bagaimana membesarkan dan mendidik anak-anak dan menjaga mereka daripada budaya kufur yang dilontarkan oleh masyarakat. Bagaimana rumah-rumah Allah - masjid-masjid - dijadikan pusat Islam yang terbuka kepada golongan tua dan muda, bukannya tempat yang dijauhi. Allah SWT mewahyukan kepada kita peraturan yang terperinci d! alam semua perkara dari urusan individu hinggalah urusan negara, sebagaimana Dia mewahyukan kepada kita cara-cara berpuasa dan melakukan perbuatan yang digalakkan pada bulan Ramadhan.
Ramadhan sewajarnya menjadi bulan untuk kita tambah mengingati Allah, bukannya bulan ketaatan sementara kepada perintah-Nya. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu beroleh taqwa” [surah Al-Baqarah 2: 183]
Kata ‘taqwa’ datang dari kata ‘waqiya’, maknanya memelihara. Iaitu memelihara diri dari kemurkaan Allah dan hukuman-Nya. Kerana itulah kata taqwa digunakan untuk menjelaskan perbuatan melakukan apa yang diredhai Allah (halal) dan meninggalkan apa yang dibenci-Nya (haram).


Taqwa secara dasarnya bermaksud kesedaran tentang Tuhan – menyedari akan kewujudan Allah dalam semua perbuatan dan urusan kita. Berpuasa sewajarnya dapat membantu kita memperoleh taqwa kerana ia meletakkan kita dalam suasana ketaatan kepada Allah. Setiap kali kita berasa lapar atau penat semasa berpuasa, kita tahu bahawa kita melakukannya kerana taatkan Allah. Inilah yang membantu kita menyedari hubungan kita dengan Allah SWT.
Umar bin Al-Khattab pernah melihat orang-orang yang sedang bersembahyang lalu berkata, “Banyaknya bilangan kamu menaikkan dan menundukkan kepalamu tidak dapat memperdayakanku. Deen yang sebenar ialah bersikap berhati-hati dan tepat dalam Deen Allah, menjauhi larangan Allah, dan berkelakuan dengan berpandukan kebenaran dan larangan Allah.”
Anak kepada ‘Ali RA, Al-Hassan RA pernah berkata, “Orang-orang yang bertaqwa (al-Muttaqun) adalah mereka yang menjauhi apa saja yang dilarang Allah dan melakukan apa saja yang Allah perintahkan.”


‘Umar bin Abdul Aziz RA pula pernah berkata, “Taqwa bukanlah dengan berpuasa pada siang hari, dan bukan juga dengan solat pada malam hari, dan bukan juga dengan kedua-duanya sekali. Tetapi taqwa ialah meninggalkan apa yang telah diharamkan Allah dan melakukan apa yang difardukan Allah. Setelah ini dapat dilakukan, Allah SWT akan memberikan perkara-perkara baik kepada orang itu”.
Ibnu Juzayy dalam kamusnya istilahnya berkata dari pengenalan kepada tafsirnya:
“Makna taqwa ialah takut, berpegang teguh kepada ketaatan terhadap Allah dan meninggalkan derhaka terhadap-Nya. Inilah sekalian kebaikan.”


