BTC USD 84,603.0 Gold USD 4,140.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

hadis 17 tentang jihad

Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. berangkat kepada peperangan Khandaq, dan kebetulan kaum Muhajirin dan Ansar sedang menggali tanah (membuat parit) di waktu pagi yang amat dingin. Mereka tidak memakai pekerja (kuli) untuk mengerjakannya. Setelah melihat mereka payah dan lapar, beliau bersabda: "Ya Allah! Sesungguhnya hidup yang sejati ialah hidup akhirat. Maka ampunilah kiranya orang Ansar dan orang yang hijrah!" Lalu mereka menjawab: "Kamilah orang-orang yang berjanji setia kepada Muhammad. Untuk berjihad selama hayat".

Hadis Bukhari
 
hadis 18 tentang jihad

Dari Abdur Rahman bin Jabr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kedua telapak kaki hamba Tuhan yang berdebu kerana berjihad dalam agama Allah, tiada akan disentuh api neraka".

Hadis Bukhari
 
hadis 19 tentang jihad

Dari Abu Qatadah r.a. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. berdiri di hadapan para sahabat, lalu bersabda: "Sesungguhnya Jihad fi sabilillah serta iman kepada Allah, adalah amal yang paling utama." Maka berdiri seorang lelaki seraya bertanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" Jawab Rasulullah saw., "Hapus, jika engkau mati, sedangkan engkau seorang yang sabar dan ikhlas kerana Allah, engkau mati kerana maju bertempur tidak kerana lari dari pertempuran,"

Kemudian beliau bertanya, "Apa tanyamu tadi? Maka diulangnya pertanyaannya, "Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" Jawab Rasulullah, "Ya, hapus, jika engkau seorang pejuang yang sabar, ikhlas kerana Allah semata-mata, mati kerana maju bertempur, tidak kerana lari dari pertempuran. Kecuali yang tidak hapus ialah hutang. Begitulah kata Jibril kepada ku."

Hadis Muslim
 
hadis 20 tentang jihad

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, Abu Sa'id! Siapa yang rela Allah menjadi Tuhannya, Muhammad menjadi Nabinya, dan Islam menjadi agamanya, dia wajib masuk syurga." Abu Sa'id kagum mendengar sabda Nabi saw. tersebut, lalu dia meminta supaya Nabi mengulang sabdanya itu. Maka diulang oleh beliau. Kemudian bersabda pula beliau, "Ada lagi yang lain. Iaitu seorang hamba dinaikkan darjatnya seratus darjat di syurga. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi." Tanya, "Apa itu, ya Rasulullah?" Jawab beliau. "Jihad fi sabilillah! Jihad fi sabilillah! (berjuang atau berperang menegakkan agama Allah!)"

Hadis Muslim
 
hadis 21 tentang jihad

Dari Nu'man bin Basyir r.a., katanya: "Pada suatu ketika aku berada dekat mimbar Rasulullah saw. Lalu berkata seorang lelaki, "Aku tidak mementingkan suatu amal sesudah aku masuk Islam kecuali memberi minum orang-orang yang sedang melaksanakan ibadah haji." Berkata pula yang lain, "Aku tidak mementingkan suatu amal sesudah aku masuk Islam melainkan memakmurkan Masjidil Haram." Berkata pula yang lain, "Jihad fi sabilillah lebih utama dari semua yang kamu katakan itu." Lalu mereka ditegur oleh 'Umar, katanya, "Janganlah kalian meninggikan suara kalian dekat mimbar Rasulullah saw., bukankah sekarang hari Jumaat?"

Tetapi setelah selesai solat Jumaat aku datang menemuinya minta fatwa tentang apa yang diperselisihkan mereka. Maka turunlah ayat: "Apakah orang-orang yang memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidil Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad fi sabilillah?" (At Taubah, 9 : 19)

Hadis muslim
 
hadis 22 tentang jihad

Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Termasuk kehidupan yang terbaik, iaitu orang-orang yang mempersiapkan hidupnya untuk jihad fi sabilillah (berjuang atau berperang untuk menegakkan agama Allah). Ia segera melompat ke punggung kuda tatkala mendengar trompet perang dan menunggu komando. Ia segera memacu kudanya ke medan perang mencari kematian (syahid) yang didambakannya.

