ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Polis menjalankan siasatan di kedai emas di jalan utama Pekan Karak, semalam.
KARAK – Rutin harian seorang pemilik kedai emas memulakan perniagaan bertukar menjadi tragedi apabila dia menjadi mangsa samun oleh sekumpulan enam lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun membuka kedainya di No 18 Jalan Besar Karak seperti biasa.
Katanya, semasa masuk ke dalam bahagian dalam kedai untuk membuka peti besi bagi mengeluarkan barangan kemas, tiba-tiba mangsa didatangi suspek yang bertindak memecahkan pintu dan menghampirinya.
“Salah seorang suspek mengacukan parang ke leher mangsa dan mengugut supaya dia membuka peti besi itu.
“Mangsa mengikut arahan suspek dengan membuka peti besi yang mengandungi pelbagai barangan kemas kerana bimbang diapa-apakan,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, suspek kemudiannya bertindak mengambil 13 dulang barangan kemas dianggarkan bernilai RM400,000 sebelum melarikan diri.
Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat sebuah kereta menunggu di hadapan kedai bagi membawa kesemua suspek melarikan diri dari kawasan itu.
“Polis kini sedang giat mengesan keenam-enam suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan siasatan masih diteruskan.“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata,” katanya.