Untuk memperoleh taqwa dan supaya tidak dilabelkan ‘Muslim Ramadhan’, kita mesti mempunyai asas yang kukuh. Keimanan kita hendaklah berasaskan keyakinan, memahami dengan jelas bahawa Allah adalah Pencipta alam dan mengaitkan kesedaran ini kepada perbuatan-perbuatan kita. Kepercayaan atau keimanan kita bukanlah seperti kepercayaan orang-orang Kristian atau lain-lain agama dan kepercayaan yang tidak terbukti. Kewujudan Allah dan keunggulan al-Quran adalah kebenaran hakiki kepada kita sebagaimana kita mempercayai bahawa api boleh membakar atau kita adalah makhluk hidup. Untuk mencapai keimanan ini, kita mestilah mempergunakan akal yang dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT, bukannya meniru orang lain secara membabi-buta tanpa sebarang kefahaman.
Ibn Abbas RA berkata, “Cahaya keimanan ialah berfikir.”
Dengan merenungi buah-buah tamar yang kita makan untuk berbuka, serta kelaparan yang kita rasai dalam puasa kita, sudah cukup untuk memberikan kita kesimpulan bahawa kita ini sangat memerlukan dan bergantung kepada Sang Pencipta. Seluruh alam ini dan isinya adalah bukti yang cukup tentang kewujudan Allah dan menghancurkan metos-metos teori evolusi mahupun ‘big bang’.
Al-Quran yang kita baca dibulan puasa ini tidak seperti mana-mana buku atau kitab yang ditulis oleh manusia. Ia adalah mukjizat yang membuktikan kebenaran Islam tanpa keraguan walau sedikit manapun. Allah SWT mencabar umat manusia untuk mendatangkan satu surah sepertinya yang mana manusia gagal untuk melakukannya. Malah Amerika yang membelanjakan berbillion dolar untuk menentang Islam, apa yang sepatutnya dilakukannya ialah mencipta satu surah yang ditujukan kepada 1.5 bilion umat Islam supaya murtad dan meninggalkan Islam. Ia telah gagal, sebagaimana mereka-mereka yang cuba untuk merealisasikan tindakan yang mustahil, memandangkan perbuatan mencabar Al-Quran ini telah disarankan oleh Allah SWT.


Memiliki keimanan yang kukuh, mantap dan tidak berbelah bagi memberikan peluang kepada umat Islam untuk menerima hakikat dirinya sebagai hamba Allah SWT dan membolehkannya menyerahkan diri dengan sepenuhnya untuk tunduk dan patuh akan segala suruhan dan meninggalkan larangannya, sebagai jalan mencapai ketaqwaan.

Ia dilakukan dengan menyedari dan mengaitkan kewujudan Allah dalam setiap perbuatan kita yang mana ini akan membentuk ‘Syahsiyyah Islamiah’. Seorang Muslim itu tidak menganggap manfaat atau keseronokan sebagai faktor yang menentukan sesuatu perbuatan itu betul atau salah, maka dia akan berpuasa sepanjang hari, bangkit di awal pagi untuk bersolat Subuh, berkongsi makanan dengan orang lain, mengelakkan rangsangan dan aktiviti yang menjejaskan akhlak, mengelakkan segala yang haram dan melibatkan diri dalam aktiviti dakwah untuk mengembalikan kehidupan Islam tanpa mengenal penat-lelah. Sikap tidak mementingkan diri sendiri inilah yang mengalahkan pihak Barat yang terlalu taksub untuk menuruti hawa nafsu dan keinginan mereka.


Islam sepatutnya mengalir dalam urat nadi kita sehingga kita berfikir dan berperasaan selaras dengannya. Inilah yang membolehkan umat Islam tetap teguh bertahan dalam Perang Badar dalam tahun kedua Hijrah. Pada satu pagi Jumaat 17 Ramadhan, Nabi saw mengetuai umat Islam yang nisbahnya dengan pihak musuh 3:1, yang mana 305 orang-orang beriman mengalahkan 900 orang kafir. Pihak Quraish telah dimalukan dan kemenangan berpihak kepada umat Islam.


Keyakinan inilah yang telah membentuk keperibadian (syahsiyyah) umat Islam disepanjang zaman sehinggakan sejarah yang tercatat dalam sirah menceritakan tentang contoh-contoh kekuatan, semangat, keazaman dan ketaqwaan.


Keimanan dan pemahaman inilah yang mendorong umat Islam dibawah kepimpinan Tariq bin Ziyad yang berjaya membebaskan Sepanyol di bulan Ramadan tahun 92 Hijrah. Dalam bulan penuh pengorbanan ini jugalah dalam tahun 1187 Masehi Salahuddin Al Ayubi berjaya mengalahkan tentera-tentera Perang Salib. Pada bulan ini. Umat Islam berjaya menewaskan pasukan Tentera Salib tempatan yang sepatutnya mampu mempertahankan penguasaan Tentera Salib di Bahagian Timur (Near East). Dengan hanya kekuatan tentera seramai 12,000 orang, mereka berjaya mengalahkan Tentera Salib dan mengembalikan Al-Quds (Baitulmaqdis) ke tangan yang berhak yakni umat Islam.