Atau seorang yang tinggal di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, dengan hidup sederhana, ditegakkannya solat, dibayarnya zakat, disembahnya Tuhan terus menerus sampai meninggal, dan tidak pernah merugikan umat manusia, bahkan dia sentiasa berbuat kebajikan terhadap sesamanya."

Hadis Muslim
 
hadis 23 tentang jihad

Dari Al Bara' r.a. katanya: "Sehubungan dengan turunnya ayat: "Tidak sama antara orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang) dengan orang-orang yang turut berperang fi sabilillah: lalu Rasulullah saw. memerintahkan Zaid bin Tsabit supaya menuliskan ayat tersebut. Zaid membawa sepotong tulang, lalu menulis ayat tersebut pada tulang itu. Tiba-tiba datang Ibnu Ummi Maktum mengadukan kesulitannya tidak dapat turut berperang kerana ia buta. Maka turunlah ayat: "Tidak sama antara orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad (berperang) fi sabilillah."(An Nisa', 4 : 95).

Hadis Muslim
 
hadis 24 tentang jihad

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah Ta'ala tertawa (rela) kepada dua orang lelaki, di mana seorang di antaranya membunuh yang lain, lalu keduanya masuk syurga. Tanya para sahabat, "Bagaimana bisa begitu, ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Lelaki yang terbunuh itu mati dalam jihad fi sabilillah, maka dia itu mati syahid. Kemudian si pembunuh taubat kepada Allah Ta'ala, lalu Allah menerima taubatnya. Sesudah itu dia mati pula dalam perang fi sabilillah, maka dia itu mati syahid."

Hadis Muslim
 
hadis 25 tentang jihad

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah Ta'ala telah menjamin bagi orang yang pergi berperang fi sabilillah (untuk menegakkan agama Allah) dengan firman-Nya, "Siapa yang pergi jihad (berperang atau berjuang) hanya semata-mata untuk menegakkan atau membela agamaKu, dan kerana iman denganKu, serta percaya kepada RasulKu, maka Aku menjamin bahawa Aku akan memasukkannya ke syurga, atau mengembalikannya pulang ke rumahnya membawa kemenangan, berupa pahala dan harta rampasan. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada dalam kuasa-Nya, tidak ada seorang pun yang terluka dalam perang fi sabilillah, melainkan dia akan datang kelak di hari kiamat dalam keadaan luka seperti semula. Warna darahnya merah, dan baunya harum seperti kasturi. Demi Allah yang jiwa Muhammad dalam kuasaNya, seandainya tidaklah akan menyulitkan bagi kaum muslimin, tidaklah aku sampai hati untuk membiarkan sebahagian mereka untuk tidak ikut berperang menegakkan agama Allah.

Tetapi aku tidak beroleh kelapangan untuk menanggung biaya mereka, sedangkan mereka tidak pula mempunyai kelapangan, padahal mereka merasa kecewa tidak ikut berperang bersama ku. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada dalam kuasaNya, sesungguhnya aku ingin sekali berperang fi sabilillah lalu aku mati, kemudian aku berperang lagi, lalu mati pula, kemudian aku berperang kembali lalu mati pula."

Hadis Muslim
 
hadis 26 tentang jihad

Dari Jundub bin Sufyan r.a., katanya: "Jari Rasulullah saw. berdarah kerana luka dalam suatu peperangan. Maka bersabda Rasulullah saw.: "Bukankah engkau hanya sebatang jari yang berdarah. Dan ini terjadi ketika engkau ikut berjihad fi sabilillah."

Hadis Muslim
 
Back
Top
Log in Register