Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Dr Awaludin Dilantik Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu Datuk Seri Dr Awaludin Said ketika mengangkat sumpah pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Undangan Negeri hari ini.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau Datuk Seri Dr Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-16.
Usul pemilihan Dr Awaludin dicadangkan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Faizal Ramli.
Dr Awaludin, 66, kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan Setiausaha DUN Mohd Amin Ludin pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-16 di Wisma Negeri di sini.
Terdahulu, Mohd Amin memaklumkan pihaknya menerima permohonan satu pencalonan bagi mengisi jawatan Yang Dipertua DUN.
"Saya menerima satu pencalonan untuk jawatan Yang Dipertua Dewan menurut Peraturan 2, Perintah 7 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Saya telah pun menerima notis tersebut.
"Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli itu dipilih menjadi Yang Dipertua hendaklah memastikan terlebih dahulu yang ahli itu suka berkhidmat sekiranya dipilih," katanya.
Dr Awaludin pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua DUN pada 2013-2018.
Pada persidangan itu, 35 daripada 36 ADUN turut mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat bagi penggal baharu.
Mereka terdiri daripada 25 ADUN blok kerajaan, masing-masing 18 daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh Perikatan Nasional (PN), serta 11 ADUN blok pembangkang.