KESEMPATAN DARI RAMADHAN
Allah SWT mengizinkan setiap dari kita untuk menyaksikan kembali bulan Ramadan yang dapat kita manfaatkan dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ilallah), dengan melakukan taubat yang bersungguh-sungguh dan ikhlas, dan memohon belas kasihan dan keampunan dari-Nya. Kepada mereka-mereka yang tergolong dalam kalangan “Islam Ramadan” (hanya mengamalkan Islam dibulan Ramadan sahaja), kita hendaklah menjadikan bulan Ramadan ini sebagai masa untuk berubah sepenuhnya yang mana kita mengubah keperibadian kita sepenuhnya berlandaskan syariat Islam agar kita tetap berdiri teguh disepanjang hidup kita. Kepada mereka-mereka yang telah dan sedang melaksanakan dan mengamalkan Islam, jadikanlah saat ini sebagai masa untuk kita melipat-gandakan usaha kita untuk mendapat ganjaran dan memperkuat dan mengeratkan hubungan kita dengan Allah SWT.


Sesungguhnya, orang yang gagal memanfaatkan bulan Ramadan ini adalah orang–orang yang rugi, dan wajar untuk dijauhkan dari Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda,
”Puasa adalah perisai seorang hamba yang melindungi dirinya dari api neraka” [HR Ahmad]


Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi saw telah naik ke mimbar dan bersabda, “Amin, amin, amin”. Dikatakan seseorang bertanya, “Ya Rasulullah, kamu naik mimbar dan berkata, “amin, amin, amin”?” Nabi bersabda, “Jibril datang kepadaku dan berkata, “ Barangsiapa yang melalui bulan Ramadan tanpa dosanya diampunkan dan memasuki neraka, lalu Allah akan menjauhinya, maka sebutlah “amin”, Maka aku pun berkata “amin”. [HR Ibn Khuzaimah, Ahmad & Al Baihaqi]


Rasulullah saw telah bersabda, “Ramadan telah datang kepadamu. (ianya) adalah satu bulan keberkatan, yang mana Allah melimpahkan rahmatNya, Dia menurunkan belas-kasihan, mengurangkan dosa dan memakbulkan doa. Di dalamnya, Allah melihat kamu berlumba-lumba (dalam amal kebajikan) dan berbangga denganmu dihadapan para malaikat. Maka, tunjukkan (amal) kebaikanmu kepada Allah, kerana orang yang malang itu ialah orang yang (dalam bulan ini) tidak mendapat belas-kasihan dari Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Tinggi [HR Tabarani].


Rasulullah saw bersabda, “Dia dari kalangan orang-orang yang bersolat akan dipanggil dari pintu solat (di dalam syurga) dan dia dari kalangan orang-orang yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad, dan dia dari kalangan orang-orang yang menderma/bersedeqah untuk kebajikan (seperti zakat) akan dipanggil dari pintu derma/sedeqah. Dan dia dari kalangan yang berpuasa akan dipanggil dari pintu puasa, pintu raiyan”. Abu Bakar berkata, “Dia yang dipanggil dari kesemua pintu tidak perlukan apa-apa”. Beliau menambah, “Adakah ada orang yang dipanggil dari kesemua pintu-pintu itu, Ya Rasulullah? Baginda bersabda, “Ya, dan aku berharap kamu adalah dari kalangan mereka, wahai Abu Bakar” [HR Bukhari]


Abu Said Al-Khudri meriwayatkan dari Rasulullah saw yang bersabda, “Tidak ada hamba yang berpuasa sehari semata-mata kerana Allah melainkan Allah akan menjauhkannya dari api neraka sejauh 70 tahun dari mukanya” [Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Ibnu Majah, Nasa'i kecuali Abu Daud]


Abdullah bin Umar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Puasa dan Quran adalah dua perantara (yang mendoakan/ memohon) bagi pihak hamba Allah pada Hari Kebangkitan. Puasa akan berkata, “ Ya Allah, aku melindunginya dari makanan dan nafsu diwaktu siang hari. Biarlah aku menjadi perantara untuk memohon kepada Allah bagi pihaknya. Dan permohonan mereka akan dimakbulkan” [HR Ahmad]
Abu Umamah meriwayatkan, “Aku mendatangi Rasulullah dan berkata, “Perintahkanlah aku untuk melakukan suatu amalan yang membolehkan aku memasuki Syurga”. Baginda SAW menjawab, “Tetaplah berpuasa, kerana tidak ada yang setanding dengannya”. Kemudian aku mendatanginya lagi dan baginda menjawab lagi, ”Tetaplah berpuasa”. [HR Ahmad, an-Nasa’I, dan al-Hakim]
Marilah kita memastikan kita memandang serius kata-kata junjungan besar kita Nabi Muhammad saw yang bersabda.

