balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
GOMBAK – Ubat-ubatan sudah luput tarikh yang ditemui di kawasan Hutan Simpan Ulu Gombak di jalan lama Gombak-Bentong di sini memerlukan kos kira-kira RM30,000 untuk dilupuskan menggunakan kaedah insinerator.
Bagaimanapun, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dan mahu menjimatkan kos, sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur telah mengambil jalan mudah dengan membuang kesemua ubatan lama ke kawasan tersebut.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perkhidmatan Farmasi), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Hamat Ali berkata, kesemua ubat yang dicampak ke tapak buangan sampah haram itu merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di kawasan terbabit semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan penemuan ribuan kotak berisi ubat-ubatan yang sudah tamat tarikh luput bertaburan di kawasan terbabit.
Antara jenama ubat yang ditemui ialah Amcardia (rawatan darah tinggi) dan Resicalm (ubat pesakit mental).
Ubat itu difahamkan dibuang pada waktu malam menggunakan lori bagi mengelak dikesan penduduk setempat.
Tinjauan susulan Kosmo! bersama 10 pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang diketuai Hamat semalam turut membawa kepada penemuan mengejutkan apabila lapan jenis ubat lagi termasuk antibiotik dijumpai selepas kawasan pencarian diperluaskan.
Selain dilonggokkan di tepi jalan, banyak produk farmaseutikal lain dijumpai di kawasan gaung yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan raya.
Antara jenama ubat yang ditemui ialah Onegaba yang merupakan ubat tahan sakit untuk penyakit-penyakit kronik, Aurocef (antibiotik), Aucodil (ubat darah tinggi dan jantung) selain pil demam dan beberapa jenis lain yang belum dikenal pasti.
sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm