balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Keadaan pantai Rusila yang lengang, petang semalam.
< 1 / 3 >
MARANG – Keadaan pantai di Rusila, Rhu Dua, Rhu Rendang dan Pulau Kekabu yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai berikutan fenomena ribuan kerang mendarat di pesisir pantai pada akhir bulan lalu, kini kembali lengang.
Tinjauan Sinar Harian, semalam, mendapati orang ramai tidak lagi berminat mengutip kerang kerana jumlah haiwan itu dikatakan semakin berkurangan berbanding dua minggu lalu, tambahan pula dengan keadaan cuaca panas terik.
Penduduk, Zainal Awang, 46, berkata, hanya penduduk setempat masih menjalankan aktiviti mengutip kerang di pantai berkenaan kerana orang ramai tidak lagi berminat, selain tidak mahu mengambil risiko yang boleh membahayakan keselamatan mereka.
Tambahan pula katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) ada meletakkan papan tanda amaran di kawasan pantai di Kampung Rusila, di sini, bagi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menjalankan aktiviti tersebut.
“Hanya mereka yang tinggal berhampiran dan sudah biasa dengan keadaan pantai, masih menjalankan aktiviti mengutip kerang. Hasil kutipan juga tidak begitu banyak,” katanya.
Cuaca panas punca kerang kurang
Bagi seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Yusof, 60-an, cuaca panas juga menjadi penyebab kerang semakin berkurangan, namun ia tidak menjejaskan hidupan laut lain yang menjadi punca rezeki nelayan.
Menurutnya yang tinggal di Medan Jaya, pelbagai jenis ikan mudah ditangkap menggunakan jaring, sekali gus menarik perhatian nelayan sambilan sepertinya untuk mencari rezeki, tambahan pula jika cuaca baik.
“Walaupun kerang berkurangan, pelbagai jenis ikan mudah tersangkut pada jaring. Keadaan ini menyebabkan masih ada orang datang ke kawasan pantai ini,” katanya ketika ditemui di Pantai Rusila, di sini, semalam.
Polis keluar larangan
Terdahulu, fenomena ribuan kerang terdampar di pantai berkenaan bermula 21 November lalu menyebabkan orang ramai dari dalam dan luar daerah ini memenuhi kawasan pantai untuk mengutip haiwan itu tanpa memikirkan keselamatan masing-masing.
Malah, orang ramai tetap berdegil dan memenuhi kawasan pantai walaupun keadaan ombak serta cuaca tidak menentu ketika musim tengkujuh, tidak sesuai untuk sebarang aktiviti seperti mandi, berkelah dan mengutip kerang.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Risikin Satiman memberi amaran dan melarang orang ramai menjalankan aktiviti di sepanjang pantai berkenaan berkuat kuasa serta-merta apabila lebih 10 remaja hampir lemas di kawasan Pantai Rusila serta Rhu Dua sepanjang bulan lalu.
Kejadian itu turut melibatkan dua penuntut sebuah pusat pengajian tinggi berusia 19 tahun dari Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu dan dua remaja berusia 15 tahun dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu, yang hampir lemas di Pantai Rhu Dua selepas dihanyutkan ombak kuat.
Bagaimanapun, semua mangsa berjaya diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian, sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Klinik Kesihatan Marang untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam pada itu, pihak polis tidak berniat untuk menghalang orang ramai menjalankan aktiviti itu kerana tahu mereka mahu mencari rezeki, tetapi keselamatan dan nyawa lebih penting khususnya sepanjang musim tengkujuh.