Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,775
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,775
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Dua Guru SK Manir Bangunkan Aplikasi Galak Gaya Hidup Sihat Dalam Kalangan Murid
Peningkatan jumlah murid yang mengalami lebihan berat badan serta tabiat pengambilan makanan dan minuman manis, mendorong dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Manir membangunkan aplikasi digital dikenali sebagai Program SAM (Sihat, Aktif Manirian) bagi membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan murid.
Kejayaan membangunkan aplikasi Program SAM itu turut mengharumkan nama Malaysia, apabila SK Manir muncul penerima Anugerah AIA Outstanding Active Lifestyles 2026 dengan hadiah bernilai USD15,000 menerusi pertandingan AIA Healthiest Schools peringkat Asia Pasifik di Bangkok, Thailand pada 8 Julai.
Aplikasi itu dibangunkan pada awal Januari lepas oleh guru mata pelajaran Sains Zuraidah Hassim, 45, dan guru Bahasa Inggeris Najjah Salaamah Jusoh, 37, susulan pihak sekolah mengenal pasti sebahagian murid kurang aktif, gemar mengambil makanan dan minuman manis serta tidak mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten.
Zuraidah berkata pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti senamrobik, menyediakan penapis air bagi menggalakkan murid minum air kosong, menggalakkan pengambilan minuman prebiotik, serta menjalinkan kerjasama dengan klinik kesihatan untuk memberi pendedahan berkaitan pemakanan sihat kepada murid-murid.
“Namun kami tidak mahu amalan itu hanya terhenti di sekolah dan ingin budaya hidup sihat tersebut diteruskan di rumah. Jadi saya bersama dengan Cikgu Najjah Salaamah membangunkan aplikasi SAM, sebagai platform untuk mendidik dan merekod amalan harian gaya hidup sihat dalam kalangan murid,” katanya kepada Bernama di SK Manir di sini hari ini.
Zuraidah berkata aplikasi itu dibangunkan menggunakan platform Canva Code yang menjana aplikasi berasaskan laman web dan kini digunakan untuk kegunaan dalaman sekolah.
Beliau berkata melalui aplikasi itu, murid merekodkan pengambilan air kosong, makanan sihat dan tempoh aktiviti fizikal pada setiap hari.
“Bagi menggalakkan penyertaan, kami memasukkan elemen gamifikasi. Murid yang mencapai sasaran tertentu akan menerima lencana seperti ‘Raja Air’, ‘Raja Nutrisi’ dan ‘Wira Aktif’. Kami tekankan aspek kejujuran, kerana matlamat utama aplikasi ini ialah mendidik murid supaya mengamalkan gaya hidup sihat, sehingga menjadi budaya dalam kehidupan mereka,” katanya.
Zuraidah berkata aplikasi itu kini melibatkan kira-kira 300 murid Tahap Dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam, manakala program sokongan seperti senamrobik, ceramah pemakanan serta pengambilan minuman prebiotik, melibatkan semua murid dan guru di sekolah.