balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Hussin (kanan) menunjukkan barang rampasan dipercayai dadah dengan tertangkapnya seorang duda di sebuah rumah Jalan Bukit Jabar, Bukit Diman, petang kelmarin.
< 1 / 1 >
KUALA BERANG - Biarpun pernah ditahan berkaitan dadah sebelum ini, namun seorang duda berusia 22 tahun dari Kampung Bukit Diman, Ajil ternyata tidak serik sebaliknya mula berjinak-jinak dengan aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, belum sempat melangkah jauh dalam kerjaya baharunya, dia dicekup di sebuah rumah di Jalan Bukit Jabar, Bukit Diman oleh sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu dan IPD Hulu Terengganu kira-kira jam 1 petang kelmarin.
Bertindak hasil maklumat dan risikan itu juga, polis berjaya merampas bahan disyaki dadah dianggarkan bernilai RM37,590 selain sebuah motosikal dipercayai dibeli hasil pengedaran dadah dan digunakan untuk mengedar dadah dengan nilai harta RM7,000 yang turut disita.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Hussin Deraman berkata, ketika serbuan dilakukan suspek sedang berehat di sebuah bilik dalam rumah berkenaan dan sewaktu tangkapan suspek tidak cuba untuk memboloskan diri.
“Hasil pemeriksaan awal dalam bilik tidur tersebut, polis menjumpai satu beg berwarna biru atas lantai berhampiran katil suspek.
"Pemeriksaan lanjut pada beg berkenaan mendapati di dalamnya terdapat satu beg kecil berwarna merah jambu.
“Dalam beg kecil itu mengandungi enam paket plastik cerah berisi pil merah disyaki dadah jenis methamphetamine yang jumlah keseluruhannya 250 biji," katanya.
Kata Hussin, selain itu pihaknya turut menemui 28 straw cerah yang setiap satu berisi ketulan kristal (syabu), juga disyaki dadah.
“Suspek juga telah menunjukkan tempat dia menyimpan sebahagian lagi ‘barang’ dipercayai dadah iaitu pada bahagian atas tiang garaj kereta di hadapan rumah berkenaan.
"Hasilnya, polis menjumpai dua bungkusan plastik cerah di dalamnya ada enam bungkusan pita pelekat," katanya.
Kata beliau, apabila diperiksa, setiap satu bungkusan pita pelekat tersebut mempunyai satu plastik biru.
"Dalam setiap satu plastik biru itu pula mengandungi pil warna merah disyaki dadah iaitu 198 biji pil warna merah dan dua biji pil berwarna hijau,” katanya kepada pemberita di IPD Hulu Terengganu.
Tambah Hussin, suspek yang juga seorang penganggur mula berjinak dengan aktiviti pengedaran dadah akhir September lalu untuk pasaran penagih di sekitar kampung berhampiran dengan berhubung melalui telefon lalu bertemu di suatu tempat sebagai modus operandi.
“Suspek pergi ke tempat dijanjikan menaiki motosikal dipercayai dibeli hasil pengedaran dadah.
"Bagi mendapatkan bekalan, suspek pergi sendiri ke negara jiran. Ibu dan ahli keluarga suspek juga ramai menetap di sana," katanya.
Bagi dadah jenis Syabu, suspek dipercayai mendapat bekalan daripada pengedar tempatan sebelum kembali menjualnya kepada penagih dari kampung berdekatan.
Suspek juga punyai rekod lampau iaitu dua kes berhubung Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 15(1) (a) ADB 1952.
“Suspek kini ditahan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.
Hasil ujian urin ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.