BTC USD 84,116.3 Gold USD 4,163.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

Kelas bahasa Arab eratkan hubungan warga Kanada, pelarian Syria

Kanada: SEGELINTIR rakyat Kanada kini mengambil inisiatif untuk belajar bahasa Arab untuk memudahkan komunikasi setelah ribuan pelarian Syria tiba di negara itu bermula pada Disember lepas.

Memetik laporan The Huffington Post, seorang penduduk tempatan, David Foster, kini ketuai satu program di Ontario untuk mengajar warga Kanada untuk belajar bahasa Arab.

Foster yang fasih berbahasa Arab berkata ia juga sebagai usaha untuk memudahkan golongan pelarian untuk menyusuaikan diri ketika berada di Kanada.

Foster bersama seorang lagi warga Kanada yang berasal dari Iraq, Nabil Al-Ramahy, mengajar perkataan dan angka dalam bahasa Arab kepada warga Kanada.

Sementara itu, ada juga kelas untuk mengajar bahasa Inggeris kepada golongan pelarian.

"Kelas kami berhasrat untuk mewujudkan keharmonian antara warga Kanada dan pelarian Syria melalui bahasa Arab.

"Kami juga berhasrat untuk warga Kanada memahami bahawa orang Arab adalah orang yang aman yang sebenarnya kutuk serangan yang berlaku di negara mereka sehingga mereka harus berpindah ke negara-negara barat seperti Kanada," kata Al-Ramahy kepada The Huffington Post.

Sementara itu, kumpulan seperti Ripple Refugee Project juga menganjur kutipan dana dan pelbagai acara untuk mengeratkan hubungan antara penduduk tempatan dan golongan pelarian.

Setakat ini, 17,862 pelarian Syria sudah tiba di Kanada sejak 8 Feb dan angka itu akan meningkat kepada 25,000 jumlah pelarian, lapor The Huffington Post.

Warga Kanada sebelum ini terkenal dengan sikap ramah dan terbuka dengan kehadiran pelarian Syria.

Pada Disember, sebuah video yang memaparkan kumpulan koir menyanyikan lagu nasyid, Tala' al-Badru 'Alayna, dikongsi di laman YouTube dan dikatakan salah satu cara rakyat Kanada meraikan kedatangan saudara-saudara baru mereka.
Malah, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau sendiri menyambut ketibaan kumpulan pertama pelarian Syria yang tiba di lapangan terbang Toronto pada awal Disember.

61455356840_canada_zpsz2itfoi7.jpg
 
Turki nafi hantar tentera ke Syria

ISTANBUL: Menteri Pertahanan Turki, Ismet Yilmaz menafikan laporan yang mendakwa beberapa tentera Turki telah diarahkan untuk masuk ke kawasan Syria pada hujung minggu lalu, menurut laporan Reuters.

Jelasnya, Ankara tidak pernah mempunyai rancangan untuk menghantar jentera tenteranya ke kawasan jirannya.

Sebelum ini kerajaan Syria menyatakan beberapa anggota tentera Turki terlibat dalam operasi memberi bekalan kepada kumpulan pemberontak untuk menentang Damsyik.

Dalam kenyataan itu turut mendakwa tentera Turki berkenaan merupakan antara 100 lelaki bersenjata, yang telah memasuki Syria pada Sabtu, temasuk dengan membawa trak yang dilengkapi dengan senjata mesingan.

"Ianya tidak benar. Tidak pernah ada rancangan bagi tentera Turki untuk masuk ke kawasan Syria," kata Yilmaz kepada ahli Suruhanjaya Parlimen Turki apabila ditanya mengenai dakwaan Kementerian Pertahanan Syria berkenaan, dalam satu surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Yilmaz juga menafikan laporan yang mendakwa pesawat Arab Saudi telah tiba di pangkalan udara Incirlik sebagai persediaan memerangi militan Daish walaupun keputusan telah dicapai bagi Arab Saudi untuk menghantar empat jet F-16 kepada Turki.

Tentera Turki sebelum ini mengebom di kawasan sasaran militan Kurdish YPG (Unit Perlindungan Rakyat Kurdish) di utara Syria pada hujung minggu lalu, selepas kumpulan berkenaan merampas sebuah pengkalan udara di Aleppo, yang seterusnya merumitkan lagi konflik di sempadan selatan Turki.

Ankara menyifatkan YPG sebagai kumpulan pengganas dan merupakan kumpulan lanjutan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah berjuang menentang kumpulan pemberontak di selatan Turki selama 31 tahun.

Bagaimanapun, Washington tidak melihat YPG sebagai kumpulan pengganas, dengan menyatakan kumpulan itu menentang militan Daish di Syria.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut menggesa Rusia pada Ahad lalu, untuk menghentikan serangan bom terhadap kumpulan pemberontak di Syria, sebagai tanda sokongan terhadap sekutunya, Presiden Bashar al-Assad.

