BTC USD 60,506.0 Gold USD 4,335.49
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dua warga asing kebas RM40,000

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja lelaki sebuah syarikat kawalan keselamatan hanya mampu tergamam apabila sejumlah wang tunai hampir RM40,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank disamun dua lelaki dipercayai Geng Colombia.

Dalam kejadian jam 11 pagi Jumaat lalu, dua suspek warga Amerika Latin itu dipercayai mengintip pergerakan mangsa yang berurusan di dalam bank di Brickfields, di sini.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 40-an ketika itu pergi bersendirian ke bank untuk mengeluarkan sejumlah wang seperti diarah majikannya.

Difahamkan, pejabat syarikat keselamatan terbabit tidak jauh dari bank itu menyebabkan mangsa tidak menyangka jenayah samun boleh berlaku apatah lagi di lokasi yang sesak dengan orang ramai.

“Difahamkan, kejadian berlaku sebaik mangsa berjalan keluar dari pintu bank sebelum dua lelaki warga asing menyambar beg dibawa mangsa dan melarikan diri.

“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu menjerit meminta tolong sebelum orang ramai yang berada di sekitar kawasan terbabit mengejar suspek,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas orang ramai berjaya memberkas seorang daripada suspek yang berusia 30-an. Suspek yang cuba meronta-ronta melepaskan diri bagaimanapun dapat ditewaskan sebelum diserahkan kepada polis.

“Bagaimanapun, rakannya memboloskan diri dan lari bersama wang berkenaan. Ada kemungkinan mereka sengaja berpecah untuk mengelak diberkas sekali gus,” katanya.

“Ketika ditahan, suspek yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan lancar dipercayai warga asing dari Amerika Latin,” katanya.

Difahamkan rakan suspek melarikan wang tunai yang akan digunakan untuk membayar gaji pekerja syarikat keselamatan berkenaan berjumlah RM39,500.

“Siasatan polis tidak menolak kemungkinan suspek menyamar sebagai pelanggan bank untuk mendapat maklumat berhubung gerak geri mangsa yang membuat pengeluaran wang banyak di kaunter bank,” katanya.

Berikutan itu, suspek yang diberkas berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan selain usaha untuk mengesan rakan penjenayah.

Kumpulan penjenayah geng dari Amerika Latin pernah menggemparkan negara pada April 2004 apabila melarikan RM1 juta daripada tiga pengawal keselamatan di Menara Berkembar KLCC, di sini.

Difahamkan kumpulan penjenayah Amerika Latin ini turut gemar ‘makan angin’ sambil melakukan jenayah di beberapa negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Geng penjenayah dari Amerika Selatan itu didakwa kerap berulang-alik dan berpindah lokasi antara Malaysia, Thailand dan Singapura untuk mengaburi pihak berkuasa ketiga- tiga negara.

Walaupun mempunyai pasport dan dokumen perjalanan sah, penjenayah dikesan menggunakan taktik keluar masuk dan tidak tinggal lama di sesebuah negara bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Sejak empat tahun lalu, polis Kuala Lumpur dan Selangor sudah menahan berpuluh penjenayah warga Amerika Latin yang dikesan terbabit dengan jenayah pecah rumah, rompakan, ragut dan pelbagai jenayah lain.
 
Back
Top
Log in Register