lempeng
Fun Poster
- Messages
- 895
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 895
- Reaction score
- 145
- Points
- 23
El Naddaha: Puaka Sungai Nil
~ Legenda jin betina dari pedalaman Mesir ~
Di kampung-kampung sepanjang Sungai Nil, orang tua-tua kat sana ada satu pesanan yang tak pernah berubah sejak berpuluh-puluh tahun:
"Jangan keluar malam-malam. Jangan pergi dekat sungai sorang-sorang. Kalau dengar suara perempuan memanggil nama kau... tutup telinga dan lari."
Nama dia El Naddaha.
Dalam bahasa Arab Mesir, ia bermaksud "Si Pemanggil."
Tak ada siapa yang pernah jumpa El Naddaha terlepas hidup-hidup untuk bercerita dengan betul-betul lengkap pasal dia.
Tapi dari serpihan-serpihan kisah yang dikumpulkan selama berdekad-dekad, beginilah gambaran yang terbentuk:
Dia seorang perempuan yang sangat cantik. Tinggi lampai. Kulit pucat macam cahaya bulan. Rambut hitam panjang yang basah, melekat di bahu dan belakang. Pakaiannya - gaun putih nipis yang lut sinar, macam baru keluar dari air. Dia akan berdiri tegak di tebing sungai.
Memerhati, menunggu.
Dan bila mangsa yang sesuai lalu... dia akan mula memanggil nama mangsa tu.
Orang kata, suara El Naddaha tu bukan sekadar merdu.
Ia ajaib.
Lembut macam rasa dibuai-niao. Sedih macam tangisan. Manis macam janji cinta yang tak pernah ditepati.
Dan yang paling menakutkan - dia akan memanggil nama mangsa. Nama penuh. Nama yang mak bapak mangsa bagi.
Macam mana dia boleh tahu? Itulah yang misterinya. Tak ada siapa yang faham. Tapi bila suara tu sampai ke telinga, mangsa akan terus terpukau. Matanya jadi kosong. Langkahnya jadi perlahan tapi pasti - menuju ke arah sungai.
Kawan-kawan yang ada sebelah? Diorang nampak dan sedar dengan apa yang sedang berlaku, tapi mangsa macam tak dengar dah suara diorang. Hanya suara El Naddaha yang ada dalam kepala dia.
Dikisahkan dari pedalaman Delta Nil, tahun 1960-an
Ahmad dan Mahmoud bersahabat sejak kecil. Malam tu, diorang berjalan pulang selepas menolong pakcik Ahmad di ladang kapasnya.
Jalan kampung yang diorang lalui tu ada satu bahagian yang selari dengan terusan, iaitu anak sungai Nil yang mengairi sawah-sawah di kawasan tu.
Malam tu memang gelap, tapi mujurlah bulan penuh. Kabus nipis merayap di atas permukaan air.
Tiba-tiba, Mahmoud berhenti.
"Kau dengar tak?" bisiknya dekat Ahmad.
Ahmad menajamkan telinga. Pada mulanya, hanya bunyi serangga malam. Kemudian... sayup-sayup... kedengaran macam ada orang menyanyi dari arah terusan.
Suara perempuan.
"Mahmoud..."
Suara tu menyebut nama sahabatnya dengan nada yang Ahmad tak pernah dengar sebelum ni. Sedih. Memujuk. Menggoda.
"Mahmoud... mai lah sini..."
Mahmoud mula menukar langkahnya ke arah air.
"Woi Moud! Kau nak pergi mana?!" Ahmad tarik tangan kawan dia.
Mahmoud menolak dengan kuat. Ahmad terkejut - Mahmoud ni badan kecik je, mana ada tenaga macam ni?
Mata Mahmoud dah berubah. Kosong. Macam orang kena pukau.
"Mahmoud... mai sini..."
"JANGAN!" Ahmad peluk kawan dia dari belakang, menahan dengan seluruh tenaga yang dia ada. "Tu bukan manusia! Tu El Naddaha!"
Mahmoud meronta. Menjerit dan cuba gigit tangan Ahmad.