41455545202_TurkeySyria_zpsn8lzux5e.jpg
 
Al Shabaab bunuh bekas Menteri Pertahanan Somalia

NAIROBI: Kumpulan militan Al Shabaab membunuh bekas Menteri Pertahanan Somalia dengan bom kereta di ibu kota Mogadishu, hari ini. Al Shabaab, yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, memberitahu Reuters, ia memasang bom kereta yang mengorbankan Muhayadin Mohamed, yang juga penasihat kepada Speaker Parlimen Somalia. Gambar diambil jurugambar Reuters dari tempat kejadian menunjukkan kerusi penumpang mengalami kerosakan teruk, dengan pintu penumpang berterbangan.

Jurucakap operasi ketenteraan Al Shabaab, Sheik Anbdiasis Abu Musab, berkata; "Kami menjadi dalang pembunuhan." Seorang pegawai polis mengesahkan Mohamed terbunuh dan menambah, mangsa kedua dalam kereta terselamat tanpa sebarang kecederaan. Mohamed menjadi Menteri Pertahanan seketika tahun 2008 ketika peralihan kerajaan persekutuan Somalia, yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan berjuang bersama pasukan pengaman Kesatuan Afrika (AU) untuk mengusir Al Shabaab keluar dari Mogadishu dan bandar besar lain. - REUTERS

15bom1.transformed_zpsjbbkj0qb.jpg
 
50 maut dalam serangan udara ke atas hospital Syria

BEIRUT: Syria menyatakan harapan untuk gencatan senjata hari ini kian pudar selepas berpuluh orang terbunuh dalam serangan udara ke atas beberapa hospital yang disifatkan Perancis sebagai jenayah perang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, hampir 50 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan bom di sekurang-kurangnya lima kemudahan perubatan dan dua sekolah di wilayah Aleppo dan Idlib, dekat utara Syria. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menyukarkan usaha menamatkan perang saudara selama lima tahun di Syria.

"Serangan ke atas kemudahan perubatan di Syria oleh rejim atau sekutunya tidak boleh diterima dan perlu dihentikan serta merta," kata Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault. Amerika Syarikat yang turut menyelar serangan itu berkata dua hospital awam dibom masing -masing dikendalikan badan amal perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF) di utara Syria dan di bandar Azaz yang dikuasai pemberontak. Namun Duta Syria ke Moscow, Riad Haddad, mendakwa hospital berkenaan menjadi sasaran serangan AS.

"Jet pejuang Amerika memusnahkannya. Pesawat Russia tiada kena mengena dengan serangan ini, dan maklumat yang sudah dikumpul akan membuktikannya," katanya kepada sebuah stesen televisyen Russia, saluran Rossiya 24. - AFP

17hospt.transformed_zpsqf4r6mak.jpg
 
Obama mengalu-alukan perbincangan pemimpin AS-ASEAN

RANCHO MIRAGE (California): Presiden Barack Obama yang membuka persidangan pemimpin dari ASEAN menegaskan, perhimpunan mercu tanda di bumi Amerika Syarikat itu mencerminkan komitmen peribadi beliau terhadap perkongsian yang kuat dan berkekalan dengan pelbagai negara di rantau ini. Obama berkata, beliau mengenali Asia Tenggara sejak kecil lagi ketika tinggal di Indonesia bersama ibunya. Sebagai presiden, beliau berusaha untuk meningkatkan profil AS di rantau berkenaan.

Katanya, penduduk blok 10 negara ASEAN itu sentiasa melayan dan menerimanya dengan baik setiap kali berkunjung. Menurutnya, disebabkan itu beliau mengadakan Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN dua hari itu di California yang bercuaca cerah dan bukannya di Washington, yang ketika ini bersalji. Sidang kemuncak itu menandakan julung kalinya pemimpin rantau Asia Tenggara bertemu atas jemputan AS. - AP

16feb-najibobamaus.transformed_zpst5ieewge.jpg
 
Enam Bom Diletup, Tiga Mati Ditembak Di Selatan Thai

NARATHIWAT: Enam butir bom diletupkan di sekitar daerah Bachok, selatan Thailand dalam serangan anggota gerakan pembebasan bagi memperingati kejadian serangan di daerah itu tiga tahun lepas yang mengorbankan 16 nyawa pejuang pembebasan.

Ketua Polis Daerah Kolonel Patta Madawa berkata serangan bom itu bermula pada 8.40 malam dan berlanjutan sehingga 11.30 malam dengan menyasarkan tiang-tiang elektrik.

"Serangan bom itu adalah tindakan simbolik kejadian pada 13 Feb 2013 apabila 16 anggota gerakan terbunuh dalam serangan markas tentera laut di Bachok," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Dalam kejadian berasingan, seorang pemandu lori berusia 45 tahun mati ditembak di Kampung Jerae, daerah Rusak di sini pada 3.30 petang tadi.

