combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Enam Didakwa Culik Warga Singapura, Minta Tebusan RM63,000
Enam individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura dengan tujuan mendapatkan wang tebusan SGD20,000 (RM63,000), awal bulan ini.
M. Balamurugan, 46; K. Saravanan, 40; P. Sri Devi, 41; G. Puganeswaran, 38; S. Gobinath, 38, dan X. Adwin Nicholas, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mereka didakwa dengan niat bersama menculik lelaki berusia 32 tahun itu bagi mendapatkan wang tebusan di hadapan sebuah gereja di Skudai, kira-kira 2 petang, 8 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam K. Veeranesh mewakili Sri Devi memohon jaminan atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan memiliki anak berusia antara setahun hingga 22 tahun, manakala tertuduh lain memohon jaminan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga tempatan, selain menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A. Shaarmini atas pertuduhan melarikan wanita warga Singapura berusia 33 tahun dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, antara 2 petang pada 8 Ogos hingga 6.30 petang 11 Ogos lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.