Dividen ASD 6.25 sen, ASN Equity2 3.1 sen
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi dana harga tetap, Amanah Saham Didik (ASD) sebanyak 6.25 sen seunit dan dana harga berubah, ASN Equity 2 sebanyak 3.1 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018.
Secara keseluruhan, ASD akan membayar RM360.7 juta sebagai agihan pendapatan kepada lebih 290,000 pemegang unit yang kini memegang 5.845 bilion unit manakala.
Dalam pada itu, ASN Equity 2 akan membayar RM46.9 juta kepada lebih 29,000 pemegang unit yang memegang 1.512 unit atau bersamaan 5.4 peratus hasil dividen.
Setakat 31 Mei 2018, ASD mencatat pendapatan bersih sebanyak RM344.2 juta dan ASN Equity 2 (RM45.58 juta) untuk tempoh 11 bulan pertama bagi tahun kewangannya.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya gembira kerana PNB mampu untuk terus menghasilkan pulangan kompetitif bagi sepanjang tahun kewangan bagi ASD dan ASN Equity 2 disebalik keadaan pasaran mencabar, yang mana Bursa Malaysia menurun 5.53 peratus atau 97.6 mata dalam tempoh setahun lalu.
"Kami akan terus memberi fokus kepada kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik STRIVE-15 PNB 2017-2022 untuk terus menjana pulangan mampan bagi pemegang unit kami pada masa depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
ASN Equity 2 adalah nama baru bagi dana yang sebelum ini dikenali sebagai ASN 2 berikutan penjenamaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada 1 Mei 2018 bagi semua tabung unit amanah harga berubah di bawah pengurusannya.
Penjenamaan semula ini membabitkan klasifikasi enam produk harga berubah ASNB kepada tiga kategori baru iaitu Ekuiti (ASN, ASN Equity 2 & ASN Equity 3), Aset Campuran Imbang (ASN Imbang 1 & ASN Imbang 2) dan Aset Campuran Konservatif (ASN Sara 1).
Pengagihan yang diumumkan kedua-dua tabung itu akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2018.
Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun melalui portal ASNB
www.myasnb.com.my atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara mulai tempoh masa sama.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/06/442748/dividen-asd-625-sen-asn-equity2-31-sen