surfer957
Super Active Member
- Messages
- 7,974
- Joined
- Mar 30, 2008
- Messages
- 7,974
- Reaction score
- 26
- Points
- 70
DENGKIL PERLU PERHATIAN
DENGKIL 27 Julai - Sebelum pembukaan Putrajaya dan Cyberjaya, Dengkil yang terletak di dalam Parlimen Sepang boleh diibaratkan sebuah kawasan yang 'hidup segan, mati tak mahu' kerana terletak jauh daripada bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Namun, setelah terbinanya Putrajaya dan Cyberjaya, pekan Dengkil kelihatan menerima tempias pembangunan sedikit demi sedikit dengan pelbagai kemudahan sedang dimajukan.
Kini, pekan Dengkil menjadi laluan penting untuk dilalui oleh mereka yang datang dari arah Banting, Kajang dan Bangi untuk menuju ke kedua-dua bandar baru itu.
Keadaan semasa menjadikan Dengkil mengalami pertambahan penduduk dan sentiasa hidup serta sibuk dengan kehadiran kenderaan dan orang ramai..
Bagaimanapun, di dalam kemajuan yang sedang rancak berlaku di Dengkil, terdapat beberapa aspek kelemahan perlu diperbaiki oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), terutamanya daripada segi kemudahan orang awam.
Tinjauan Utusan Malaysia di sana baru-baru ini mendapati beberapa kemudahan perlu mendapat perhatian MPSepang seperti ketiadaan perhentian bas dan terdapat beberapa jalan sudah mengalami kerosakan yang cukup teruk.
Mengenai ketiadaan kemudahan perhentian bas di tengah-tengah pekan Dengkil, ia dilihat begitu menyusahkan kepada orang ramai yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam tersebut.
Difahamkan, walaupun terdapat stesen bas disediakan, namun ia tidak mendapat perhatian masyarakat kerana bas-bas di situ tidak mahu singgah di situ sebaliknya hanya akan berhenti di hadapan Masjid Jamaatus Solehah.
Selain itu, penumpang terpaksa menunggu sambil berdiri lama kerana perkhidmatan bas berkenaan hanya satu jam sekali.
Hanya sebuah kedai runcit atau lot letak kereta di dalam kawasan masjid berhampiran yang menjadi tempat perlindungan kepada penumpang untuk berteduh sekiranya hari hujan atau terlalu panas.
Namun ia dilihat tidak praktikal serta menyusahkan kepada peniaga kerana kedainya menjadi mangsa keadaan semasa penumpang memerlukan tempat perlindungan.
Peniaga berkenaan, Jamilah Mamath, 43, mengakui dia sering berdepan dengan risiko kecurian tiap kali penumpang berteduh di dalam kedai runcitnya.
"Kebanyakan penumpang di sini bukannya semua saya ketahui latar belakangnya, maka saya sering berdepan situasi mencemaskan kerana takut barang perniagaan saya dicuri," katanya.
Namun, di sudut hatinya, Jamilah bersimpati dengan keadaan yang perlu dilalui oleh para penumpang yang menunggu tanpa perhentian bas.
"Yang membuatkan saya tambah bersimpati jika penumpang yang menunggu itu adalah warga tua atau wanita mengandung.
"Mereka terpaksa menunggu bas di sini kerana bas enggan berhenti di perhentian bas disediakan oleh MPSepang yang berada kira-kira 800 meter dari sini (kedainya)," katanya.
Dia berharap MPSepang dapat melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu itu demi keselesaan penduduk pekan Dengkil.
Seorang pekerja ladang dari Indonesia, Bambang Prianto, 45, yang sering berulang-alik dari pekan Dengkil ke tempat kerjanya mengadu dia paling bimbang setiap kali cuaca buruk.
"Saya sering menunggu di dalam kawasan masjid, tetapi kalau hari hujan terpaksa berdepan risiko terlepas bas kerana pemandu tidak nampak ada penumpang yang sedang menunggu," katanya yang pernah mengalami pengalaman sedemikian.
Tambahnya, masalah berkenaan bertambah teruk menjelang masa puncak seperti di waktu pagi semasa keluar dari rumah atau petang ketika orang ramai pulang dari tempat kerja.
Selain itu, keselamatan pelajar di Sekolah Kebangsaan Dengkil dan Sekolah Menengah turut menjadi perhatian kerana jalan yang digunakan di luar kawasan sekolah rosak teruk dan berlopak-lopak.
Ternyata jalan berkenaan sudah lama tidak diperbaiki dan kelihatan amat menyedihkan kerana seolah-olah sedang berada di dalam satu kawasan yang amat mundur serta tidak menepati reputasi Selangor sebagai sebuah negeri maju.
Menerusi pemerhatian, kami mendapati jalan berkenaan akan sibuk menjelang waktu pulang dari sekolah kerana akan dilalui oleh banyak kenderaan terutamanya bas atau van sekolah.
Ekoran itu, kesesakan lalu-lintas ternyata tidak dapat dielakkan kerana semua kenderaan terbabit akan memperlahankan kenderaan masing-masing apabila melalui jalan tersebut.
Keselamatan pelajar sekolah terutamanya pelajar sekolah rendah dilihat mudah terancam kerana sering berada di bahu jalan itu.
Tiada langsung ciri-ciri keselamatan dipasang di jalan itu dan para pelajar berdepan risiko setiap kali menyeberang jalan.
Selain itu, Utusan Malaysia mengesan satu lagi masalah iaitu laluan dari Dengkil ke Bangi yang baru sahaja siap dibina pada pertengahan Jun 2008 telah mendap setelah seminggu dibuka untuk kegunaan.
Kerosakan yang tidak sepatutnya berlaku dalam masa yang begitu singkat itu sekali gus menimbulkan kesangsian terhadap kualiti kerja atau pun bahan yang digunakan untuk membina jalan berkenaan.
Masalah itu boleh menjadi 'jerangkap samar' pada waktu malam terutamanya kepada pengguna kenderaan kecil seperti motosikal kerana selain kualiti permukaan yang tidak elok, jalan berkenaan juga gelap kerana tiada lampu jalan dipasang.
Sewajarnya, perkara sebegitu perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan orang awam.
Apatah lagi kawasan Dengkil terletak di dalam kawasan Parlimen Sepang yang diwakili oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed namun kualiti jalan di situ tidak seperti yang diharapkan.
Dengan pelbagai masalah berkenaan, MPSepang perlu mengambil tindakan drastik menaikkan imej pekan Dengkil sejajar dengan status perbandaran yang diwakilinya.
p/s: Dipetik dari www.utusan.com.my