”Barangsiapa yang tidak henti berkata dan melakukan keburukan, Allah tidak memerlukan mereka untuk meninggalkan makanan mereka” [HR Bukhari]

Riwayat dari Rasulullah saw yang kita kasihi ini sepatutnya dijadikan amaran kepada semua umat Islam yang hanya berpegang teguh pada Islam semasa bulan Ramadan tetapi mengabaikannya apabila Hari Raya Aidil Firtri menjelang tiba.

TINDAKAN/PERBUATAN YANG SEPATUTNYA DILAKUKAN

Kepada sesiapa yang bertaqwa, berpegang teguh kepada Islam dan hanya melaksanakan kewajipan serta menjauhi larangan Allah secara minima adalah tidak cukup sekiranya dia mahu beristiqamah dalam membina syahsiyyahnya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Bulan Ramadan mengandungi banyak peluang untuk memperolehi ganjaran tambahan dengan cara melakukan amalan yang diredhai Allah SWT.


Rasulullah saw memberitahu para sahabat pada hari terakhir bulan Sya’ban dengan bersabda,
“Wahai umatku! Bulan yang mulia telah datang kepadamu; bulan yang berkat, bulan yang mana satu malam adalah lebih baik dari seribu bulan, bulan yang mana Allah mewajibkan kamu berpuasa disiang hari, dan melakukan solat sunat diwaktu malam. Barangsiapa yang mendekatkan dirinya (kepada Allah) dengan melakukan amalan-amalan (nawafil) kebajikan dalam (bulan ini) akan menerima ganjaran pahala yang sama seperti melakukan amalan yang wajib di bulan-bulan lain, dan barangsiapa melakukan amalan fardu (di bulan ini) akan menerima ganjaran pahala seperti melakukan 70 fardu di bulan-bulan lain. Inilah bulan untuk (menguji) kesabaran, dan ganjaran pahala atas kesabaran adalah syurga. Inilah bulan untuk bersedekah, dan bulan yang mana rezeki orang-orang beriman ditambah. Barangsiapa memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan diampunkan dosanya, dan dia akan diselamatkan dari api neraka, dan dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sendiri” [HR Ibnu Khuzaimah]


Ada beberapa amal perbuatan tertentu yang digalakkan di bulan ini seperti makan sahur, bersolat terawih, melakukan umrah, melakukan qiamullail dan memberikan makan kepada orang yang berpuasa.
Ada banyak pahala yang akan diperolehi oleh orang yang bersahur iaitu makan sebelum solat subuh dan orang yang mengajak orang lain berbuka puasa dengannya.


Rasulullah SAW bersabda, “Makanlah sahur kerana terdapat keberkatan di dalam nya”.


Nabi saw juga bersabda, “Barangsiapa yang mengajak seseorang untuk berbuka puasa dengannya akan mendapat pahala sama dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sendiri”.
Di malam-malam dalam bulan ini terdapat banyak peluang untuk bertaubat dan melakukan amalan-amalan tambahan, samada melalui solat terawih berjemaah atau solat tahajud yang dilakukan secara individu dan dengan mengingati Allah SWT dengan berzikir, dan dengan memuji dan mengagungkan Allah SWT di dalam hati dan secara lisan.


Abu Hurairah berkata, “Aku mendengar Rasulullah bersabda, “Orang yang melakukan solat malam (untuk beribadat kepada Allah) dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan kesemua dosanya”.