Ketua Polis Narathiwat Jeneral Pattannawut Angkanawin berkata tiga lelaki lain yang turut berada di dalam lori berkenaan, terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu seorang lelaki di Yala dan seorang lagi di Songkhla masinvg-masing mati ditembak oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian 7.50 malam dan 6 petang semalam, kata jurucakap polis.

bom_zpsbv6exvhe.jpg
 
Al-Shabaab Dakwa Bertanggungjawab Serangan Bom Pesawat Somalia

KUMPULAN militan al-Shabaab mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden serangan bom dalam pesawat Somalia baru-baru ini, sehingga mengakibatkan badan pesawat itu berlubang.

Menurut al-Jazeera yang memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan dikaitkan al-Qaeda itu, ia mengisytiharkan bahawa serangan itu bertujuan untuk menyasarkan 'pegawai kanan Barat' yang menaiki penerbangan itu.

Ia turut mendakwa serangan tersebut merupakan 'pembalasan bagi jenayah yang dilakukan oleh pasukan tentera salib dan agensi perisikan mereka.'

Serangan itu berlaku apabila bom yang disembunyikan di dalam sebuah komputer riba diletupkan.

Pengebom yang mati itu disedut keluar dari pesawat Somalia dalam penerbangan dari Mogadishu ke Djibouti.

Ketua pegawai eksekutif pesawat Daallo Airlines kemudiannya mengesahkan pengebom itu sepatutnya menaiki pesawat Turkish Airlines.

Letupan itu mengakibatkan badan pesawat berlubang dan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Mogadishu untuk membuat pendaratan cemas.

Suspek utama dipercayai merupakan warga Somalia yang dikenali pasti sebagai Abdullahi Abdisalam Borleh. Mail Online

pesawatbom_zps377ozaov.jpg
 
Iran beri Saudi amaran

Teheran: Seorang pegawai kanan tentera Iran semalam memberi amaran kepada Arab Saudi supaya tidak menghantar tentera ke Syria selepas Riyadh mengerahkan pesawat pejuangnya ke Turki.

“Kami sudah pasti tidak membenarkan keadaan di Syria menjadi lebih buruk. Kami akan bertindak jika tiba masanya,” kata timbalan ketua turus tentera Iran, Brigadier Jeneral Masoud Jazayeri kepada stesen televisyen berbahasa Arab Iran, Al-Aalam.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada Iran merancang menghantar lebih banyak penasihat tentera ke Syria jika Saudi menghantar askarnya, sekali gus mencetuskan konfrontasi secara langsung antara dua musuh serantau itu.

Riyadh berkata kelmarin, ia menghantar pesawat perang ke pangkalan udara Incirlik di Turki sebagai usaha untuk meningkatkan operasi menentang pengganas Daish di Syria.

Turki menyerang kedudukan Kurdis dan rejim Syria di utara Syria, sekali gus menyulitkan lagi usaha menamatkan perang yang sudah meragut lebih 260,000 nyawa sejak 2011.

Iran, sekutu serantau Syria, menyokong Presiden Bashar al-Assad dengan menghantar penasihat tentera dan sukarelawan untuk membantu askar Syria.

“Pengganas yang berperang di Syria hari ini adalah askar Saudi atau Amerika,” kata Masoud.

“Hari ini, selepas tentera Syria menang, Saudi dan sekutu Arabnya mahu menghantar askar ke negara itu. Ia satu pembohongan dan perang psikilogi.

“Arab Saudi menggunakan apa sahaja yang dimilikinya di Syria, dan ia bukan setakat gagal di negara itu, tetapi juga di Yaman,” kata Masoud.

Pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman sejak Mac lalu, memburukkan lagi hubungan antara Riyadh dan Teheran.

15hminti.transformed_zps4z8ozgwt.jpg
 
Bakal menara tertinggi terbakar

Astana: Satu kebakaran berlaku di tapak pembinaan tempat menara tertinggi di Asia Tengah sedang dibina di sini, semalam.

Kebakaran di Plaza Abu Dhabi, yang dibina oleh syarikat pemaju Emiriah Arab Bersatu Aldar Properties dan kontraktor Arabtec itu bermula awal pagi dan bomba mengambil masa enam jam memadamkannya.

Gambar yang dimuat naik di laman web kementerian dalam negeri menunjukkan api keluar dari beberapa tingkat bangunan yang masih dalam pembinaan itu.

Menurut kenyataan kementerian itu, tingkat 11 hingga 25 sudah terbakar ketika bomba tiba.

Tiada laporan mengenai kecederaan sementara 150 pekerja meninggalkan bangunan itu sebelum kebakaran berlaku.

Jumlah kemusnahan masih belum diketahui.

Plaza Abu Dhabi yang dijangka siap penghujung tahun ini, akan menempatkan hotel, kediaman, kedai dan ruang pejabat.

Kementerian itu berkata, kebakaran berpunca daripada alat pemanas. - Reuters.

15hmastana.transformed_zpso1l0jiae.jpg
 
Back
Top
Log in Register