BTC USD 81,913.8 Gold USD 4,140.62
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Info Ekuinoks Mac, Apa Yang Anda Perlu Tahu

IMG_20240320_164001_208.jpg


Jom saksikan peristiwa ' Hari tanpa Bayang ' di kawasan masing-masing.

Hari ini merupakan hari Ekuinoks Mac yang membolehkan penduduk yang tinggal betul-betul di garisan khatulistiwa menyaksikan peristiwa hari tanpa bayang (HTB) pada waktu tengah hari ketika Matahari berada tegak di atas kawasan tersebut seperti Kota Pontianak, di Indonesia dan Quito di Ecuador.

Di Malaysia pula umumnya peristiwa hari tanpa bayang berlaku selepas hari Ekuinoks Mac berlangsung iaitu dari 21 Mac 2024 sehingga 9 April 2024 memandangkan kedudukan Malaysia berada sedikit ke utara dari Khatulistiwa.

Peristiwa hari tanpa bayang berlaku apabila kedudukan Matahari ketika Istiwa' tepat di titik zenit ( altitud sekitar 90 darjah ) iaitu tegak di atas kepala pemerhati di sesuatu kawasan. Kesannya sebarang objek tegak akan kelihatan tiada bayang walaupun ketika itu cahaya Matahari terik memancar.

Ia serupa dengan peristiwa Istiwa' Adzam di Kaabah apabila Matahari kelihatan tegak di atas Kaabah pada bulan Mei dan Julai setiap tahun yang membolehkan kita menyemak ketepatan arah Kiblat ketika itu.

Tarikh berlakunya HTB berbeza - beza mengikut latitud setiap lokasi. Begitu juga dengan waktu ia berlaku yang berbeza - beza mengikut longitud.

Di sini saya akan nyatakan cara yang sangat mudah untuk mengetahui bila peristiwa ini berlaku di kawasan anda.

1) Ketahui latitud kawasan anda .
Anda boleh rujuk Google Maps atau boleh ke laman :-
( https://www.latlong.net/ )

2) Setelah mengetahui latitud, rujuk pula jadual sudut deklinasi ketara Matahari ( Apperent Declination ) yang saya lampirkan di dalam hantaran ini.

3) Untuk mengetahui tarikh HTB, anda perlu cari nilai sudut deklinasi Matahari yang paling hampir dengan latitud kawasan anda berada.

Sebagai contoh ,
Latitud kawasan A adalah :-
1°31'23" U

Nilai sudut deklinasi Matahari yang paling hampir dengan latitud kawasan A mengikut jadual yang dilampirkan adalah :-
+1°31'36.4"

Jadi HTB di lokasi A adalah pada 24 Mac 2024.
..

Selepas mengetahui tarikh HTB, anda perlu ketahui pula bila detik - detik tanpa bayang ketika HTB berlaku.

1) Pertama sekali anda perlu mengetahui bila waktu solat Zohor di kawasan anda. Sila rujuk laman :-
( https://www.e-solat.gov.my/ )
* Jangan lupa tukar ke zon anda berada.

2) Bayangan objek tegak akan menghilang sebelum masuknya waktu solat Zohor. Waktu solat zohor bermula apabila cakera Matahari sepenuhnya tergelincir ke arah barat daripada kedudukan Istiwa' dan bayangan objek sudah kembali kelihatan ketika itu.
Jadi anda boleh mula bersiap sedia seperti pacak objek tegak seperti kayu atau perhatikan objek tegak yang sedia ada di sekeliling anda beberapa minit sebelum masuknya waktu Zohor.
Dalam jangka waktu tersebut anda boleh menyaksikan bayangan objek tegak beransur - ansur memendek dan hilang sepenuhnya apabila Matahari berada tepat di titik zenit.
 
Back
Top
Log in Register