Ramadan adalah bulan yang mana ganjaran melakukan ibadat umrah sama dengan melakukan ibadat haji. Rasulullah saw bersabda kepada seorang wanita dari puak Ansar, “Jika ini bulan Ramadan, lakukanlah umrah kerana ia setaraf dengan Haji” [HR Nisaa’I]
Bersolat dengan penuh kekhusyukan di malam lailatul qadar akan mendapat pahala yang besar kerana ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.


Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan” [Surah Al Qadr 97:1-3]

MENGEKALKAN ISTIQAMAH

Ujian sebenar adalah beristiqamah dalam beribadat selepas berakhirnya bulan Ramadan. Mematuhi hukum syarak adalah lebih mudah dalam persekitaran atau atmosfera Islamik, apabila kebanyakan dari ahli keluarga anda dan rakan-rakan anda melakukan hal yang sama. Walaubagaimanapun, sejurus setelah berakhirnya bulan Ramadan apabila keadaan kembali seperti sediakala, atmosfera cenderung untuk berubah. Sekiranya aqidah sebenar seseorang adalah berasaskan keyakinan yang pasti dan dia memahami sepenuhnya makna Ramadan, dia akan tetap mampu bertahan dan berpegang teguh serta komited kepada Islam.


Jika kita merasakan kehidupan akan kembali seperti sediakala sejurus setelah berakhirnya bulan Ramadan dan kesan-kesan yang dibawa oleh bulan rahmat ini akan pudar dan sirna, maka kita perlu merenung sedalam-dalamnya akan sebab-sebab ianya terjadi. Dengan melakukan ini, kita akan menyedari bahawa kita mungkin memiliki kelemahan asas dalam pemikiran kita - contohnya kita masih lagi kabur dengan bukti-bukti kebenaran Islam itu sendiri, keputusan yang kita ambil mungkin hanya berdasarkan manfaat dan kepentingan peribadi dan bukan berlandaskan hukum syarak dan tidak mengaitkan dengan Allah SWT dan kehidupan selepas mati (Akhirat) dalam setiap perbuatan kita sehari-hari.


Jika inilah yang berlaku, kita perlu memperuntukkan masa untuk memikirkan jalan penyelesaian kelemahan-kelemahan ini dengan melakukan muhasabah diri, berfikir dan meminta bantuan dari orang-orang yang lebih berilmu dari kita. Proses muhasabah diri ini adalah satu kemestian kepada seseorang Muslim itu untuk sentiasa istiqamah dalam membina syahsiyyah Islamiah memandangkan fajar hari esok mungkin tidak lagi menyinsing dan kita sendiri tidak tahu adakah kita masih lagi mampu bernafas di bulan Ramadan yang akan datang. Maka, marilah kita berusaha melawan segala rintangan, tetap berpegang teguh, menerapkan Islam dan menjadi penyuluh jalan kepada orang lain kearah kebenaran.
Wasalam

Nota: diterjemahkan dari artikel asal 'Ramadhan Opportunity' dari laman www.ramadhan.org atau www.1924.org
 
Artikel yg menarik tt...alhamdulillah
 
TQ kongsi. panjang benar. kalau TT boleh ringkaskan bagus ni..
 
Ala copy paste ker.. Buat la artikel sendri tt.. Sbb kalo copy paste nie besenye org yg copy paste sendri pn xphm sepenuhnye artikel tersebut.. Aku igt nk bertnykan soalan tue kt tt.. Tp copy paste la plak..

P/s : Tt satu link xleh bukak dan satu link lg bahasa cina.. Xphm la plak..
 
dibulan Ramadhan ni mmg terasa
ketiadaan Iblis mengacau jiwa..
jiwa rasa tenang dan aman untuk
sujud kepada Allah SWT.
 
dibulan Ramadhan ni mmg terasa
ketiadaan Iblis mengacau jiwa..
jiwa rasa tenang dan aman untuk
sujud kepada Allah SWT.

Setuju dgn penerangan Tuan..
 
Ala copy paste ker.. Buat la artikel sendri tt.. Sbb kalo copy paste nie besenye org yg copy paste sendri pn xphm sepenuhnye artikel tersebut.. Aku igt nk bertnykan soalan tue kt tt.. Tp copy paste la plak..

P/s : Tt satu link xleh bukak dan satu link lg bahasa cina.. Xphm la plak..

Nak tanye soalan apa? :)
 
Back
Top
Log in Register