Ahmad tetap tak lepaskan.
Diorang bergelut macam tu dalam gelap, selama entah berapa lama. Ahmad baca apa-apa ayat Quran dan surah yang dia ingat. Berkali-kali. Suara dia sampai serak menjerit.
Kemudian, tiba-tiba, Mahmoud jatuh lembik dalam pelukan dia.
Suara yang memanggil tu dah hilang.
Kabus mula surut. El Naddaha dah pergi.
Mahmoud sedar semula dengan muka basah dengan air mata dan peluh. Dia tak ingat apa-apa langsung, cuma rasa macam ada orang tarik dia ke dalam air yang gelap dan sejuk.
Diorang berdua lari balik ke rumah malam tu tanpa menoleh ke belakang.
Orang kampung kata, kalau kau selamatkan seseorang dari El Naddaha... kau pulak yang akan jadi mangsa dia seterusnya.
Seminggu selepas kejadian tu, Ahmad mula bermimpi tentang perempuan cantik berambut basah setiap malam.
Dia akan terbangun dengan perasaan gundah-gulana, resah… macam ada orang memanggilnya dari jauh. Suara yang lembut. Sedih. Menggoda.
Tiga hari lepas tu, Ahmad mula tak boleh tidur. Tak boleh makan. Matanya asyik memandang ke arah terusan.
Mak Ayah dia perasan dan mengadu pada orang kampung. Seluruh kampung kini tau apa yang sedang Ahmad alami.
"Dia kena 'culik' oleh Si Pemanggil," bisik orang tua-tua. "Takde ubat dah."
Malam keempat, Ahmad keluar rumah waktu semua orang tengah lena tidur.
Dia berjlan ke terusan dengan langkah yang tenang.
Keesokan paginya, tubuh Ahmad dijumpai terapung-apung di terusan - dah jadi mayat.
Tapi muka dia tenang. Macam tersenyum.
Apa Yang Terjadi Pada Mangsa?
Tak ada siapa yang tahu dengan pasti, sebab bila pagi datang, yang tinggal cuma mayat yang terapung.
Tapi orang tua-tua di kampung-kampung sepanjang Nil percaya tentang perkara ni:
El Naddaha akan tarik mangsa ke dalam air. Dia akan bawa mangsanya ke gua rahsia di dasar sungai - tempat yang gelap dan sejuk, di mana arus air mengganas.
Kalau dia tak suka mangsa tu, dia akan tenggelamkan terus sampai lemas.
Tapi kalau dia jatuh cinta...
Dia akan simpan mangsa tu dalam gua dia. Berminggu-minggu. Berbulan-bulan. Hidup bersama macam suami isteri.
Kemudian, bila dia dah bosan, atau bila dia takut mangsa tu akan lari... dia akan bunuh dan tanam tulang-temulangnya dalam tanah gua tu. Lepas tu, dia akan naik semula ke permukaan.
Mencari mangsa baru.
Tak ada siapa yang tahu asal-usul sebenar dia.
Ada yang kata dia jin betina yang terikat dengan Sungai Nil sejak zaman Firaun.
Ada yang kata dia roh perempuan yang kecewa - mungkin ditinggalkan oleh kekasih, mungkin mati lemas, mungkin dibunuh - dan sekarang mencari pembalasan ke atas semua lelaki.
Ada juga yang kata dia cuma puaka semangat Sungai Nil sendiri. Sungai yang memberi kehidupan kepada Mesir... tapi juga sungai yang menelan beratus-ratus nyawa setiap tahun kerana lemas.
Apa pun kebenarannya, legenda El Naddaha masih hidup sampai sekarang. Di kampung-kampung pedalaman Mesir, orang tua-tua masih bercerita tentang dia.
Dan bila malam bulan penuh tiba, bila kabus turun di atas permukaan Sungai Nil...
Tak ada siapa yang berani berjalan sendirian di tebing sungai.
Sebab suara tu masih kedengaran.
Lembut. Sedih. Memanggil nama seseorang.
"Mai sini... mai..."
Nota Penting:
Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.
-lempeng-